Bagaimana tingkatkan pengeluaran tanpa berhutangArtikel bagaimana tingkatkan pengeluaran tanpa berhutang ini saya tujukan khas untuk pembaca yang mengutus email pada saya yang merupakan seorang wanita.

Dia berkongsikan pengalaman abangnya yang menjalankan perniagaan kerepek ubi dan pisang.

Terima kasih atas usaha saudari yang sudi berhubung dan berkongsikan pengalaman dengan saya melalui email.

Nota: Kalau ada yang lain nak berkongsikan pengalaman atau /dan masalah dengan saya boleh berbuat begitu dengan menggunakan Contact Me yang ada di atas.

Masalah dalam menjalankan perniagaan memang sentiasa ada banyak. Oleh itu tidak hairan jika para usahawan sentiasa memerah otak untuk cuba selesaikan berbagai masalah yang tak pernah habis.

Masalah yang bertubu-tubi itu jugalah merupakan antara alasan kenapa jumlah mereka yang berjaya, setelah terjun menjadi usahawan, terlalu sedikit. Kebanyakannya tewas dan tidak berdaya lagi menjadi kreatif dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Sebaik saja usahawan berhenti mencari jalan keluar dalam merungkai masalahnya, maka kegagalan adalah pasti. Jika usahawan tidak berhenti dan terus mencuba sedaya upaya dengan menggunakan berbagai jalan atau pendekatan yang berbeza, lambat laun masalah itu akan terungkai juga.

Namun begitu, itu bukanlah bermakna masalah sudah habis. Akan datang pula masalah lain dan terpaksa diselesaikan lagi. Semakin jauh perjalanan perniagaan, semakin banyak masalah perniagaan kita selesaikan.

Hasil daripada pengalaman itulah yang membuatkan otot pada otak pemikiran kita menjadi kuat dan bertambah kuat. Macam orang yang menggunakan otot tangannya untuk angkat besi.

Semakin lama dia berlatih angkat besi semakin kuat ototnya. Bila ditambah pula berat besi yang di angkat, bertambah besar pula saiz otot tangannya. Otak pun lebih kurang macam itulah.

Tingkatkan pengeluaran untuk tambah hasil jualan

Salah satu sebab usahawan mahu tingkatkan perniagaan adalah disebabkan oleh adanya permintaan terhadap produknya atau perkhidmatannya.

Bila pengeluaran dapat ditingkatkan maka lebih banyak hasil terjual dan bertambahlah jumlah hasil jualan. Bila hasil jualan bertambah, keuntungan juga biasanya akan turut bertambah jika kena caranya.

Kelebihan pengeluaran yang banyak juga biasanya dapat menjimatkan kos pengeluaran dan ini sekali gus dapat menambahkan margin keuntungan perniagaan tersebut.

Atas alasan ringkas di atas, maka ramailah para usahawan yang teringin nak besarkan perniagaan dengan membesarkan kapasiti pengeluaran. Perkataan penting di sini adalah “Kapasiti Pengeluaran” atau lebih mudah kita sebut sebagai tingkatkan pengeluaran.

Di sinilah rahsianya tersembunyi. Jika kita tidak kreatif dan berfikir di dalam ruang lingkup pengalaman yang biasa diamalkan. Kita akan mencari jalan untuk besarkan kelengkapan dan kemudahan pengeluaran.

Kalau dulu buat secara manual, kita mahu buat secara menggunakan mesin. Jika dulu buat dengan satu mesin, kita akan tambah lagi dengan dua atau lebih mesin. Kita sangka itu saja solusinya dan berusaha untuk mendapatkan pinjaman atau bantuan bagi mengadakan semua itu.

Tak perlu buat pinjaman untuk tingkatkan pengeluaran

Biasanya, pembiaya perniagaan yang terdiri daripada institusi kewangan akan menilai potensi dan keupayaan usahawan untuk membayar hutang jika mereka memberikan pinjaman.

Oleh itu, syarat utama adalah kebolehan usahawan untuk sediakan satu penyata aliran kewangan sekurang-kurangnya selama 2 tahun atau 5 tahun. Usahawan perlu buktikan rekod aliran kewangan dengan keuntungan yang mencukupi.

Usahawan juga perlu buat unjuran kewangan dengan tambahan komitmen membayar hutang dan masih tetap ada keuntungan untuk proses perniagaan terus berjalan.

Di situlah kebanyakan usahawan akan tewas. Mungkin mereka tak pernah menguruskan dan menyediakan akaun perniagaan selama berniaga dan tak sedar berapa margin keuntungan mereka.

Mungkin mereka ada sediakan akaun dan memantaunya selama ini tetapi perniagaan itu hanya untung tanpa ada tambahan komitmen hutang yang perlu dibayar. Jadi ada banyak alasan yang munasabah yang membuatkan institusi perbankkan menolak permohonan mereka.

Sebenarnya adalah satu lagi jalan  mudah yang membolehkan usahawan tingkatkan pengeluaran tanpa perlu buat pnjaman. Itulah jalan yang paling bagus dan selamat di peringkat awal menjalankan perniagaan.

Jika perniagaan dah ada permintaan tinggi, maka kita boleh selesaikan pengeluaran dengan aktiviti ‘Outsourcing’.

Dalam kes kerepek ubi dan pisang yang saya sebutkan di atas. Masalah mereka adalah tidak dapat tingkat pengeluaran kerana semuanya di buat secara manual. Jika mereka dapat adakan mesin potong ubi dan pisang, pengeluaran akan bertambah dengan lebih tinggi.

Cara mudah adalah pergi cari usahawan yang dah ada mesin potong ubi dan pisang dan bayar mereka untuk kerja tersebut. Mesin usahawan lain tentu masih ada ruang untuk melaksanakan kerja ambil upah potong setelah urusan mereka selesai.

Carilah usahawan sebegitu sampai jumpa. Cari lebih daripada seorang kalau permintaan lebih tinggi dan keperluan kuantiti ubi dan pisang potong meningkat.

Tingkatkan pengeluaran tercapai dengan kos berubah

Jika usahawan buat begitu, kos mengupah kerja potong ubi dan pisang menjadi kos yang tidak tetap. Ada tempahan, ada kos, tak ada tempahan tak ada kos.

Kalau buat pinjaman untuk beli mesin, samada ada permintaan atau tidak ada permintaan, kos membayar hutang wajib berjalan. Apa akan jadi jika permintaan yang ada sekara ng hanya sementara waktu dan belum stabil.

Keadaan sebegitulah yang membuatkan ramai usahawan terperangkap dengan hutang yang tak mampu diselesaikan kerana permintaan terhadap produk mereka tidak stabil dan turun tanpa diketahui puncanya.

Memang dengan outsourcing, margin keuntungan akan rendah sedikit. Tapi yang pentingnya perniagaan ada untung dan kumpulkan duit untuk pelaburan masa hadapan ke atas perniagaan tersebut apabila didapati permontaannya sudah stabil dan boleh dijangkakan.

Demikianlah sedikit perkongsian idea untuk tingkatkan pengeluaran tanpa perlu berhutang. Sentiasa fikirkan outsourcing terlebih dahulu sebelum menerpa bank untuk buat hutang. Selamat berjaya!

Sumber imej

Total
4
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge