menyediakan visi perniagaanSaya berikan tajuk posting sebagai ‘ memimpin perniagaan yang kita jalankan ‘, kerana mahu terjemahkan bahawa membina sebuah perniagaan adalah satu urusan yang berkait rapat dengan kepimpinan dan pengurusan kumpulan pekerja yang hebat.

Tidak ada satupun perniagaan yang akan berjaya jika dilakukan berseorangan tanpa adanya bantuan pekerja atau rakan niaga yang saling bekerja sama dan memahami antara satu dengan yang lain.

Jika anda seorang usahawan tentu dah sedar betapa susahnya menguruskan manusia. Perniagaan sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar. Apa saja jenis perniagaan yang kita jalankan betapa sukar sekalipun, kita sebagai usahawan tentu mampu meringkaskannya. Asalkan kita menjalankan perniagaan tersebut seorang diri.

Tetapi lumrah sebagai seorang usahawan yang mahu melaksanakan tugasan fardu kifayah dalam mengamalkan agamanya, mahu tak mahu perniagaan yang dijalankan mesti dibesarkan untuk mencapai matlamat menunaikan fardu kifayah.

Oleh itu, usahawan terpaksa menggunakan bantuan para pekerja atau rakan niaga. Lebih besar kumpulan pekerja atau rakan niaga yang digunakan, semakin tinggi sumbangan kita terhadap masyarakat. Lebih banyak pahala yang dapat dikumpulkan sebagai bekalan ke akhirat.

Tugas memimpin perniagaan memang berat

Bila kita mula melibatkan sekumpulan pekerja atau rakan niaga, barulah terserlah samada kita mampu menjadi pemimpin atau tidak. Baru kita sedar betapa lebih mudah menjaga dua ribu ekor lembu (atau dia ribu stok bahan mentah) berbanding menguruskan dua orang pekerja.

Sebab itu semua pakar perniagaan mengatakan bahawa untuk pastikan perniagaan lebih mudah berjaya, kita mesti bawa masuk pekerja yang sesuai dan bertepatan dengan keperluan perniagaan. Masalahnya di sini adalah untuk mengenal pasti jenis pekerja yang sesuai.

Adakah satu cara mudah untuk merungkaikan masalah merekrut pekerja yang sesuai ini? buat masa ini, saya tak ada jawapannya dan jika anda rasa ada formula mudah dan berkesan, saya sedia jadikan anda rakan kongsi perniagaan.

Jika anda ada formula berkesan dan mudah untuk merekrut pekerja yang sesuai, datang jumpa saya dengan apa saja idea perniagaan anda, insyaallah saya akan berikan semua modal yang diperlukan untuk anda jalankan perniagaan impian anda (perniagaan mestilah viable…ok!).

Pedoman memimpin perniagaan

Cuma ada satu pendekatan yang mampu meringkaskan cara kita merekrut pekerja, memimpin mereka dan seterusnya membina kumpulan pekerja yang hebat. Pendekatan itu adalah dengan meniup roh perniagaan yang anda jalankan.

Biasanya perniagaan mesti ada satu visi. Usahawan yang sering buat kertas rancangan perniagaan mesti dah biasa sangat dengan visi dan misi ini. Tetapi tahukah anda betapa pentingnya kita benar-benar maksudkan apa visi yang telah kita pilih itu untuk membina perniagaan kita?

Visi penting untuk difikirkan. Visi adalah matlamat jangka panjang yang mahu kita bina melalui perniagaan yang sedang dijalankan. Mungkin ramai peniaga yang punyai visi untuk buat RM1 juta dalam tempoh setahun. Atau mungkin jumlah yang lebih hebat seperti mengumpulkan RM100 juta dalam tempoh 5 tahun.

Tapi setakat menjadikan wang sebagai visi utama kita, ia tidak mampu meniup roh ke dalam perniagaan kita. Visi itu tidak cukup menarik untuk kita berikan motivasi pada para pekerja. Kalau buat RM100 jutapun, yang akan belasah semua duit tersebut adalah taukeh sahaja. Pekerja hanya akan makan kuah dan lebihan lauk, jadi kenapa pekerja nak bersungguh-sungguh berusaha mencapai visi tersebut?.

Oleh itu mulakan dengan mencari arah tuju yang mampu meniupkan semangat kepada diri anda, diri pekerja dan juga diri rakan niaga. Juga mampu memberikan semangat kepada vendor, pembekal malah juga kepada pelanggan anda.

Dari visi yang hebat, kita akan berupaya menggunakan visi tersebut sebagai panduan untuk menentukan jenis pekerja yang diperlukan. Jenis pembekal yang kita pilih dan juga jenis vendor yang boleh kita bekerja sama.

Hanya dengan menetapkan visi yang bersemangat sahaj maka tugasan merekrut dan memilih pekerja akan menjadi lebih ringkas dan mudah. Oleh itu, marilah kita fikirkan visi yang hebat untuk memimpin perniagaan yang kita jalankan.

Nota: Sebagai contoh, saya berikan visi yang boleh digunakan untuk memimpin perniagaan kedai makan yang kita buka di Shah Alam. Visi: “Membina sebuah kedai makan yang paling selesa untuk santapan keluarga di Shah Alam”

Total
11
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

  1. Secara umumnya, seorang pemimpin yang hebat harus memiliki kredibiliti dan sifat kepimpinan yang tinggi. Mereka pada kebiasaannya mempunyai aura dan juga persona seorang pemimpin yang berkaliber, yang jelas terpancar walaupun pertama kali berjumpa.

    Persoalannya sekarang, bukan semua manusia dilahirkan begitu. Ramai juga yang mempunyai ‘self-esteem’ yang rendah dan tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan dengan efisyen. Manusia jenis ini mudah gugup apabila berdepan dengan orang, apatah lagi untuk menjadi seorang pemimpin.

    Oleh itu, adakah perniagaan merupakan satu bidang yang hanya boleh dipelopori oleh orang-orang tertentu sahaja…? Yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dalam diri mereka.

    Terima kasih, sekadar ingin berkongsi pandangan

    1. Apabila kita rasa gugup dan rendah diri dalam sesuatu kumpulan, ertinya kumpulan itu bukan milik kita, berpindahlah mencari kumpulan lain.

      Tentu ada sesuatu yang ada pada kita (yang kita dah jumpa) yang mampu menguraikan kekusutan orang lain, carilah kumpulan yang perlukan kelebihan kita itu…insyaallah kepimpinan kita akan terserlah.

      Malangnya kebanyakan dari kita tak pernah percaya kita ada sesuatu yang berbeza dan lebihb sedikit dari orang lain.

      Kita anggap semua yang ada pada kita buruk belaka…dan untuk menghalalkan andaian itu kita katakan pemimpin dilahirkan dengan bakat diikat kemas bersamanya dalam uri…sedangkan semua manusia mampu jadi pemimpin dalam kumpulannya yang tersendiri.

      Bagi saya, siapa saja yang gunakan akalnya, berusaha mempermudahkan sesuatu yang orang lain rasa kusut…dia mampu jadi pemimpin yang hebat. Insyaallah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge