tips uruskan perniagaan ketika ekonomi melesetPernahkan anda terfikir, jalan yang perlu diambil dalam menguruskan perniagaan ketika keadaan ekonomi meleset?

Biasanya dalam tempoh sepuluh tahun sekali, ekonomi dunia atau sesebuah negara akan menghadapi saat getir kemelesetan ekonomi.

Kita akan lihat banyak syarikat yang dulunya kukuh dan hebat mula goyang. Kita juga boleh lihat usahawan yang sebelum ini mewah terbang tinggi, dah mula turun rendah dalam kegawatan ekonomi.

Kesan ekonomi meleset terhadap perniagaan pada 1997

Contoh paling dekat yang ramai rakyat Malaysia seangkatan dengan saya saksikan, berlaku pada suasana perniagaan di negara kita bermula tahun 1997.

Krisis yang bermula di Thailand, negara asal masakan Tom Yam itu merebak ke seluruh negara jirannya termasuklah negara kita Malaysia. Ketika itu orang ramai namakannya sebagai fenomena krisis ekonomi Tom Yam.

Ramai usahawan yang sebelum itu merupakan jutawan, jatuh merudum dengan teruk sekali akibat krisis Tom Yam ketika itu. malah ada usahawan Thailand yang kaya raya berakhir dengan menjadi taukeh sandwich.

Begitu juga di negara kita, gelombang besar yang membuatkan ekonomi meleset ketika itu telah karamkan ramai nama-nama besar dalam dunia korporat di negara kita. Anda boleh cuba ingat semula nama-nama yang sering disebut sebelum era 1997 dalam media massa dan kini kemana mereka menghilang.

Ramai juga kawan-kawan saya yang sebelum itu merupakan kontraktor besar dan berjaya turut menerima tempias akibat suasana ekonomi meleset. Ada yang terus jatuh dan tidak lagi naik sampai ke hari ini.

Tetapi ada sebahagian yang nampak tenang dan melakukan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa. Mereka seperti bersedia dan tidak ambil kisah sangat dengan keadaan ekonomi.

Peniaga-peniaga yang tenang tersebut, sebaik saja keadaan ekonomi mula stabil, mereka kelihatan mula meluncur laju dan kini berjaya jauh lebih tinggi daripada sebelum berlakukanya keadaan ekonomi meleset.

Langkah terbaik perlu diambil jika ekonomi meleset

Dalam suasana ekonomi meleset itu, saya sempat mengikuti satu seminar yang dianjurkan oleh MIM. Para pembentang kertas kerja membentangkan teori masing-masing untuk para usahawan dan juga profesional yang menghadiri seminar itu.

Ketika soal jawab, bangan seorang usahawan berbangsa Cina menyuarakan kerisauannya terhadap suasana ekonomi yang semakin suram. Apa yang dibentangkan oleh para panel mengesahkan lagi keadaan tersebut.

Oleh itu dia minta satu jawapan ringkas dan padat daripada ahli ekonomi yang ada di depan, apa yang mereka, para usahawan perlu lakukan…?

Kisah ekonomi meleset dan sebuah kedai runcit

Salah seorang dari panel menjawab pertanyaan tersebut dengan memberikan satu kisah benar yang berlaku di luar negara. Kisah itu berlaku kepada seorang ayah yang menjalankan perniagaan kedai runcit di tepi jalan utama.

Hasil dari perniagaan kedai runcit itulah dia menyara keluarganya. Dihantar salah seorang anak lelakinya masuk belajar ke universiti dalam bidang pengurusan perniagaan hasil dari perniagaan kedai runcitnya itu.

Sehinggalah datang satu ketika suasana ekonomi meleset melanda negaranya. Malah turut juga melanda di seluruh dunia. Akibat dari keadaan ekonomi meleset itu, perniagaan menjadi suram dan tidak serancak dahulu.

Pekedai runcit itu lalu mengambil sikap yang juga turut diambil oleh semua peniaga lain, mengecilkan perniagaan. Barangan dikurangkan daripada memenuhi rak-rak kedainya.

Pengambilan stok barang juga dikawal dan perniagaan kedai runcit itu mengecil bagi menjimatkan kos operasi dan menerima kenyataan bahawa orang kurang berbelanja dalam suasana sebegitu.

Satu hari anaknya pulang dan terkejut melihat keadaan kedai ayahnya yang suram dan menguncup. Barang kurang dan kelihatan seperti tidak bermaya. Lalu dia bertanya ayahnya apa yang sedang berlaku.

“Tak tahukah kamu bahawa ekonomi meleset sekarang ini, di negara kita dan juga di seluruh dunia…?” jawab ayahnya dalam bentuk pertanyaan.

“Tahu!, tapi kenapa barang kurang, kedai kotor, dan barangan berselerak seperti tidak mahu berniaga…?” sambung anaknya lagi, kehairanan.

“Habis nak buat apa…?”, tanya ayahnya pelik.

Lalu anaknya berkata kedai runcit itu perlu dipertingkatkan dua kali ganda lebih bagus daripada sebelum ini, perbanyakkan barangan dan pastikan suasana ceria jauh lebih bagus daripada biasa.

“Walaupun ekonomi sedang meleset?” tanya ayahnya ingin kepastian. “Ya!”, jawab anaknya ringkas.

Oleh kerana percaya pada anaknya, lagipun anaknya belajar di universiti, ayahnya hanya menurut sahaja pandangan anaknya itu.

Mereka mula menggandakan lagi perniagaan, memasukkan barangan, menceriakan kedai jauh lebih bagus daripada keadaan asalnya dahulu.

Hasilnya, kedai itu terus meningkat jualannya, perniagaannya menjadi jauh lebih menguntungkan walaupun dalam keadaan suasana ekonomi meleset.

Begitulah cara mereka hadapi suasana ekonomi meleset, bergantung bagaimana anda mahu melihatnya, nak besarkan dan matapkan lagi atau nak ikut rentak ekonomi…kecilkan perniagaan dan tunggu sehingga ekonomi pulih.

Total
6
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge