membentuk nilai bersama dalam sesebuah syarikatTahun 2014 ini saya kembali sibuk untuk membina budaya syarikat. Setelah agak lama bertapa mendiamkan diri dan tidak ambil tahu hal ehwal pengurusan seharian syarikat, saya rasa ingin kembali mengambil tahu secara aktif.

Hampir dua tahun saya hanya melihat dari jauh perjalanan syarikat. Tugasan saya selama dua tahun itu hanyalah tanda tangan cek untuk persediaan gaji dan juga pembayaran pada vendor serta pembekal yang terlibat dengan perniagaan syarikat.

Hasrat saya untuk melihat syarikat berjalan dengan sendiri tanpa memerlukan kehadiran saya nampaknya berjalan lancar sebagai mana yang saya idamkan selama ini.

Ada ramai usahawan yang berjaya dari segi wang ringgit, tapi masih tidak berjaya menjadikan syarikatnya berjalan secara autopilot. Majoriti usahawan sebegitu ada masalah takut atau sukar untuk memberikan kepercayaan pada orang lain.

Sikap tidak berani dan takut untuk meninggalkan urusan penting pada pekerja atau rakan niaga hanya membuatkan usahawan tidak dapat lari daripada mengalami keletihan dan sentiasa menghadapi tekanan.

Apa ertinya budaya syarikat

Sebelum kita pergi kepada kepentingan membina budaya syarikat, mari kita cuba fahami terlebih dahulu apa maknanya budaya syarikat.

Untuk memudahkan pemahaman kita, kita lihat pada diri seseorang individu. Kita mengenali seseorang melalui tabiatnya. Tabiat pula terjadi apabila seseorang itu mengulangi sestau sikap atau perbuataan secara konsisten.

Jika Si Anon dikenali sebagai seseorang yang suka memuji orang lain. Ini bermakna tabiat atau sikap itu menjadi sesuatu yang sering diulanginya.

Oleh itu, jika kita mahu dikenali sebagai seorang yang pemurah, cara paling mudah untuk tanam akhlak tersebut menjadi tabiat diri kita adalah dengan sering bersedekah atau menderma. Perbuatan yang diulang-ulang itu akhirnya menjadi darah daging dan bertukat menjadi sifat atau tabiat kita. Dan kita akan mula dikenali dengan sifat tersebut.

Itu berlaku pada individu. Sama juga jika kita mahu tanam tabiat atau sifat pada syarikat yang sedang kita bina, Pilih satu aktiviti atau perlakuan, ulangi perlakuan itu secara menyeluruh terhadap keseluruhan organisasi syarikat, maka lambat laun, keseluruhan syarikat kita akan dikenali dengan perlakuan tersebut.

Tetapi pada sesebuah organisasi kita tak namakan perkara yang sering diulang itu sebagai tabiat, sebaliknya kita namakan ia sebagai budaya syarikat. Jika kita sering memberikan servis yang sentiasa melebihi jangkaan pada pelanggan pada setiap urusan yang kita laksanakan, maka budaya kualiti tinggi akan menjadi salah satu daripada budaya syarikat kita.

Begitulah lebih kurang makna budaya syarikat.

Kepentingan membina budaya syarikat

Sering saya dengar keluhan usahawan yang menghadapi masalah pelanggan lebih suka berurusan dengan taukeh syarikat. Ini sering berlaku pada perniagaan kecil dan sederhana.

Bukan saja kepada orang Melayu, malah apa saja bangsa menghadapi masalah yang sama apabila budaya taukeh yang baik dan hebat tidak berjaya diserapkan kepada pekerja dan seterusnya menjadi budaya syarikat yang dikendalikannya.

Saya ada seorang kawan yang menjalankan perniagaan membaik pulih sistem rawatan air minum. Dia punyai formula yang hebat dalam melakukan rawatan baik pulih air yang tercemar dalam takungan atau tadahan air untuk kegunaan orang ramai.

Tetapi masalahnya adalah pelanggan lebih suka berurusan dengan dirinya sahaja dalam kesemua proses perniagaannya. Daripada peringkat membuat pemasaran, membuat jualan sehinggalah proses melaksanakan operasi syarikat, pelanggan tetap mahukan kehadirannya.

Bagi pelanggan, syarikat yang dibina oleh kawan saya itu adalah dirinya sendiri. Tanpa kawan saya, syarikatnya tak wujud di mata pelanggan. Ini mendatangkan satu masalah yang berat kepada perkembangan syarikat itu.

Tidak ada perniagaan yang akan berkembang maju selagi kesemua urusan perniagaan bergantung pada kewujudan taukehnya saja. Jika taukeh demam sebulan, alamat perniagaan juga akan demam sebulan.

Apakah anda yang sedang berniaga di luar sana mengalami masalah yang sama? Jika ya!, anda sebenarnya telah lupa pada satu urusan yang paling penting dalam membina perniagaan atau syarikat, dan perkara itu adalah urusan membina budaya syarikat.

Seorang usahawan perlu menjadikan agenda membina budaya syarikat sebagai perkara utama dalam urusan sehariannya sehinggalah semua orang dan semua pelanggan akan mengiktiraf setiap individu dalam syarikat kita sebagai wakil syarikat yang berkelayakan.

Jika kita berjaya membina budaya syarikat yang konsisten, samada taukeh, pekerja A atau pekerja B yang melaksanakan sesuatu urusan, hasilnya adalah sama dan ia dikenali sebagai hasil syarikat kita dan bukannya hasil individu yang bekerja di syarikat kita.

Apakah selama ini tiada budaya syarikat dalam syarikat saya?

Setakat ini, memang sudah ada budaya syarikat kerana samada saya atau rakan niaga atau pekerja jualan atau pekerja pemasaran atau pekerja operasi, semuanya mampu mewakili syarikat.

Budaya sama juga seperti tabiat. Bila ada tabiat, tidak semestinya semua tabiat itu bagus. Ada tabiat yang perlu diubah kerana keburukannya dan ada juga tabiat yang perlu dibentung kerana kepentingannya.

Oleh itu, saya sedang berusaha mengenal pasti apakah budaya syarikat yang baik yang telah ada dan akan pastikan ianya digilap lagi sehingga menjadi sempurna yang mungkin. Dan saya juga perlu mengenal pasti apakah budaya yang buruk yang perlu dsingkirkan dan digantikan dengan budaya yang baik.

Urusan membina budaya syarikat ini sebenarnya cukup menarik. Ia bermula dengan melihat semula segala visi dan misi yang syarikat ada dan mula meringkaskannya dan menerapkan semula kepada keseluruhan tenaga kerja yang ada di dalam syarikat.

Insyallah, saya akan cuba kongsikan aktiviti membina budaya syarikat ini satu persatu selepas ini dan melaporkan perkembangannya sehinggalah saya berjaya membina satu budaya syarikat yang hebat. Saya sasarkan semua aktiviti ini lengkap pada hujung tahun 2014 nanti.

Mohon semua pebaca doakan agar projek membina budaya syarikat saya berjaya! Insyaallah.

Total
1
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

  1. Budaya ini yang buat saya jatuh cinta dengan konsep Hidup Ringkas.

    Dulu cita-cita utama saya ceburi bidang usahawan adalah untuk berlumba-lumba mendapatkan kekayaan secara material.. sekarang minda saya secara perlahan-lahan berubah kepada yang lebih dinamik lagi. Nah!..Saya sudah sematkan ketat-ketat sistem autopilot ini sebagai cita-cita paling utama. semoga Allah memberkatinya.

    Ya Allah berikanlah kesihatan yang baik kepada En Shubhi dan panjangkanlah umurnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge