susun semula syarikat supaya lebih cekapJika anda sedang tercari-cari formula untuk susun semula syarikat yang sedang di uruskan, ini artikel yang memang sesuai untuk dibaca.

Terlebih dahulu, kenapa anda terfikirkan idea untuk susun semula syarikat ?

Sudah tentu ada banyak sebabnya. Dan paling penting sekali ianya ada kaitan dengan prestasi syarikat yang sedang menjunam.

Bila syarikat menjunam, ertinya pendapatan syarikat semakin merosot. Dan jika dibiarkan sudah pasti bakal menjejaskan kelansungan hidup perniagaan yang sedang dijalankan.

Masa yang sesuai susun semula syarikat

Dunia perniagaan sekarang amat mencabar.

Saya lihat jumlah orang yang berniaga semakin lama semakin menggalakkan. Tekanan ekonomi dan tekanan untuk ikuti rentak gaya kehidupan masyarakat sekarang, membuatkan jumlah yang terjun berniaga meningkat dengan amat drastik.

Semua itu membuatkan persaingan bertambah sengit dalam apa saja industri perniagaan.

Cuba lihat jumlah peniaga pacak tepi jalan di sekitar tempat anda tinggal dan sepanjang laluan kebiasaan anda, jumlahnya amat luar biasa sekali.

Itu baru perniagaan yang muncul secara fizikal di dunia nyata dan tepi jalan.

Jika diambil kira dengan jumlah perniagaan yang dibuka melalui internet terutamanya melalui FB, jumlahnya sudah tentu terlalu banyak.

Malah, bagi setiap kemunculan satu perniagaan pacak tepi jalan, mungkin akan ada lebih dari 10 perniagaan dalam dunia cyber.

Ramai mengeluh bisnes teruk

Setiap kali balik ke utara dan minum teh tarik dengan kawan-kawan yang berniaga di sana, mereka sentiasa mengeluh dengan cabaran perniagaan sekarang yang semakin merosot.

Mereka cuba cari di mana punca segala masalah tersebut.

Ramai yang sangka puncanya adalah disebabkan persaingan dari peniaga yang muncul tepi jalan macam cendawan lepas hujan.

Tapi ramai yang tak perasan persaingan yang mereka hadapi dari peniaga yang muncul dalam dunia cyber.

Cabaran persaingan bisnes kedai makan

Cuba bayangkan persaingan yang dihadapi oleh kedai makan di tepi jalan.

Selain dari persaingan peniaga makanan lain di seberang jalan sana dan di persekitaran yang berhampiran, ada lagi persaingan yang jauh lebih mencabar.

Ramai makcik dan pakcik serta abang dan kakak yang buka tawaran jual makanan melalui FB.

Mereka pasarkan perniagaan makanan mereka melalui media sosial. Buka tempahan, masak kat rumah, dan buat penghantaran.

Kalau peniagaan kedai makan anda tidak punya apa-apa keistimewaan untuk membuatkan orang kekal datang dan makan, jangan hairan jika perniagaan anda merosot ke tahap yang amat teruk.

Itu hanya misalan dalam industri kedai makanan.

Ada banyak lagi industri lain yang menghadapi masalah yang sama dalam bab persaingan.

Syarikat lama perlu susun strategi

Untuk syarikat baru mungkin tak berapa nak risau sangat. Tambahan pulak jika bermula hanya melalui medai social. Kos kerugian kalau bungkus, yang terpaksa di tanggung tak berapa tinggi.

Tetapi kalau anda dah lama berniaga, dan ada ramai kakitangan pula, perlu fikirkan sesuatu untuk hadapi masalah perniagaan sekarang.

Urusan paling penting adalah untuk pastikan para pekerja tidak rasa lemah semangat untuk terus membangunkan syarikat.

Termasuklah taukeh syarikat.

Perlu pastikan taukeh juga tidak patah semangat dan mula nak cari idea buat bisnes lain pulak.

3 langkah susun semula syarikat

Untuk pastikan semangat yang mula hilang kembali segar, anda perlu buat 3 langkah seperti berikut.

  1. Semak semula tumpuan strategik berdasarkan keutamaan syarikat
    • Buang segala urusan dan aktiviti yang tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat. Meeting yang tidak berfaedah dan membuang masa perlu dielakkan terus. Jangan terpengaruh dengan cara kerja syarikat korporat besar bermeeting. Syarikat kecil yang pekerja kurang dari 150 orang boleh berkomunikasi dengan baik secara santai, tanpa terlalu banyak meeting formal.
    • Buang segala produk atau servis yang tidak menjana keuntungan dan tinggalkan hanya satu atau dua sahaja produk atau servis yang berfungsi untuk menarik  pelanggan baru mencuba sahaja. Jangan terlalu leka nak buat berbagai produk dengan alasan nak kepelbagaian sedangkan ianya memberikan keuntungan yang terlalu sedikit.
    • Berikan tumpuan penuh terhadap produk yang mahu dijual berdasarkan keuntungan yang terbaik. Mantapkan lagi produk tersebut supaya pelanggan terus setia dan kekal dengan syarikat.
    • Buang jenis pelanggan yang tidak memberikan keuntungan kepada syarikat. Semak semula demografik pelanggan sasaran dan berikan tumpuan pada yang benar-benar sesuai dengan produk atau servis yang mahu diketengahkan. Terutamanya pelanggan yang asyik nak tekan harga dan banyak songeh, hapuskan terus dari senarai.
  2. Susun semula bajet dan peruntukan syarikat
    • Berdasarkan kesemua aktiviti semak semula di atas tadi, segala bajet atau peruntukkan kewangan pada perkara yang tidak berfaedah atau amat sedikit kesannya perlu dikurangkan sehingga ke tahap zero. Jangan teragak-agak untuk ubah saluran kemana perginya peruntukan syarikat hanya pada yang benar-benar memberikan impak.
    • Biasanya usahawan masih nak berikan juga peruntukan walaupun sedikit pada aktiviti yang diandaikan berfaedah pada syarikat. Apa salahnya, sedikit sahaja, anggapan mereka. Bersikap degil dan nekad untuk hapuskan terus aktiviti tersebut supaya tidak terpedaya dengan kesibukan sedangkan ianya tidak memberikan impak yang tinggi.
  3. Susun semula model perjalanan syarikat
    • Lihat semula segala proses perniagaan dilaksanakan dari A sampai Z. Kenal pasti mana satu yang perlu dikekalkan dan mana satu yang perlu dihapuskan. Kenal pasti juga aktiviti yang boleh di-outsource pada organisasi lain yang jauh lebih cekap.
    • Formulanya meringkas kesemua urusan perlu dipertingkatkan. Sekiranya proses terlalu rumit dengan berlapis-lapis proses sebelum matlamat terlaksana, itu memberi tanda perlunya kepada meringkaskan proses.
    • Semak kepada kegunaan teknologi untuk meringkaskan proses kerja. Laburkan sedikit wang untuk memperolehi teknologi yang mampu meringkaskan proses kerja. Ianya berbaloi untuk memantapkan perjalanan dan daya saing syarikat.
    • Lihat segala proses yang banyak menghabiskan masa dan makan banyak kos sedangkan pelanggan tidak menghargai langsung usaha tersebut. Kalau boleh buang, buang saja.
    • Lihat juga segala proses yang mudah dan amat murah dari segi kosnya sedangkan pelanggan amat menghargai syarikat atas usaha terhadap aktiviti tersebut. Perbanyakkan lagi aktiviti seumpamanya dan mantapkan lagi supaya lebih hebat mana yang dah sedia ada.
    • Jangan lupa untuk semak semula carta organisasi syarikat. Lihat samada ada pertindihan. Lihat juga samada organisasi syarikat mengelirukan dan memberikan kesan birokrasi yang tidak diperlukan.

Hasil dari menyusun semula 3 perkara di atas mampu memberikan suasana ceria semula kepada syarikat. Masa kesibukan terhadap perkara yang tidak memberikan faedah kepada perjalanan syarikat akan berjaya dihapuskan.

Ini membawa kepada kurangnya tekanan kerja kepada pekerja syarikat, terutamanya tekanan yang tidak berfaedah dan tidak diperlukan.

Artikel ini adalah untuk diri saya sendiri. Jika anda rasa berfaedah dan boleh dilaksanakan sama pada syarikat anda, sila amalkan. Kalau ada nota tambahan, minta tolong komen kat bawah.

Total
25
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge