Adakah anda usahawan yang berkhayal?

By | 04/04/2013

Ada banyak sebab orang jadi usahawan dan dua daripadanya adalah:

  1. Tak ada pilihan lain untuk menyara kehidupan selain dari berniaga. Kemahiran teknikal atau kelayakan pendidikan yang kurang adalah antara sebab yang membuatkan mereka sukar mendapatkan kerja. Kalau adapun peluang makan gaji, bayaran terlalu sedikit sedangkan tanggungan atau keinginan adalah lebih besar dari itu.
  2. Impian menjadi kaya, bebas serta berjaya. Walaupun mempunyai kemahiran atau kelayakan akedemik yang baik dan mencukupi untuk melayakkan mereka makan gaji dengan gaji yang mencukupi, namun cita-cita besar untuk bebas, berjaya dan jadi kaya membuatkan mereka terjun mahu jadi usahawan.
Kebiasaannya, golongan yang pertama lebih banyak yang berjaya. Mereka tiada pilihan selain dari mencari rezki dengan berniaga. Mereka akan bermula dari bawah dan naik ke atas sedikit demi sedikit.
Hanya masa sahaja yang membezakan mereka antara satu dengan yang lain. Yang pastinya mereka akan tetap konsisten berusaha sebagai seorang usahawan untuk menyara kehidupan.
Apa yang membuatkan mereka tetap istiqamah adalah keazaman serta cita-cita yang besar. Rasa ego diri yang rendah juga banyak membantu mereka untuk tetap berpijak di bumi nyata. Gabungan sifat tersebut membuatkan mereka senantiasa berusaha dan belajar daripada sesiapa saja.
Khayalan dalam dunia usahawan
Masalah kerap berlaku pada golongan kedua yang punya banyak kelebihan. Mereka bijak, berpendidikan tinggi, berpengalaman dan dalam masa yang sama bercita-cita tinggi.
Mereka juga punyai pendirian kukuh dan jiwa sentiasa mahukan kebebasan. Semua itu membina satu sifat ego yang agak tinggi dan sukar dikendalikan. Akibatnya mereka terjun menjadi usahawan dengan menetapkan berbagai syarat yang meyukarkan diri sendiri.
Antara syarat mereka adalah:
  • Perniagaan mesti berbeza berbanding perniagaan lain yang sudah ada di pasaran. Bukankah mereka bijak dan berpengalaman? takkan nak buat perniagaan biasa macam orang lain juga! kalu macam itu lebih baik tak payah mengaji tinggi.
  • Untung mesti besar. Kalau setakat untung saratus dua, lebih baik aku makan gaji. Aku terjun berniaga sebab nak dapat lebih banyak dari itu.
  • Kehidupan dan perniagaan mesti glamour. Aku bijak, berjaya dan hidup dengan cara aku sendiri. Kini aku taukeh yang berdikari. Apa yang aku buat dengan masa aku sendiri yang tentukan.

Akibat daripada kriteria perniagaan dan kehidupan yang mencabar seperti di atas, golongan ini sanggup tidak berpendapatan dan membuang masa mencari-cari dan mencuba selepas satu demi satu selepas berhenti kerja.

Untunglah kalau duit simpanan masih banyak, jadi tidak akan menyusahkan orang. Tetapi biasanya, jika tidak disedarkan mereka akan hanyut dan seterusnya menyusahkan orang lain di sekeliling mereka.
Banyak idea perniagaan mereka biasanya hebat-hebat dan masih tidak terfikirkan lagi oleh orang kebanyakan yang lain. Dalam masa yang sama idea tersebut mungkin praktikal pada masa akan datang dan bukan sekarang.
Anda tentu kenal dikalangan kawan atau saudara yang mengalami masalah sebegini. Saya ada ramai kawan yang hanyut dengan masalah ini. Ada yang hanyut sampai 20 tahun dan masih lagi berada dalam alam khayalan yang sama.
Jalan penyelesaiannya
Hanya satu jalan yang perlu diambil untuk selesaikan kesemua masalah itu. Kita perlu sedarkan mereka agar kembali ke bumi nyata.
Kehidupan punyai berbagai peringkat dan dalam agama kita juga, kita diajar dengan berbagai tingkat kewajipan. Antara dua peringkat yang semua orang tahu adalah,
  • Fardu Ain – Tiada pilihan selain daripada wajib dilaksanakan.
  • Fardu Kifayah – Masing-masing ada pilihan untuk memilih sesuatu yang bersesuai dengannya. Jika sebahagian masyarakat dah tunaikan, hilanglah kewajipab terhadap yang lain.
Dalam kehidupan sebagai seorang yang dewasa tanggung jawab yang utama adalah mencari sara hidup agar kita dapat melaksanakan tugas menyara semua orang dibawah tanggungan kita. Antaranya adalah anak, isteri, ibubapa dan lain-lain seumpamanya.
Jadi, jika anda dah kahwin, ada anak dan ibubapa masih hidup, dan dalam masa yang sama tiada pendapatan. Memastikan anda ada sumber pendapatan adalah satu perkara wajib yang anda perlu tunaikan terlebih dahulu.
Untuk itu, jangan membuang masa menunggu perkara lain selain daripada selesai masalah untuk menyara kehidupan serta tanggungan. Dan lakukanlah dengan berniaga jika masih degil mahu menjadi usahawan.
Seperti yang saya sering tulis sebelum ini tentang memilih perniagaan, pilihlah perniagaan yang terbukti berjaya. Lihat sekeliling kita dan pilih satu yang kita rasa senang dan mampu menjayakannya dengan baik.
Memandangkan anda lebih bijak berbanding orang lain, buatlah sedikit, ingat! sedikit saja pembaikan berbanding pesaing untuk melonjakkan anda lebih ke depan.
Dengan itu insyallah, selesailah masalah atau tugas dan tanggung jawab anda menyediakan sara hidup untuk anda dan keluarga.
Bila dah selesai semua itu, maka sambung semula cita-cita atau impian anda. Sekarang lebih mudah kerana anda sudah ada seekor lembu yang sentiasa menyalurkan susunya. Anda sudah ada perniagaan yang menyalurkan dana untuk menyara usaha merealisasikan impian anda.
Rumusannya, jika anda sedang berada di dalam kesesatan dengan tiada satu perniagaan tetap, tiada pendapatan dan sudah berlarutan selama beberapa tahun, pastikan:
  1. Sedarkan diri bahawa anda perlu selesaikan masalah pendapatan harian anda terlebih dulu.
  2. Kalau nak berniaga juga, tak payah tunggu masa lama. Pilih saja satu perniagaan yang mampu anda laksanakan dengan baik.
  3. Tolak ke tepi glamour, buang segala ego. Antara ego dengan syoru, syoru sebenarnya lebih utama.
  4. Berikan masa untuk membina perniagaan anda agar ianya boleh berjalan secara autopilot.
  5. Sambung semula cita-cita atau impian anda.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Adakah anda usahawan yang berkhayal?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge