Janji ditepati !

By | 04/11/2012

Ini merupakan ayat yang cukup popular sekarang di negara kita. Di mana-mana saja kita berada terpampang poster tentangnya. Di radio, di TV dan juga di mana-mana ucapan pemimpin kerajaan.

Ayat yang sama juga dipusing menjadi ‘janji dicapati’ dan juga ayat-ayat lain yang menggambarkan bangkangan atau tindakan memperlekeh ayat yang sama.

Apa sebenarnya “janji ditepati”?
Barat sudah lama mempeloporkan ayat tersebut. Ia berkaitan dengan aktiviti penjenamaan sesebuah perniagaan atau syarikat.

Jika anda mahu membina jenama syarikat anda, syarat utama adalah memastikan bahawa ‘apa yang anda janjikan dipenuhi’. Contoh yang biasa kita lihat adalah pada jenama seperti BMW. Mereka menjanjikan “The ultimate driving machine”.

Sesiapa saja yang biasa membawa kereta jenama BMW tidak dapat tidak terpaksa mengiyakan kebenaran apa yang mereka janjikan. Membawa kereta BMW benar-benar terasa seperti memegang ‘the ultimate driving machine’!

Dalam kes BMW, walaupun satu ketika nanti mereka merekabentuk sebuah kereta yang sebijik rupanya seperti proton saga, persepsi pengguna terhadap kereta tersebut sudah pasti jauh berbeza berbanding dengan kereta proton saga sebenarnya.

Itu disebabkan tahap konsisten BMW yang memenuhi segala janji-janjinya. Dalam 100 buah kereta yang dikeluarkannya, sudah pasti hampir 99.9% kereta tersebut benar-benaar menggambarkan apa yang dijanjikan.

Apa yang anda boleh buat pada perniagaan anda?
Samada anda seorang usahawan yang sedang membina sebuah jenama atau anda seorang pekerja yang sedang membina sebuah karier, sematkan ayat tersebut dalam minda.

Kenal pasti apa kekuatan anda dan berikan tumpuan padanya. Bina kekuatan tersebut sehingga ke tahap sesempurna mungkin dan jadikan ianya sebagai moto atau janji anda.

Dengan berbuat begitu sudah tentu kemungkinan untuk anda memenuhi janji-janji anda dapat sentiasa ditunaikan. Jika anda seorang pekerja yang kreatif, jadikan ianya moto kelebihan untuk dijual pada majikan. Jika anda seorang yang tahan tekanan, jadikan itu sebagai ayat janji anda.

Bagaimana pula dengan kelemahan kita?
Ramai yang silap apabila sering memberikan fokus pada kelemahan yang mereka ada. Ini membuatkan kekuatan yang memang sudah terbentuk dalam diri dibiarkan tanpa digilap. Akhirnya anda hanya menjadi biasa-biasa saja dalam hampir semua perkara dan tidak ada kelebihan yang mengasingkan diri anda daripada orang lain.

Kelemahan yang kita ada perlu dibina cukup sekadar average sahaja. Itupun jika dapat, atau anda ada masa untuk membaikinya. Jika tidak, lupakan saja dan berikan tumpuan 100% pada kekuatan. Insyallah anda tetap menonjol jauh ke depan berbanding semua orang lain.

Rumusannya
Dalam kita mahu berjanji, pastikan janji kita sesuatu yang mampu kita penuhi sehingga ke tahap 99.9%. Janganlah menjanjikan sesuatu yang kita lemah dan tahu bahawa agak sukar untuk kita tunaikan.

Walau bagaimanapun, anda juga boleh menjadikan janji tersebut sebagai sasaran yang mahu dicapai. Dalam kes tersebut, rahsiakan terlebih dulu janji anda dan bina sehingga ia mencapai ke tahap yang hampir sempurna. Barulah dedahkan janji anda ke muka umum.

Adakah ianya ayat politik…? tidak ia adalah sebuah penjenamaan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Janji ditepati !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge