4 gaya hidup: Bagaimana gaya hidup anda?

By | 26/04/2013

Siapa tak pernah dengar buku bertajuk “The Seven Habit of Highly Effective People”?

Kalau ada yang tak pernah dengar, mungkin anda agak ketinggalan dalam dunia motivasi diri untuk berjaya. Mungkin juga kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali lebih diberikan tumpuan untuk motivasi diri.

Buku karangan Stephen R Covey ini masih ada dalam koleksi saya dan sudahpun usang dan kertasnya dah bertukar warna menjadi coklat. Namun ia masih menjadi rujukan saya sekali sekala apabila mahu mencari atau memikirkan idea baru dalam tulisan.

Antara tajuk yang paling saya ingati dan cuba melaksanakannya sejak mula-mula membacanya dulu ada berkenaan Prinsip Pengurusan Diri.

Ia menceritakan konsep megisikan masa, dengan 4 kategori kerja. Berikut adalah 4 kategori kerja yang ada dalam kehidupan kita:

  1. Kerja yang tidak penting dan tidak mendesak – Banyak daripada kita hanyut dengan tugasan atau kerja sebegini. Contohnya adalah seperti aktiviti keluar minum ke kedai kopi dan berbual-bual kosong sehingga berjam-jam membincangkan ramalan samada Najib atau Anwar akana menjadi PM. Atau menelefon kawan untuk berbual atau bermain video game dan lain-lain seumpamanya. 
  2. Kerja yang tidak penting tetapi mendesak – Contohnya adalah seperti gangguan ketika sedang melakukan kerja melalui panggilan telefon. Terpaksa menghadiri mesyuarat atas arahan boss dan tiada perbincangan penting yang berfaedah untuk tugas anda. Mungkin juga urusan membuat laporan yang dikejar oleh orang lain dan sebagainya.
  3. Kerja yang penting dan mendesak – Ini termasuklah urusan menyelesaikan krisis samada dalam pekerjaan, perniagaan, perhubungan atau seumpamanya. Ia mungkin juga urusan menyelesaikan masalah perkelahian dengan rakan kongsi atau masalah pekerja anda kesemuany mogok meninggalkan pekerjaan mereka.
  4. Kerja yang penting tetapi tidak mendesak – Ini adalah keadaan paling ideal yang seandainya majoriti atau semua kerja anda bertumpu dalam kategori ini, anda sudah tentu termasuk dalam golongan mereka yang cukup berjaya dan akan lebih berjaya lagi. Antara urusan kerja dalam kategori ini termasuklah seperti merancang, membina jaringan, mencari dan mengenal pasti peluang, memikir dan menguruskan pencegahan dan lain-lain lagi seumpamanya.
Jika anda seorang usahawan, berkemungkinan besar anda berada di dalam keadaan nombor 3. Kebanyakan daripada para usahawan sentiasa bertungkus lumus seperti lipas kudung cuba menyelesaikan segala urusan dalam kategori 3 tersebut.
Ciri-ciri mereka yang sebegitu adalah kelihatan sentiasa berkerut dahi, susah nak senyum, sentiasa sibuk, hidup dalam keadaan tertekan dan tergesa-gesa. Namun itulah yang berulang saban hari tanpa ada sebarang perubahan kerana tidak ada masa berfikir awal untuk pencegahan.
Jika anda sentiasa melakukan kerja yang berada dalam kategori 1 dan 2, anda sebenarnya hanya membuang masa dan tidak akan berjaya. Jika anda seorang pekerja makan gaji, anda layak dihentikan dan jika anda berniaga, tak lama lagi segalanya akan bungkus dan anda akan gulung tikar.
Bagi mereka yang sering buat kerja tak penting dan tidak juga mendesak (kategori 1) seperti melepak, duduk tepi tembok melihat anak dara orang lalu lintas, atau termenung di kedai kopi main game dari telefon bimbit, mungkin masih ok kerana anda sendiri yang pilih untuk menjadi malas dan membuang masa.
Tetapi jika anda seorang berada di kategori 2, anda berkemungkinan sedang tertipu. Biasanya golongan ini sentiasa kelihatan teramat sibuk tahap gaban sehingga nak naikkan zip seluarpun tak sempat. Bercakap hanya sepatah dan berlalu dengan laju sambil telefon tidak lepas dari telinga.
Ramai usahawan terperangkap menipu diri dengan kerja sebegini. Mereka tergesa-gesa ke sana-sini hanya untuk pergi minum kopi dengan awek baru.
Mereka sibuk hadiri berbagai ceramah atau mesyuarat yang langsung tidak ada kena mengena dengan mereka atau perniagaan mereka dan mereka terhegeh-hegeh menyertai kelab penyokong artis atau seumpamanya.
Rumusannya
Andainya anda mahu berjaya anda hanya perlu pastikan sentiasa melakukan kerja yang penting saja. Penting di sini adalah kerja yang insyallah memberikan kesan maksima pada matlamat diri dan juga perniagaan.
Sebab itu mereka yang hidup ringkas dengan mengambil apa yang perlu saja dan meninggalkan selain daripada itu biasanya akan pergi jauh dan berjaya dalam hidupnya.
Pastikan hanya kerja penting sahaja diambil perhatian. Kemudiannya selesaikan desakan untuk terpaksa melaksanakan kerja penting tersebut dengan kadar segera perlahan-lahan sehingalah yang penting itu boleh dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak mendesak.
Maknanya anda perlu luangkan masa untuk merancang, mencegah, berfikir, mencari peluang, membina jaringan dan lain-lain seumpamnya….
Anda dalam kategori mana…?
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge