Kali ini saya kongsikan pula senarai semak aktiviti pemasaran perniagaan anda.

Setiap kali saya bagi ceramah pendek pasal perniagaan, pemasaran merupakan salah satu perkara yang saya tekankan.

Ramai usahawan yang terlepas pandang bab pemasaran ini. Paling kerap, ialah mereka yang jalankan bisnes konvensional yang melibatkan kemahiran usahawan itu sendiri.

Bisnes yang jadi gaya hidup taukeh itu untuk cari makan. Ertinya taukeh terlibat secara aktif terutamanya dalam aktiviti operasi perniagaannya.

Contohnya seperti bisnes workshop kenderaan, bisnes restoran, bisnes servis, bisnes pembuatan dan lain-lain lagi seumpamanya.

Kalau pemilik workshop kenderaan, dia akan mulakan bisnesnya dengan sewa premis dan mula buka workshop tu tunggu orang datang repair kenderaan. Bagi yang lebih bijak, dia akan print fliers untuk diedarkan ke sekitar premis perniagaannya.

Bagus dah tu, edarkan fliers … tapi kebanyakannya hanya print dan edar dalam 2 atau 3 ratus fliers saja. Dan lebih teruk lagi, itulah pertama kali dan yang terakhir dia edarkan fliers.

Setakat jumlah 2 atau 3 ratus fliers dan dibuat sekali seumur hidup perniagaannya, memang tidak cukup lansung untuk dikatakan bersungguh-sungguh buat usaha pemasaran.

Aktiviti pemasaran perniagaan perlu berterusan

Sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Juga untuk semua kawan-kawan usahawan lain. Aktiviti pemasaran ini perlu dilakukan secara berterusan tanpa jemu. Tak boleh berhenti. Cuma boleh dinaik atau diturunkan bajetnya sahaja.

Kenapa anda perlu buat aktiviti pemasaran perniagaan anda secara berterusan?

Sebab paling penting adalah kerana jumlah orang yang masih tak tahu perniagaan anda wujud adalah terlalu ramai berbanding mereka yang tahu.

Mustahil untuk orang yang tak tahu tentang perniagaan anda – walaupun dia sebenarnya memang pelanggan yang memang perlu apa yang anda tawarkan – akan datang membeli di kedai anda itu jika dia tak tahu yang anda wujud.

Untuk pastikan kemungkinan orang datang, anda perlu pastikan dia tahu kewujudan anda terlebih dahulu. Itulah tujuan pertama untuk anda buat aktiviti pemasaran.

Objektif pemasaran biasanya berbeza-beza. Saya rasa, ada 3 objektif utama yang anda nak capai dalam setiap aktiviti pemasaran;

  1. Untuk mendedahkan syarikat anda pada pelanggan sasaran – Kalau bisnes anda hanya diperlukan oleh mereka yang sedang hadapi masalah saja terutamanya, anda perlu sentiasa pasarkan bisnes anda secara konsisten supaya orang ingat. Supaya dia cari anda bila ada masalah nanti.
  2. Untuk tingkatkan jualan – Kalau nak tingkatkan jualan yang dah tepu, anda perlu buat aktiviti pemasaran. Perlu rangka aktiviti supaya orang tertarik untuk beli atau dapatkan khidmat yang anda tawarkan. Objektifnya untuk hasilkan jualan, bukan sekadar nak orang kenal anda sahaja.
  3. Untuk tingkatkan keuntungan – Kalau jualan dah cukup banyak, anda masih perlu berusaha untuk buat pemasaran juga. Tapi dengan matlamat untuk tingkatkan keuntungan pula. Salah satu caranya adalah dengan fokus pada produk yang paling menguntungkkan.

Sebelum nak buat apa-apa aktiviti pemasaran, anda perlu jelas terlebih dahulu apa objektif yang nak dicapai. Samada objektif no. 1, 2 atau 3 kat atas tu.

Bila dah jelas objektifnya, barulah anda boleh fikirkan cara yang paling berkesan untuk laksanakan aktiviti pemasaran anda itu. Contohnya, kalau sekadar nak orang ingat dan tahu kewujudan anda, anda boleh buat video geli-geleman seperti sesetengah individu terkenal yang sering amalkan.

18 senarai semak aktiviti pemasaran perniagaan

Oklah!, saya akan teruskan pada senarai semak aktiviti pemasaran perniagaan anda sekarang. Tak payah nak panjang-panjang terangkan pasal pemasaran ni sebab memang tak akan habispun kalau nak dilengkapkan.

Sayapun bukannya pakar pemasaran, mustahil saya tahu kesemuanya secara lengkap. Saya hanya fokus pada perkara basic saja untuk pastikan bisnes saya hidup dan mampu sara kehidupan saya supaya lebih selesa.

Jika anda juga macam saya. Suka pada perkara asas dan ringkas serta praktikal, sila ambil perhatian pada senarai semak berikut di bawah;

  1. Senarai aktiviti pemasaran anda – Adakah anda punya senarai aktiviti pemasaran yang anda buat sekarang. Senaraikan satu persatu macam mana anda buat supaya orang tahu kewujudan bisnes anda. Satu aktiviti saja memang tak cukup!
  2. Ukur keberkesanannya – Ada banyak aktiviti bagus. Tapi kalau anda lansung tak ukur mana satu yang berkesan dan mana satu yang tak, anda akan buang banyak tenaga dan duit. Jadi pastikan anda ukur setiap aktiviti pemasaran yang dibuat.
  3. Apa dan bagaimana anda ukur – Macam yang saya nyatakan kat atas tadi. Objektif pemasaran berbeza. Anda perlu tahu objektif yang nak dicapai dan ukur dari segi kos. Perlu tahu macam mana nak ukur dengan betul. Kalau tak tahu, cari buku baca atau tanya orang yang tahu.
  4. Kawal dan tapis aktiviti pemasaran anda – Bila dah ukur, anda dapat kawal dan tapis semua aktiviti tersebut. Ubah atau hentikan mana yang tak jalan. Giatkan mana yang berkesan. Cari idea baru dan cuba. manalah tahu kalau-kalau akan jumpa yang lebih berkesan.
  5. Siapa pelanggan utama anda – Adakah anda tahu dengan jelas siapa pelanggan utama bisnes anda tu? Kalau anda ingat semua orang adalah pelanggan utama anda, mungkin anda terlalu umum. Jangan terlalu umum sangat.
  6. Tetapkan ciri-ciri pelanggan utama anda – Adakah anda dah jelas ciri-ciri pelanggan utama anda tersebut. Siapa penggunanya, siapa tukang pengaruhnya, siapa penentunya, siapa tukang bayarnya, kat mana mereka ada dan lain-lain lagi.
  7. Apa kelebihan anda – Pastikan anda tahu apa kelebihan produk atau servis anda berbanding pesaing. Perlu jelas dan dapat disampaikan dengan mudah difahami. Kalau tak tahu, perah otak sampai dapat.
  8. Hilangkan rasa cuak pelanggan – Bagaimana anda pastikan orang percaya dan tak rasa risau untuk cuba pakai produk atau servis anda. Macam mana nak buat supaya orang yakin untuk bagi duit kat anda?
  9. Apa jaminan anda – Macam mana anda jamin supaya perasaan takut hilang terus dari hati pelanggan? anda beri 100% jaminan tak?
  10. Macam mana anda buat iklan – Pastikan semua iklan yang berorientasikan nak menjual ada elemen menarik perhatian, bina minat, menimbulkan keinginan dan seterusnya mencetuskan tindakan segera.
  11. Senarai saluran pemasaran anda – Macam mana anda salurkan segala maklumat dan bahan pemasaran anda tu. Buat aktiviti networking online atau offline tak? Fliers, FB, IG, Website, E-mail atau lain-lain seumpamanya. Ada ke tak ada?
  12. Sistem rujukan – Ada rangka ganjaran pada orang yang berikan atau merujuk pelanggan pada anda tak?
  13. Usahasama – Ada buat kerjasama atau usahasama dengan bisnes lain yang relevan dengan bisnes anda tak? Bisnes lain yang ciri-ciri pelanggannya sama dengan bisnes anda. Tukar senarai pelanggan suka sama suka umpamanya atau buka booth sama-sama di mana-mana event.
  14. Telemarketing – Pernah cuba telemarketing tak? Buat sendiri atau upah mereka yang pro.
  15. Signboard dan Billboards – Premis anda ada papan iklan syarikat tak? Menarik dan mudah dibaca tak? pernah tanya orang samada mudah nampak dan mudah faham tak? Ada pasang iklan tunjuk arah ke? ada pacak papan iklan tak?
  16. Publisiti percuma – Ada buat aktiviti publisiti percuma macam hantar artikel ke blog hidupringkas.com upamanya atau akhbar, dan lain-lain media. Buat derma ke, pecah rekod apa-apa ke, buat video geli-geli ke atau lain-lain lagi seumpamanya.
  17. Iklan berbayar – Ada buat apa-apa iklan berbayar tak. Google, FB, Siakap Keli, Upah review influencer dan lain-lain lagi seumpamanya.
  18. Senarai produk tambahan – Ada apa-apa produk atau servis dari bisnes kawan yang anda boleh gabungkan sekali dengan produk yang anda ada tak. Buat pakej untuk dipasarkan pada pelanggan sasaran anda.

Dah selesai 18 senarai semak aktiviti pemasaran perniagaan yang boleh anda semak untuk perniagaan anda sendiri.

Mungkin ada banyak lagi yang saya terlepas pandang. Tapi cuba lengkapkan yang 18 kat atas tu dulu. Kalau semua dah dibuat, saya yakin anda akan berjaya bawa hasil juga akhirnya.

Kalau semua dah dibuat, tapi satupun tak ada hasil lagi, saya tak tahu macam mana nak tolong lagi. Mungkin kena pergi cari bomoh marketing lah kot!

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge