_DSC3251Kali ini saya ingin kongsikan sedikit ilmu bagaimana menyediakan visi perniagaan yang sedang anda jalankan. Artikel ini khas untuk anda yang sudah ada perniagaan dan masih belum ada satu visi perniagaan yang jelas dan mantap.

Bagi anda yang tidak menjalankan perniagaan, hanya sekadar makan gaji, anda juga boleh menggunakan ilmu bagaimana menyediakan visi perniagaan ini untuk merangka satu visi kehidupan anda.

Punyai visi dalam kehidupan amat penting jika anda mahu ada arah dalam kehidupan. Dengan adanya visi, segala tenaga, tumpuan serta sumber material yang ada dapat disalurkan kepada perkara yang tetap.

Majoriti daripada kita tidak ada satu visi yang jelas dalam kehidupan mereka. Ramai yang berubah-ubah visi hidup mereka, sekejap nak jadi itu dan sekejap nak jadi ini. Akhirnya apapun tak jadi.

Bila tak ada visi jelas dan tetap, maka segala sumber yang dianugerahkan oleh Tuhan pada kita akan dibazirkan begitu saja pada terlalu banyak urusan yang tidak tetap. Akhirnya berlaku pembaziran dan satu matlamatpun tak dapat dicapai.

Menyediakan Visi perniagaan penting jika mahu berjaya

Begitu juga dalam perniagaan. Visi perniagaan amat penting untuk membolehkan segala sumber penting seperti tenaga, masa, tumpuan dan wang ringgit dapat dikerahkan pada satu arah yang jelas.

Bayangkan jika anda halakan cahaya dengan cermin berkanta pada satu kertas. Ujikaji ini pernah kita buat ketika di sekolah dulu dan kita semua tahu apa hasilnya. Kertas akan terbakar dengan mudah sedangkan cahaya yang berserakan tak mampu melakukannya.

Sama juga dengan adanya visi. Ia umpama satu alat seperti kanta bagi mengumpulkan segala sumber yang perniagaan kita ada. Dengan daya tumpuan sebegitu, kejayaan sudah pasti lebih tinggi kemungkinannya untuk dicapai, Insyaallah!.

Masalah dalam menyediakan visi perniagaan

Saya yakin semua yang berniaga ada satu visi dalam kepala mereka. Tapi ianya tidak dizahirkan dan diperturunkan pada seluruh anggota pekerja dalam syarikat.

Ramai usahawan hanya simpan visi perniagaan dalam kepala mereka saja dalam keadaan yang tidak jelas dan tidak dapat dibuat satu rumusan yang padu dan mudah untuk difahami.

Paling parah adalah usahawan yang langsung tak ada visi perniagaan dalam syarikat yang diusahakannya. Kalau adapun sekadar untuk melengkapkan company profile. Itupun sebab tiru contoh daripada syarikat yang dah berjaya sedangkan mereka sendiri tak menghayati apa yang dituliskan dalam profil syarikat itu.

Satu lagi masalah usahawan adalah tidak faham apa yang dimaksudkan sebagai visi perniagaan. Malah ada juga yang rasa geli bila ditanya apakah visi syarikat perniagaannya. Mereka rasa seperti angan-angan dan serius sangat. Apa salahnya serius dalam apa yang kita lakukan. Bukankah itu kelebihan untuk berjaya?

Bagaimana menyediakan visi perniagaan

Mari kita lihat sedikit panduan bagaimana menyediakan visi perniagaan yang sedang anda usahakan sekarang. Terlebih dahulu kita perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan Visi Perniagaan.

Secara ringkasnya Visi Perniagaan adalah satu ayat yang menerangkan apakah yang perniagaan anda mahu capai. Bukan sekadar mahu capai malah mahu jadi yang paling baik dalam perkara tersebut. Oleh itu Visi adalah:

“Untuk menjadi yang Paling Baik dalam satu perkara ! “

Perhatikan pada perkataan “Paling Baik” dan perkataan “Satu Perkara”. Cuba fikirkan apakah perniagaan anda boleh buat untuk mendapat pengiktirafan paling baik daripada para pelanggan anda.

Jika anda berjaya menemui perkara tersebut, maka anda sekarang sudah ada satu visi yang boleh dirumuskan atas kertas dan boleh dikembangkan segala langkah bagaimana untuk merealisasikan visi tersebut.

Dengan adanya visi perniagaan yang jelas sebegitu, anda akan mula nampak hala tuju perniagaan anda dengan lebih jelas. Anda akan mula nampak ada banyak kerja yang perlu difikirkan sehinggalah visi perniagaan tersebut tercapai dan seterusnya dipelihara dengan baik apabila sudah tercapai.

Sebagai contoh, saya boleh berikan apakah Visi Perniagaan Hidupringkas Biz Coaching yang sedang saya usahakan:

“Untuk menjadi ‘pembimbing pengurusan perniagaan dan kehidupan‘ yang ‘paling mudah dan berkesan‘ di Malaysia”

Daripada visi tersebut, saya perlu mencari satu strategi yang bersesuaian bagi merealisasikan bimbingan perniagaan dan kehidupan yang paling mudah dan berkesan.

Jika saya serapkan berbagai perkara atau terma yang bercelaru yang tak ramai orang dapat faham, sudah tentu ianya bertentangan dengan visi perniagaan yang saya idamkan.

Selepas menyediakan visi perniagaan saya itu, maka perlu pula difikirkan apa yang saya nak buat untuk mencapai visi tersebut, kita namakannya sebagai strategi.

Daripada strategi saya perlu pula merangka budaya perniagaan yang perlu diterapkan. Itu kita namakan sebagai taktik. Taktik menjawab bagaimana nak laksanakan strategi yang telah dirangka tadi. Dan seterusnya saya perlu merangka satu sistem untuk mengukur segala perancangan yang telah saya susun kesemuanya tadi di atas.

Cukup setakat itu dahulu sebagai mukadimah bagaimana menyediakan visi perniagaan untuk anda mula fikirkan. Jika ada kesempatan saya akan huraikan pula bagaimana merangka strategi bagi mencapai visi.

Ingat! ramai orang ingat Visi Perniagaan hanya sekadar menyasarkan berapa juta wang yang mahu dicapai dalam perniagaan masing-masing. Itu boleh menjadi visi perniagaan anda tapi tidak cukup power untuk membolehkan semua pekerja di bawah syarikat anda ikut bersama secara bersungguh-sungguh dan teruja bagi melaksanakannya.

Total
19
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge