Abstract DiagramSebagaimana yang saya janjikan dalam artikel sebelum ini, berikut saya senaraikan 4 perkara penting yang perlu saya fikirkan bagi membentuk sebuah syarikat berjaya.

Kriteria ini akan saya jadikan sebagai panduan bagi membina syarikat saya. Anda yang berniaga dan punyai syarikat sendiri diluar sana boleh jadikan 4 kriteria penting ini juga sebagai panduan agar terbina sebuah syarikat berjaya yang menjadi rebutan pelabur untuk membelinya.

Seperti yang saya dah sebut. Semuanya berkisar tentang menjadikan syarikat berjaya sebagai idaman semua orang yang ada banyak duit untuk mendapatkannya. Bukan saja orang perseorangan, malah juga menjadi idaman syarikat gergasi lain yang sedang meneropong membuat pembelian syarikat bagi meluaskan empayar perniagaan mereka.

Adalah diingatkan bahawa bukan tujuan utama nak jual syarikat. Tapi sebagai panduan asas dalam menjayakan sebuah syarikat berjaya yang mesti dibina dan dibentuk.

Bila ada satu garis panduan, maka lebih mudah untuk kita membuat perancangan dan menentukan mana yang paling utama antara yang utama.

Ok! tanpa berlengah lagi saya senaraikan 4 kriteria tersebut di bawah:

#1. Syarikat berjaya mesti menjana keuntungan

Ini sudah tentu salah satu syarat utama. Anda tentu mahu sebuah syarikat yang mampu menjana keuntungan. Pembeli atau pelabur yang ada banyak duit juga hanya berminat pada syarikat yang boleh buat duit bagi memastikan pulangan pada pelaburan dapat direalisasikan.

Bukan saja menjana untung sekali sekala, malah mampu menjana keuntungan secara konsisten dan adalah lebih bagus seandainya tahap keuntungan meningkat dari masa ke semasa tahun demi tahun.

Ingat! keuntungan yang dimaksudkan adalah keuntungan bersih setelah ditolak segala kos berubah atau kos jualan dan juga segala kos perniagaan termasuklah gaji dan segala keistimewaan yang perlu dibayar pada pemiliknya sendiri.

Saya sering ingatkan perkara ini kerana ramai usahawan di luar sana anggap lebihan dari segala kos adalah milik taukeh. Ada juga yang belasah semua lebihan tersebut sampai syarikat langsung tak ada buat sebarang keuntungan.

#2. Syarikat berjaya mesti mampu bertahan dengan pancaroba

Mana-mana saja ekonomi dunia ada naik dan turunnya. Begitu juga kesannya pada syarikat perniagaan anda, akan ada masanya dilanda pancaroba.

Syarikat yang berjaya mesti mampu bertahan dalam keadaan tersebut. Jangan bila berlaku saja kemelesetan ekonomi, maka syarikat kita menjadi antara yang paling awal gulung tikar.

Untuk itu segala persediaan mesti dirancang untuk bersedia dalam keadaan sebegitu dan mampu bertahan dalam masa yang secukupnya sehingga ekonomi pulih semula.

Perkara paling penting yang sentiasa perlu diingat adalah untuk memikirkan kes paling buruk yang boleh berlaku. Dalam bahasa orang putih dipanggil ‘worst scenario‘.

Ramai pemimpin yang gagal antara lain disebabkan gagal mempertimbangkan kemungkinan paling buruk yang boleh berlaku.

Jika kita buat andaian dengan betul, maka kita sekurang-kurangnya menyediakan ruang yang cukup dalam perancangan untuk pemulihan jika ianya benar-benar berlaku.

#3. Syarikat berjaya mesti mampu membesar

Cuba tanya diri anda sekarang samada syarikat anda mampu membesar atau tidak?

Jika semuanya bergantung hanya pada diri taukeh, pasti syarikat tersebut tak akan mampu membesar. Kita ada masa yang terhad. Keupayaan kita juga tak setakat mana kalau semuanya mengharapkan taukeh.

Ya! syarikat anda ada, mungkin buat banyak duit sekarang, banyak menjana keuntungan dan anda sebagai taukeh boleh pakai kereta besar, isteri besar, rumah besar dan segalanya besar dan mewah.

Tapi syarikat yang bergantung hanya pada taukeh bakal membuatkan taukeh sentiasa menggantungkan bluetooth pada telinganya untuk selesaikan segala masalah daripada menjual sampai aktiviti selepas jualan.

Mana ada masa lapang dan tak ada kedamaian kalau jadi begitu. Jangan jadi macam buruh kasar yang kerja tak tentu jam.

Sebagai idea awal, perlu difikirkan bagaimana nak jadikan syarikat mampu menjana jualan secara auto. Bagaimana syarikat mampu mencari sumber kewangan dengan mudah untuk sebarang projek yang perlukan dana besar.

Syarikat juga mesti ada kumpulan yang teratur menyusun segala perancangan dan memburu sumber tenaga kerja yang diperlukan daripada bos sampai ke buruh.

#4. Syarikat berjaya mesti ada kelebihan tersendiri

Ramai usahawan mengeluh apabila mereka tewas dalam persaingan terutamanya dari segi harga.

Bila tengah sedap berniaga tiba-tiba datang pesaing buat lambakan tawaran yang sama dengan harga yang lebih murah, alamat anda akan gulung tikar dalam masa yang pantas.

Oleh itu bagaimana nak pastikan syarikat sentiasa berada di hadapan dan tak perlu lihat kebelakang berapa dekat pesaing sedang mengejar.

Apa formula yang boleh dirangka agar tak ada orang dengan mudah meniru tawaran perniagaan anda?

Memang ada usahawan yang sering berkata tak perlu lihat pesaing.

Kita hanya perlu lihat diri kita saja dan sentiasa berikan yang terbaik kepada pelanggan. Tapi bagaimana nak buat begitu jika anda baru berniaga dan baru nak cari pelanggan?

Takkan tak perlu lihat apa yang ada di pasaran?

Jom bina syarikat berjaya

Begitulah rasanya tugasan berat yang sedang berkecamuk dalam kepala saya sekarang.

Saya perlu realisasikan sebuah syarikat berjaya berpandukan 4 kriteria yang telah digariskan di atas. Saya tak berikan panduan bagaimana nak lakukan kesemua itu. kerana saya sendiri sedang sibuk mencari dan cuba merangkakannya.

Asalkan ada panduan, insyaalah ianya akan menjadi lebih mudah. Dengan 4 panduan membina syarikat berjaya itu, saya ada sasaran yang mahu dicapai.

Harap anda juga sedang memikirkan perkara yang sama.

Bukan mudah nak berjaya, bukan mudah nak bina syarikat berjaya. Ia umpama sebutir intan yang amat berharga, susah nak cari.

Tapi intan itu ada.

Hanya mereka yang berusaha secara konsisten sahaja tanpa jemu yang mungkin akan menemuinya. Insyaallah !, tolong doakan agar saya berjaya. Amin!

Total
21
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge