Ambil hanya yang perlu, tinggal selain dari itu

By | 02/04/2013

Saya telah menulis sebelum ini tentang berbagai faedah meringkaskan segala barang yang kita punyai dalam menjalani kehidupan seharian. Sambutan daripada idea tersebut nampaknya agak baik dan ramai juga yang telah mempraktikkannya.

Idea meringkaskan kehidupan kita berkisar kepada falsafah yang sama iaitu “menyimpan atau mengambil segala yang diperlukan sahaja dan meninggalkan yang selebihnya”

Apa yang perlu diambil dan apa pula yang perlu ditinggalkan adalah sesuatu yang subjektif. Ia bergantung rapat pada matlamat yang mahu dicapai. Setiap daripada kita punyai matlamat yang berbeza-beza walaupun matlamat asas adalah sama.

Telah dihuraikan sebelum ini bahawa matlamat asas setiap dari kita adalah untuk mencari keredhaan Allah. Kita perlu selamatkan diri di akhirat dan itu hanya boleh dicapai melalui rahmat Tuhan dengan mengharapkan keredhaan Allah.

Buatlah apa saja yang patut dan bersesuaian dengan diri kita di dunia ini untuk mencari keredhaan Tuhan. Asalkan ianya tidak dilarang oleh syarak.

Oleh itu dalam bab mencari keredhaan Allah, anda boleh jadi apa saja samada makan gaji, usahawan, atau sukarelawan. Jangan jadi tak ketahuan sudahlah.

Anda boleh jadi tak ketahuan jika tidak dapat memilih mana yang perlu diambil dan mana yang perlu ditinggalkan. Sebab itu kita lihat ada guru yang menjadi nelayan atau berniaga VCD di waktu lapang yang tak membantu pembinaan dirinya menjadi seorang guru yang hebat.

Atau, ada juga TA atau pegawai JKR yang buat bisnes sampingan dan salurkan banyak projek pada syarikatnya sendiri. Mereka mahu ambil semua dan tidak sanggup tinggalkan apa-apa. Hasilnya bebanan yang dibawa sepanjang kehidupan terlalu berat dan menyusahkan.

Mari kita senaraikan tempat di mana boleh kita aplikasikan kehidupan yang ringkas:

  1. Rumah – Ini telah saya tulis di sini. Urusan meringkaskan kehidupan di rumah adalah kerja sepanjang hayat. Selagi kita hidup dan tinggal dalam rumah, selagi itulah kerja ini tak habis. Dalam rumah pula ada banyak lagi cabang yang boleh kita perhatikan. Sebagai contoh,
  • Pakaian
  • Kasut
  • Perabut dan segala perhiasannya
  • Buku, akhbar dan majalah
  • Barang dan juga mainan anak-anak
  • Barang dapur seperti pinggan mangkuk, sudu, cawan, periuk, kuali dan sebagainya.
  • Pokok bunga di taman serta segala peralatannya
  • Bilik tidur, bilik air, stor, ruang tamu dan lain-lain seumpamanya
  • Kawasan sekeliling rumah termasuklah bawah rumah, tepi rumah dan belakang rumah.
  • Pejabat – Inipun saya dah tulis di sini. Samada anda makan gaji atau kerja sendiri, pejabat juga merupakan salah satu tempat yang banyak masa kita dihabiskan. Malah kebanyakan masa, kita lebih lama berada di pejabat daripada di rumah. Walaupun biasanya pejabat jauh lebih kecil ruangnya daripada rumah, tapi sikap hidup yang tidak ringkas berjaya menyemakkan pejabat. Cuba lihat di,
    • Atas meja. Banyak kertas atau majalah atau pamplet iklan yang kita susun kononnya untuk dibaca suatu hari nanti dan berakhir di situ selama bertahun-tahun tidak tersentuh. Akhirnya timbul rasa bersalah dalam hati tanpa disedari. Kita segera berpaling sebaik saja melihat majalah atau kerta itu (rasa bersalah).
    • Dalam laci. Berbagai benda sehingga gelang getah yang dah hampir cair kita masih simpan. Untuk apa?. Ada juga skru, nut, pensil rosak, pen tanpa tudung, kicir patah, kotak telefon bimbit lama, manual telefon yang kita beli 5 tahun sudah dan berbagai-bagai lagi. Satupun kita tak pernah sentuh.
    • Atas rak. Rak hampir penuh dengan barang lama yang tidak pernah disentuh sejak 3 tahun sudah. Kalau rak kita kosongpun, ada bersepah barang yang guna(berguna tapi kita yang tak guna). Kenapa tak sedekah saja rak itu sekali dengan barangnya pada yang memerlukan?
    • Bawah meja dan bawah rak. Ini juga satu tempat humban barang yang strategik. Kertas lama, surat khabar, dan macam-macam lagi yang dah berhabuk, termasuklah kalender tahun 1998 pun masih disimpan!.
  • Dalam kenderaan – Biasanya ramai daripada kita ada miliki kenderaan samada motosikal atau kereta. 
    • Dalam motosikal tak banyak yang boleh disimpan. Itupun kadangkala bawah seat ada kain buruk yang dah hampir reput. Begitu juga dalam bakul atau tempat simpan barang lain.
    • Kalau ada kereta, ini mungkin juga boleh jadi satu tempat simpanan barang tak pakai. Kita mengusung ke sana-sini bertahun-tahun entah apa tujuannya.
    • Namun begitu, biasanya kenderaan dibiarkan kosong, tak banyak barang. Pandai pulak kita hanya kekalkan barang berguna sahaja dalam kereta!.
    • Tetapi ada juga yang suka menghias kereta dengan berbagai benda tak berguna, hanya sekadar menyemakkan mata memandangnya. Lihat dalam dashboard, apa barang yang anda simpan tapi tak digunakan. Lihat pada cermin pandang belakang, berbagai benda digantung sampai boleh runtuh cermin itu. Kenapa tidak diringkaskan saja. Lebih selesa dan lapang dada.
  • Dalam jiwa – Jika barang yang tak perlu, kita kena tinggalkan untuk melapangkan kehidupan. Sudah tentu fikiran yang tak perlu dalam jiwa juga mesti ditinggalkan untuk melapangkan jiwa. Disebabkan terlalu banyak perkara yang mahu dikenang dan dikesali, akhirnya jiwa sesak dan tidak dapat diisi dengan pemikiran yang baru.
    • Sebenarnya aktiviti mengasingkan material di rumah, pejabat dan di kenderaan merupakan latihan untuk mengosongkan minda daripada pemikiran atau kenangan yang tidak diperlukan.
    • Jika sebuah majalah yang terperap atas meja pejabat tidak disentuh selama setahun kita tak sanggup buang atau berikan pada orang yang mahu baca, bagaimana dapat dikawal atau dibuang pemikiran yang tidak perlu dari minda?
    • Banyak terjadi masalah apabila kita tidak dapat menetapkan satu hala tuju yang jelas dalam hidup, kerana tidak sanggup membuat pilihan. Ramai yang mahu berniaga dan dalam masa yang sama tak sanggup berhenti makan gaji.
    • Berapa kisah dendam yang kita simpan dalam hati sejak lama dulu?. Marah pada kawan yang menipu, marah pada suami atau isteri yang tak berterima kasih, marah pada keluarga yang pilih kasih… kenapa simpan lagi, buang semuanya dan maju ke depan.
    • Jika anda berjaya mengamalkan sikap nekad dan dengan berdisiplin membuang segala yang tak perlu dan hanya tinggalkan segala yang betul-betul perlu saja, minda akan secara aotumatik mengikutinya. Anda akan lihat banyak perubahan akan berlaku dalam diri sendiri dan cara berfikir akan bertukar 360 darjah!.
    Dalam usaha mengemas, mengasingkan antara yang perlu dan tidak perlu. Biasanya barang tidak perlu akan berlonggok dengan cukup banyak. Begitulah kebiasannya yang terjadi bila kita nekad untuk berubah.
    Di situ timbul pula masalah di mana barang-barang tersebut mahu diletakkan? Ini merupakan satu pertanyaan yang saya dapat dari salah satu komen-komen dalam tulisan saya sebelum ini.
    Masalah di atas mudah saja untuk diselesaikan sekarang, kerana tak ada lagi barang yang terbuang dengan sia-sia melainkan ada saja kegunaannya. Baju lamapun dah ada orang akan beli atau sekurangnya berikan pada organisasi kebajikan yang kutip barang atau pakaian lama.
    Berikut beberapa idea untuk menghilangkan segala barang tidak digunakan daripada pejabat atau rumah kita:
    • Pastikan ada ruang atau sudut kecil di pejabat atau rumah untuk mengumpul barang terbuang dan boleh dijual. Contoh barang-barang tersebut tentu ramai yang dah tahu.
      • Barang atau bekas atau bahan plastik. harganya mahal jika dijual di pusat kumpul barang terbuang atau kitar semula.
      • Bahan kertas seperti kotak, buku, surat khabat dan lain-lain. Ini juga laku untuk dijual.
      • Bahan besi atau tin juga cukup mahal sekarang jika dijual.
    • Buat jadual untuk kosongkan ruang ini sebulan sekali atau tempoh yang sesuai. Jual atau hadiahkan pada mereka yang sering meronda mengumpul barang tak terpakai di kawasan perumahan anda.
    • Mainan kanak-kanak. Kumpulkan mainan anak-anak anda yang terlalu banyak itu dan surah mereka asingkan antar yang mereka masih elok dengan sudah rosak. Kumpulkan juga antara yang mereka suka dengan tidak suka. Beritahu bahawa mereka akan memberikan pada kawan atau saudara atau dikalangan mereka yang susah. Ini dapat mendidik anak-anak berfikiran ringkas dalam masa yang sama berhati mulia.
    • Pakaian. Jika dah tak elok jadikan kain buruk. Jika masih banyak lagi berikan pada orang lain untuk tujuan yang sama. Jika masih elok, tolak di kedai bundle atau berikan pada pusat kumpul pakaian untuk dihadihakan pada orang susah.
    • Barang dapur. Jika bahan plastik, boleh dijual. Jika kaca dan masih elok berikan pada orang lain yang mahu seperti rumah bujang dan sebagainya. Jika tin atau bahan metal boleh dijual.
    Ringkasnya tak akan ada benda yang terbazir sangat semuanya boleh samada:
    1. Dijual
    2. Dihadiahkan atau
    3. Dijadikan bahan bakar!
    Sebenarnya saya sendiri menghadapi masalah untuk mengamalkan segala yang dinyatakan di atas dengan sempurna. Tapi saya sedar semakin kuat saya mengamalkannya, semakin mudah minda untuk membuat keputusan.
    Semakin mudah kita berikan atau tinggalkan segala barang yang tidak diperlukan, semakin mudah juga jiwa meninggalkan segala kenangan pahit atau kekecewaan kerana cita-cita tidak kesampaian.
    Bayangkan jika sekeliling kita hanya ada benda yang sekadar perlu sahaja! sudah tentu seluruh minda akan ditumpukan hanya pada waktu sekarang dan jiwa tegak berdiri melihat ke hadapan.
    Sekarang saya faham kenapa Rasulullah tidak akan dapat lena selagi masih ada lebihan wang yang dihadiahkan padanya di dalam rumah. Dia akan segera keluar untuk disedekahkan pada mereka yang memerlukannya.
    Rasulullah tidak pernah merungut atau marah kepada perkara yang telah lepas berlalu. Tidak macam kita yang sering ulangi ayat..sepatutnya bla bla bla….
    Mari sama-sama kita beriltizam untuk amalkan cara kehidupan yang paling ringkas. Insyallah!
    Author: Shubhi

    Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

    6 thoughts on “Ambil hanya yang perlu, tinggal selain dari itu

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge