syarikat yang tidak bernilaiKali ini saya nak kongsikan pengalaman bagaimana seseorang usahawan itu boleh terperangkap dalam syarikat yang tidak bernilai yang dibinanya sendiri.

Kalau nak diikutkan, tahun ini dah masuk tahun ke-13 saya menjadi usahawan secara sepenuh masa. Itu jika diambil kira fasa kedua saya terjun menjadi usahawan secara sepenuh masa, iaitu bermula pada tahun 2003.

Fasa pertama saya terjun buat kamekaze adalah pada awal tahun 1998. Ketika itu zaman ekonomi meleset di negara kita sedang berada di kemuncaknya. Saya terjun berniaga pada masa itu untuk mendalami makna menjadi seorang usahawan.

Sama macam orang yang baru nak belajar berenang terjun ke dalam air, banyak air yang tertelan masuk dalam perut. Hidung berhingus dan mata kepedihan terkapai-kapai cuba apungkan diri. Macam itulah juga yang saya alami ketika fasa pertama tersebut.

Tapi, semua itu amat berbaloi. Walaupun gaya berenang bukanlah yang terbaik, saya akhirnya mampu juga timbul dipermukaan dan tidak tenggelam dan mati kelemasan. Kalau dalam bahasa orang putih, perkataan ‘survival’ adalah perktaan yang amat sesuai di ketika itu. Dan saya belajar apa erti survival pada fasa pertama tersebut, yang ilmunya amat berguna pada masa yang berikutnya dalam dunia keusahawanan.

Itu pengajaran pertama yang amat bernilai yang saya nasihatkan pada semua orang yang nak jadi usahawan. Anda perlu faham dan kuasai ilmu survival untuk terus terapung dalam dunia keusahawanan. Dan ilmu tersebut tidak boleh anda pelajari walaupun masuk Oxford atau masuk Havard.

Selagi anda tak terjun jadi usahawan, anda tak akan dapat belajar bagaimana nak survive. Tak payah nak berlagak cakap pandai walaupun anda ada phd dalam jurusan perniagaan. Selagi tak pernah berniaga secara sepenuh masa, anda sebenarnya masih tak faham apa itu survival dalam dunia penuh mencabar keusahawanan.

Selepas habis fasa pertama terjun jadi usahawan, pada tahun 2000 saya masuk dalam dunia makan gaji semula. Kali ini lebih matang dan bersedia untuk menjadi seorang pekerja yang disayangi majikan. Baru saya sedar betapa perlunya memberikan sumbangan pada majikan yang membantu kita terus ada pendapatan secara konsisten.

Fasa pertama saya tidak lama. Bermula pada tahun 1998 dan berakhir pada tahun 2000. Ertinya saya belajar erti survival hanya dalam tempoh 2 tahun. Bila masuk makan gaji semula, saya ada dua matlamat.

  1. Untuk jadi seorang pekerja yang produktif dan berdisiplin membantu majikan mencapai matlamatnya. Ertinya saya belajar cara terbaik untuk menjadi seorang perlaksana. Ini satu perkara penting yang diperlukan bila dah jadi usahawan.
  2. Untuk mencari idea perniagaan baru yang bakal saya laksanakan semula bila tiba masanya. Saya berazam untuk terjun semula jadi usahawan bila umur masuk 35 tahun. Ketika itu saya hanya ada lebih kurang 3 tahun saja untuk buat keputusan nak berniaga apa.

Apa yang saya rancangkan ketika itu berjalan dengan baik mengikut dan menuju kepada apa yang saya sasarkan. Akhirnya pada tahun 2003 saya terjun sekali lagi. Kali ini saya bakar segala jambatan yang menghubungkan saya pada dunia makan gaji. Saya berazam tidak akan berpatah balik menjadi pekerja.

Terperangkap dalam syarikat yang tidak bernilai

Saya dah kongsikan dalam banyak artikel yang lalu bagaimana saya buat strategi untuk berniaga tanpa ada satu senpun dalam akaun bank. Bermula dari situlah saya belajar bagaimana nak membina sebuah syarikat.

Pengalaman yang lalu, saya cuma belajar bagaimana nak bina syarikat yang boleh bergerak sendiri. Cara mudahnya adalah membina sistem agar syarikat tidak memerlukan keberadaan saya untuk terus berfungsi.

Cara mudah yang saya buat adalah dengan memberi peluang pada orang bawah dan mengajar mereka semua yang saya tahu untuk menguruskan perniagaan. Strategi itu ternyata berjaya. Saya delegate hampir kesemua urusan dalam menguruskan syarikat.

Tapi malangnya saya tidak sedar bahawa walaupun syarikat tersebut mampu berjalan tanpa saya, ianya masih tidak bernilai secara maksima. Ada satu lagi perkara penting yang saya tak sedar yang membuatkan saya terus terperangkap di dalam sebuah syarikat yang tidak bernilai.

Hindari syarikat yang tidak bernilai

Hasil daripada berkawan dan terutamanya banyak membaca dan mencari jawapan, akhirnya saya mula faham bagaimana untuk mengelakkan diri daripada terus berada di dalam syarikat yang tidak bernilai.

Saya tak akan berikan perinciannya kat sini, tetapi cukup sekadar perkongsian beberapa maklumat penting untuk anda usahawan di luar sana jadikan pedoman.

Kenapa sebuah syarikat yang tidak bernilai wujud ?

Ada dua sebab utama;

  • Syarikat bergantung pada taukeh sepenuh masa. Jika taukeh meninggal, syarikat juga akan turut meninggal.
  • Syarikat tidak punya produk atau tawaran yang boleh dibesarkan saiz pasarannya.

Saya memang dah masak untuk selesaikan urusan pertama di atas. Tapi nampaknya urusan kedua masih lagi menjadi satu perkara baru buat saya. Secara teorinya saya mungkin tahu, tapi belum lagi secara praktikal yang membuahkan hasil.

Di sini saya hanya fokuskan pada panduan ringkas untuk membina tawaran produk atau perkhidmtan yang mampu membesar. Anda boleh mula fikirkan petua di bawah ini untuk merangka strategi buat syarikat anda sendiri pula.

Untuk pastikan syarikat anda ada nilai, urusan kedua di atas adalah urusan yang amat penting sebagai ttik mula. Jika anda masih tak berusaha untuk melakukan strategi tersebut, alamat anda akan terperangkap dalam syarikat yang tidak bernilai selama-lamanya.

Apa yang anda perlu lakukan sekarang adalah untuk menyenaraikan kesemua produk atau perkhidmatan yang ada satu persatu.

Bila dah buat kesemua senarai tersebut, lakukan langkah berikut:

  • Asingkan produk yang tidak boleh membesar saiz pasarannya daripada yang mampu membesar.

Macam mana nak tahu samada produk anda ada ciri-ciri membesar dengan baik ?

Ada tiga kriteria yang anda mesti lihat:

  1. Produk atau perkhidmatan itu mudah untuk diajar atau diperturunkan pada orang lain.
  2. Produk atau perkhidmatan itu mestilah dipandang bernilai oleh pelanggan anda.
  3. Produk atau perkhidmatan anda mestilah boleh dijual berulang kali pada pelanggan yang sama.

Kesemua kriteria tersebut mesti ada pada produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan pada pelanggan. Jika hanya bernilai tapi susah nak ajar pada pekerja lain untuk dilaksanakan, ianya akan menyusahkan syarikat anda.

Jika ianya mudah untuk diajar tetapi pelanggan anggap ianya tak ada nilai atau boleh dapat dengan mudah daripada syarikat lain, ia juga tidak membantu syarikat anda untuk jadi bernilai. Begitu juga jika ianya mudah diajar, bernilai tetapi pelanggan hanya perlu beli sekali sahaja atau keluarkan duit sekali sahaja, masih tidak baik untuk syarikat anda.

Itulah formula terkini yang saya yakin amat penting untuk keluarkan diri anda daripada berterusan duduk dalam sebuah syarikat yang tidak bernilai. Saya memang nak berikan contoh kat sini, tapi nampaknya artikel ini dah terlalu panjang.

Lagipun, kalau saya perturunkan semua, anda tentu tak akan perlukan khidmat Business Coaching saya lagi selepas ini. Saya tangguhkan kesemua perincian itu hanya pada pelanggan setia saya sahaja yang ambil program HR Biz Coaching daripada Hidup Ringkas Dot Com Sdn Bhd.

Selamat berfikir !

Total
93
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge