Amalan mujarab kentalkan jiwa!

By | 15/10/2012

Perniagaan bagi saya seumpama larian marathon. Ia memerlukan stamina yang tinggi dan tahap mental yang kental untuk meneruskan larian sehingga habis. Seseorang usahawan perlu ada sikap sebagaimana seorang pelari marathon.

Sekali kita terjun menceburi bidang perniagaan semangat yang kental perlu ada untuk meneruskan perjalanan walau apapun yang berlaku. Sudah tentu ia satu perjalanan yang tidak mudah penuh dengan halangan. Ada kalanya kita jatuh ditimpa berbagai masalah.

Segala masalah yang datang sebenarnya adalah satu petanda bahawa kita dalam proses meningkat ke tahap yang lebih baik. Di sinilah ramai yang gagal bertahan. Ramai yang bungkus kerana tidak dapat bertahan menyelesaikan masalah yang dihadapi sedangkan jika mereka bertahan memerah otak mengharungi segala masalah tersebut, mereka akan naik ke tahap yang lebih tinggi.

Rahsia berjaya dalam perniagaan adalah keupayaan bertahan dengan konsisten selama sekurang-kurangnya 3 tahun. Ini bukanlah tempoh yang pendek. Untuk menyediakan diri kita terhadap tugasan tersebut kita perlu mendidik jiwa yang berdisiplin dengan melakukan amalan-amalan baik yang mampu mendidik jiwa menjadi kental.

Antara amalan yang cukup mujarab dan berkesan membina kekentalan jiwa adalah:

  1. Mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis secara berterusan
  2. Mengamalkan solat duha secara konsisten
  3. Mengamalkan zikir-zikir tertentu secara rutin
  4. Membaca surah-surah tertentu secara konsisten
  5. Mengamalkan senaman kesihatan secara rutin dan konsisten seperti berjogging, berbasikal atau brisk walk, atau morning walk
Tiru cara saya
Antara amalan kegemaran saya semenjak terjun menjadi usahawan adalah morning walk setiap pagi selama sejam sebelum keluar kerja. Amalan ini perlu didisiplinkan sehingga menjadi habit. Ia amat bagus untuk kesihatan dan penyediaan mental yang kental.
Anda tidak perlu turun ke taman riadah yang jauh untuk melakukan amalan ini. Lakukan saja di sekitar perumahan anda. Jika ada taman permainan, itu lebih bagus. 
Berhampiran rumah saya ada sebuah taman permainan yang kecil. Saya akan melakukan senaman regangan selama 5 ke 10 minit sebelum memulakan aktiviti berjalan kaki sebanyak 10 pusingan di sekeliling taman.

Untuk mengira berapa pusingan yang telah saya lakukan, setiap pusingan akan saya penuhi dengan zikir nama-nama Allah yang saya pilih. Ada 99 nama Allah yang cukup bermanafaat jika dijadikan amalan zikir harian.

Setiap nama mempunyai khasiat-khasiatnya yang tertentu. Pilihlah lima sahaja yang anda suka daripada 99 tersebut dan jadikan amalan zikir senaman harian anda. Ini membantu anda mengenal pasti berapa pusingan dan dalam masa yang sama menghayati makna zikir tersebut di pagi yang nyaman.

Cubalah amalkan! anda akan rasakan betapa ianya amat berbaloi dan mendatangkan banyak manafaat dan hidup lebih tenang. Anda akan lebih bersedia menghadapi segala rintangan yang bakal mendatang pada hari tersebut dengan penuh keyakinan dan jiwa yang kental. Selamat mencuba!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge