Langkah asas elak perniagaan anda lawan harga rendah dengan pesaing

By | 28/09/2016

strategi hargaIsu lawan harga rendah berbanding pesaing adalah salah satu isu yang paling banyak dibangkitkan oleh usahawan.

Antara mitos perniagaan yang para usahawan percaya adalah, jika diletakkan harga tinggi, sama atau lebih mahal dari pesaing, perniagaan akan bungkus.

Ramai percaya pelanggan hanya pilih syarikat yang mampu berikan harga paling rendah sahaja, kalau usahawan tak ikut kecenderungan tersebut, perniagaan mereka akan gulung tikar.

Akibat dari percaya kepada mitos perniagaan tersebut, maka usahawan sering bandingkan harga yang mereka nak letak, dengan pesaing mereka(itupun biasanya hanya berdasarkan andaian saja tanpa buat bancian harga yang betul).

Jika pesaing letak harga RM100, usahawan akan letak harga RM90. Jika pesaing letak RM90, mereka lawan lagi dengan rendahkan kepada RM80.

Begitulah seterusnya sebagaimana yang digambarkan dalam cerita P Ramlee, 3 Abdul, yang mana akhirnya semua usahawan tawarkan percuma pada pelangan. Yang merana hanyalah peniaga dan yang untung hanyalah pelangan. Jika perniagaan anda bungkus, pelanggan tak akan bersedih dengan nasib anda, mereka cari kedai lain pula.

Berterusan lawan harga rendah

Ada ramai juga usahawan yang berterusan terperangkap dengan keadaan lawan harga rendah ini.

Mereka bertahan bertahun-tahun dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

Perniagaan hanya sekadar cukup makan menyara kehidupan. Kadang kala tak cukup pun. Nak beli asset atau nak lebarkan sayap dengan besarkan perniagaan, jauh panggang dari api.

Bila diberikan nasihat jangan lawan harga, mitos perniagaan yang disebutkan di atas tadi akan jadi alasan untuk tidak menerima nasihat dan cadangan.

Jika dari awal kaedah lawan harga rendah dijadikan asas dalam menarik pelanggan, kadar keuntungan yang perniagaan anda jana tidak mampu untuk menyara penambahbaikan perniagaan.

Hakikatnya, usahawan yang kecil dan baru dalam perniagaan mereka tidak akan mampu bersaing dengan syarikat lain yang dah otai dan besar dalam perniagaan yang sama.

Bila pesaing dah lama dalam pasaran dan dah besar, kelebihan harga ada pada mereka. Ini disebabkan pembekal biasanya sudah percaya dan tahu kekuatan mereka, dan memberikan harga yang jauh lebih bagus dari anda yang baru nak bertatih dan kecil pula.

Pendek cerita, anda masuk dalam pertandingan yang tidak sama rata, yang pasti keputusan akhirnya adalah kekalahan yang teruk.

Keluar dari belenggu lawan harga rendah

Untuk pastikan perniagaan anda tidak dibuli teruk dan kalah teruk, cara terbaik adalah jangan masuk pertandingan yang dah diketahui akan kalah.

Ertinya tak payahlah nak lawan harga !

Percayalah ! harga mesti rendah supaya pelangan datang ke kedai anda hanyalah mitos yang tidak selalu benar.

Selain daripada harga, masih ada perkara lain yang mampu membuatkan perniagaan anda jadi pilihan pelanggan.

Apa yang nak saya kongsikan di sini adalah teknik bagaimana nak jadikan perniagaan anda tidak terbelenggu dengan peperangan lawan harga.

Saya tak akan kongsikan secara terperinci, tapi hanya sekadar berikan langkah awal yang perlu dilakukan terhadap perniagaan yang sedang anda jalankan.

Langkah awal keluar dari perang lawan harga

Ada 3 langkah yang anda perlu ambil untuk keluar dari perang lawan harga;

  • Langkah awal – Sempurnakan perkara paling asas supaya pengalaman pertama dengan perniagaan anda tidak membuatkan pelanggan bersumpah tak akan datang lagi.
  • Merangka tawaran lebih dari kebiasaan – Pelanggan akan rasa istimewa dan seterusnya akan setia dengan perniagaan anda. Harga mahal sikit untuk tawaran lebih dari kebiasaan adalah sesuatu yang biasa dan untuk pelanggan yang berkualiti.
  • Merangka tawaran yang tidak dapat dilupakan – buat kejutan pada pelanggan sampai mereka jadi pelanggan fanatik anda. Pelanggan akan jadi ajen pemasaran terhadap perniagaan anda dan akan sanggup bergaduh dengan mereka yang cerita perkara buruk terhadap perniagaan anda.

Apa yang nak saya kongskan kat sini adalah perkara pertama di atas, langkah awal yang perlu anda buat sebelum masuk ke tahap kedua dan seterusnya ke tahap ke-3.

Ramai yang gagal dalam langkah awal !

Bukan nak perlekehkah kebanyakan usahawan kita, tapi kenyataannya adalah, majoriti usahawan dah gagal dalam menyediakan diri untuk langkah awal ini.

Saya berikan contoh bengkel kenderaan kebanyakan usahawan kita di Malaysia.

Cuba perhatikan bagaimana keadaan bengkel mereka.

Perkara asas seperti kebersihan, susun atur, sikap pekerja atau usahawan itu sendiri, penapilan usahawan dan pekerja, kualiti kerja, perlaksanaan kerja, hampir kesemuanya gagal !.

Mungkin yang ok sikit adalah usahawan yang peramah dan ringan mulut, tapi itu saja tak cukup.

7 perkara asas yang perlu sempurna

Berikut diberikan 7 perkara asas untuk diperhatikan supaya perniagaan anda lulus perkara asas untuk tidak membuatkan pelanggan kecewa dan bersumpah tak akan datang lagi ke kedai atau perniagaan anda.

  1. Kualiti kerja atau produk – tunaikan apa yang anda janji tidak kurang dan tidak lebih. Jika anda berjaya buat, itulah produk atau servis yang berkualiti namanya. Sentiasa dapatkan maklum balas dari pelanggan supaya jangkaan mereka dapat terus diperbaiki sampai sempurna.
  2. Perlaksanaan atau penghantaran – Masa siap, atau masa sampai kepada pelanggan wajib tepat pada masanya dan bukan janji main-main. Dan ketepatan masa itu wajib istiqamah bukan sekejap ok sekejap tak ok.
  3. Persekitaran – Kebersihan, keselesaan, bau, warna, mudah dilihat, kemudahan masuk dan keluar, parkir dan lain-lain seumpamanya.
  4. Penampilan pekerja – Pakaian pekerja biar sesuai dan sedap mata memandang seperti mana yang pelanggan anda jangkakan. Walaupun anda tak kisah pekerja lelaki anda pakai 3 subang di hidung dan 5 subang di setiap telinga kiri dan kanan, masa bekerja, minta mereka kembali kepada keadaan biasa, ertinya jangan pakai subang telinga dan hidung. Lepas kerja, lantak mereka lah. (sekadar contoh)
  5. Sikap pekerja – Hormat pada pelanggan, cakap pandang mata, senyum, layan mesra, pastikan pelanggan rasa mereka dialu-alukan kedatangan mereka.
  6. Bahasa penulisan – tulisan pada papan tanda (lagi teruk, signboard syarikatpun tak ada !), pada papan harga, pada resit, tulisan whatassp, pada FB, pada Twitter, pada Instagram dan seupamanya biar tulisan Bahasa Melayu yang betul dan standard.
  7. Bahasa telefon atau percakapan – Bagaimana percakapan anda dan pekerja ketika angkat telefon, ketika berbual dan berikan penerangan, perlu sesuai dan mesra pelanggan dan bukannya nak halau pelanggan atau menggagalkan sebarang pertanyaan.

Mungkin ada lagi perkara selain dari 7 di atas yang perlu diberikan perhatian, anda sendiri tahu apakah perkara asas yang perlu sempurna dalam perniagaan anda.

Yang pastinya, apa yang saya gariskan di atas adalah asas, perlu diusahakan supaya sempurna dengan apa cara sekalipun.

Perlu diingat bahawa perkara asas tersebut perlu konsisten atau istiqamah dalam bahasa kita. Bukan main ikut mood anda.

Jika berjaya dilakukan dengan istiqamah, maka anda sudah bersedia untuk masuk ke peringkat kedua iaitu memberikan tawaran yang lebih baik yang sukar dapat kat tempat lain buat pelanggan.

Ini akan menjadikan mereka tetap setia dan kekal berterusan menjadi pelanggan anda.

Insyaallah untuk bab itu, kita tulis pulak nanti pada artikel yang baru… itupun jika ada permintaan !

Author: Shubhi

Penulis merupakan seorang usahawan. Memiliki beberapa syarikat sendiri dan perkongsian dan diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Selesa dengan gaya hidup yang sederhana dan ringkas. Selain menulis dan membaca penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui program HR Biz Coaching. Jika anda ingin berbual dan ajak penulis minum kopi O, sila whatassp ke 013-3360807

4 thoughts on “Langkah asas elak perniagaan anda lawan harga rendah dengan pesaing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge