Macam mana nak tentukan harga produk atau perkhidmatan yang perniagaan anda buat?

Soalan berkenaan nak tentukan harga produk ini ada kalanya agak memeningkan sikit. Terutamanya bagi mereka yang tak ada pengalaman berniaga.

Bagi yang dah ada pengalaman, mereka biasanya dah ada idea berapa harga produk atau perkhidmatan yang nak ditawarkan kepada pelanggan. Mudah sebab mereka dah ada pendedahan terhadap perniagaan yang dijalankan.

Masalah timbul bila anda tak pernah terlibat dalam industri yang dibuat, tak ada pengalaman kerja dalam industri yang sama ketika makan gaji. Tiba-tiba timbul idea entah dari mana nak buat perniagaan tersebut.

Panduan mudah tentukan harga produk

Walau apapun perniagaan yang anda buat, dah ada pengalaman atau tidak, elok juga kita buat sedikit ulangkaji macam mana harga sesebuah produk atau perkhidmatan ditentukan oleh peniaga.

Mungkin ada yang terlepas pandang.

Maklumlah selama ini harga produk atau servis tu memang dah ada dalam kepala. Main ikut saja berapa harga yang ada dalam pasaran. Sampai terlupa pada soalan samada sesuai atau tidak harga tersebut.

Jadi berikut saya kongsikan sedikit panduan macam mana anda boleh tentukan harga produk atau perkhidmatan.

#1. Kesan pada harga tinggi atau rendah

Anda perlu sedar asas ini.

Kalau harga produk anda mahal, anda perlu terima hakikat bahawa jualan produk anda dari segi kuantiti akan lebih rendah. Berbanding jika harga produk anda murah, sudah tentu jualan dari segi kuantiti produk anda akan lebih tinggi.

Nak tentukan harga lebih mudah jika produk atau servis yang anda tawarkan memang dah ada yang serupa dalam pasaran. Kalau benda baru yang anda perkenalkan, lebih sukar untuk tentukan harga ni. Mungkin anda perlu lihat kepada produk atau servis yang hampir serupa yang tawarkan nilai atau penyelesaian masalah yang sama untuk dijadikan perbandingan.

Satu lagi perkara penting. Anda perlu abaikan terlebih dahulu kos produk atau servis anda. Harga produk atau servis yang peniaga tawarkan sebenarnya tidak bergantung pada kos bagi membuat atau mendapatkan produk anda itu.

Pengguna tak peduli berapa kos anda terpaksa keluarkan. Mereka lebih tumpukan perhatian terhadap perbezaan harga produk atau servis yang ada dalam pasaran. Itulah yang biasanya pengguna ambil untuk dibuat perbandingan

Satu lagi perkara penting. Harga adalah apa yang pengguna bayar untuk mendapatkan produk atau servis anda. Nilai pulak adalah apa yang pengguna rasakan berbaloi buat dirinya. Berbaloi dalam ertikata keupayaan menyelesaikan masalah yang dia hadapi.

Jadi, kalaupun produk anda murah tapi lansung tak dapat selesaikan apa-apa masalah buat pelanggan, mereka akan rasa tertipu dan anggap produk anda mahal.

#2. Senaraikan semua harga pesaing

Langkah awal yang anda perlu buat, macam yang saya sebut kat atas tadi adalah untuk kenal pasti semua produk atau servis yang ada dalam pasaran.

Anda perlu pergi semak semua harga yang pesaing tawarkan. Buat senarai dan susun berdasarkan harga dari yang paling rendah kepada yang paling tinggi.

#3. Tentukan di mana kedudukan anda

Bila dah ada senarai harga produk dari paling rendah kepada yang paling tinggi, tentukan di mana kedudukan produk atau perkhidmatan anda dalam senarai tersebut.

Katakan ada 3 produk;

  1. RM10
  2. RM13
  3. RM16

Katakan produk anda adalah X. Jadi sekarang ada 4 produk. Rasa-rasanya, kat mana nak letak kedudukan X itu.

Adakah nombor 1, 2, 3, atau 4?

Jika nombor satu, ertinya anda akan jadikan produk atau servis anda paling murah. Kalau nombor 4, ertinya anda andaikan produk X anda itu paling mahal berbanding semua produk yang ada.

Untuk tentukan kedudukan tersebut, anda perlu lihat kelebihan atau kekurangan produk anda berbanding semua prosuk pesaing. Logiknya, jika produk anda duduk di tempat ke 4, anda perlu pastikan tak ada pesaing yang lebih baik dari produk X anda itu.

Perlu ada alasan untuk mengesahkan kedudukan anda. Bukan main belasah letak saja berdasarkan kos membuat atau menyediakan produk atau servis anda.

#4. Murah sedikit lebih bagus

Katakan anda buat keputusan untuk letakkan produk X anda itu pada kedudukan nombor 4. Anda dah yakin bahawa kelebihan produk X anda tu dah mengatasi kesemua pesaing yang ada.

Anda boleh saja letakkan harga paling mahal. Perkenalkan X sebagai produk atau servis Premium yang layak untuk pengguna kelas atasan.

Memang ada strategi yang peniaga gunakan sedemikian. Dan memang tak salah pun.

Tapi secara umumnya, harga yang lebih rendah sedikit adalah lebih baik. Dalam kes produk X itu, anda mungkin boleh letakkan kedudukan nombor 3. Asalkan kelebihan yang ada lebih sedikit sahaja dari produk paling mahal dalam pasaran.

Tapi kalau kelebihan adalah amat istimewa, tak salah untuk letak harga lebih tinggi.

#5. Buat validasi harga

Bila dah tentukan harga, jangan lupa untuk semak terlebih dahulu kepada pengguna.

Pergi tanya pendapat pengguna sasaran apa pendapat mereka terhadap harga produk atau servis yang anda tawarkan. Terangkan semua nilai yang mereka akan dapat dengan harga yang dibayar.

Berikan sample dan biarkan mereka nikmati pengalaman menggunakan produk anda tersebut. Jika majoriti katakan harga anda ok sangat dan amat berbaloi dengan jumlah duit yang perlu dikeluarkan. Maka anda dah berjaya mengesahkan harga produk atau servis yang mahu diletakkan.

#6. Kira margin keuntungan

Walaupun dah mendapat pengesahan tentang harga, masih belum tamat lagi proses menentukan harga produk atau servis itu.

Anda perlu kira jumlah untung dan rugi yang perniagaan anda bakal dapat bila dah jalankan perniagaan secara sepenuhnya nanti.

Jadi perlu tahu kira untung kasar dan untung bersih. Perlu tahu berapa titik pulang modal dan perlu tahu saiz pasaran dan unjuran jualan yang mampu anda buat secara logik.

Bab itu perlu ada satu topik yang tersendiri. Rasanya saya dah pernha kongsikan kat dalam blog ini.

Bila dah buat kiraan untung dan rugi. Dan anda dapati tidak cukup untuk buat keuntungan. Malah tak boleh nak rasa gaji sendiripun. Maka perlu semak semula kesemua projek perniagaan anda tersebut.

Untuk jadikan ianya untung, anda perlu naikkan lagi harga.

Dan untuk naikkan harga lebih tinggi, anda perlu tambah lagi nilai yang pelanggan bakal dapat supaya mereka rasa berbaloi.

Begitulah lebih kurang panduan mudah dan ringkas bagaimana nak tentukan harga produk atau servis yang anda tawarkan kepada pelanggan. Harap membantu terutamanya buat yang masih fening bagaimana nak tentukan harga.

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge