Anda usahawan atau kerja sendiri?

By | 15/03/2013

Saya membuat panggilan telefon pada seorang kawan yang tinggal di Taiping baru-baru ini. Dia merupakan seorang yang arif dalam teknologi pemulihan dan rawatan air untuk kegunaan awam.

Sebelum ini dia bekerja dengan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pemulihan dan rawatan air sebagai jurutera di syarikat itu. Kemudiannya mengambil keputusan nekad untuk berhenti dan memulakan perniagaannya sendiri dalam bidang yang sama.

Alasan untuk berhenti
Selama bekerja, syarikat menggunakan dia sepenuhnya dalam segala urusan perniagaan mereka. Dari mencari kerja sehinggalah melaksanakan keseluruhan kerja, diuruskan olehnya.

Kawan saya ini percaya bahawa dia mempunyai teknik yang tersendiri. Itulah faktor yang membuatkan kerja-kerjanya lebih berjaya, berkesan dan berkualiti daripada teknik yang digunakan oleh syarikat lain.

Sebagai mana yang biasa terjadi, keyakinan terhadap teknik yang dimiliki akan membuatkan kita yakin untuk keluar dan berdikari. Maka dengan itu nekadlah kawan saya untuk terjun menjadi majikan kepada dirinya sendiri.

Ini dapat memberikan kebebasan penuh kepadanya. Kalau lebih rajinnya, lebih lah ganjaran yang di perolehi dan kesemuanya untuk diri sendiri.

Dilema berniaga
Masa berlalu dan dia masih meneruskan usaha perniagaannya, setelah sekian lama perniagaan masih tidak berkembang.

Keletihan mula terasa dan dia mula memikirkan sampai bila dia harus begini. Apatah lagi bila terasakan umur semakin meningkat dan stamina semakin menurun.

Semua pelanggannya lebih berminat dan mengharapkan agar dia sendiri yang melaksanakan tugasnya berbanding pekerjanya. Apabila hanya Taukeh sahaja yang asyik turun padang bertungkus lumus, lambat laun semua itu membuatkan dia keletihan dan buntu.

Dilema orang teknikal
Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh kawan saya di atas adalah masalah biasa yang sering di hadapi oleh kebanyakan orang yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menjadi majikan kepada dirinya sendiri.

Masalah ini menjadi lebih ketara pada mereka yang terlibat di dalam bidang teknikal atau professional, seperti jurutera, mekanik, doctor, lawyer, dan lain-lain.

Kebanyakan mereka membuka perniagaan sendiri selepas bosan bekerja dengan orang dan berakhir dengan hanya bertukar majikan sahaja.

Contohnya kalau dulunya Kassim seorang mekanik bekerja di bawah Ah Siong di bengkel kereta, kini Kassim bekerja untuk dirinya sendiri di bengkel kereta kepunyaannya.

Secara umum, tiada perubahan cara kerja, Kassim masih lagi bergelumang dengan minyak, sentiasa berada  berada di bawah kereta, tiada masa rehat. Malah kebiasannya lebih teruk daripada keadaan ketika dia makan gaji dulu, tiada masa bersosial dan lain-lain lagi.

Contoh di atas terjadi juga kepada doctor atau lawyer, mereka terikat dengan bidang professional mereka dan terlupa untuk menjadi seorang ahli perniagaan.

Sebab itu lah kita sering melihat seorang mekanik atau doktor yang membuka bengkel atau klinik sendiri 20 tahun dulu, kini masih berada di bengkel atau klinik yang sama dengan jumlah pekerja yang sama dan kualiti kerja yang sama.

Kerja sendiri tapi bukan usahawan
Mereka yang menjalani keadaan seperti yang saya gambarkan di atas, kita namakan mereka sebagai  bekerja sendiri dan bukan menjadi usahawan.

Kenapa jadi begitu…?, semua disebabkan mereka hanya menjadi, mekanik dalam bengkel perniagaan mereka, doktor dalam klinik mereka, jurutera dalam syarikat kejuruteraan mereka atau tukang masak dalam restoran mereka sendiri.

Kalau berterusan begitu bagaimana kita hendak maju. Kita haruslah melarikan diri keluar dari kongkongan tersebut dengan menjadi seorang usahawan yang sebenar.

Fikirkan bagaimana dapat dilahirkan 10 orang yang mampu melaksanakan tugas seperti mana yang kita laksanakan.

Fikirkan pula bagaimana 10 orang itu dapat melatih pula 100 orang yang lain lagi agar dapat melakukan tugas yang sama dan begitulah seterusnya dalam setiap proses pekerjaan kita.

Kalau kita boleh buat, tentu orang lain juga boleh buat, cuma yang susahnya ialah mencari jalan untuk melatih orang lain melakukannya dengan kualiti yang sama secara konsisten. Itu satu cabaran…tapi itulah kerja seorang usahawan.

Kita juga harus membina reputasi syarikat dan bukan hanya membina reputasi diri sendiri agar syarikat kita dikenali, agar syarikat kita dipercayai.

Bina sistem
Berusahalan untuyk menghidupkan perniagaan dan syarikat kita agar boleh berdiri dengan sendiri tanpa memerlukan keberadaan kita sebagai taukeh.

Bina sistem merekrut dan melatih pekerja, bina sistem kenaikan pangkat dan gaji, bina sistem pamasaran, bina sistem jualan, kualiti, dan lain-lain sehingga tidak satupun yang tertinggal.

Hingga ke satu tahap, binalah sistem mencari ketua yang bakal menjalan dan memacu syarikat ke tahap yang lebih tinggi lagi. Pada tahap itu anda sebagai taukeh hanya perlu duduk dirumah dan berfikir serta mencari peluang untuk membesarkan lagi empayar perniagaan anda.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Anda usahawan atau kerja sendiri?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge