Bagaimana meletupkan semangat niaga anda

By | 27/10/2012

Majoriti daripada mereka yang makan gaji ada terselit jauh disudut hati ingin menjadi usahawan. Jarang saya jumpa orang yang langsung tak ingin berniaga. Sepanjang berkawan dengan berbagai golongan yang makan gaji, cuma ada seorang kawan yang berkata dia lebih suka jadi kuli sampai bila-bila. Itupun saya sangsi dengan pengakuannya.

Apa yang membezakan mereka yang ada keinginan berniaga dengan mereka yang benar-benar terjun berniaga adalah berapa besar saiz keinginan tersebut. Saiz keinginan membesar bukan datang secara tiba-tiba.

Para usahawan yang terjun berniaga kebetulan menjalani kehidupan yang membawa mereka ke arah itu secara tidak mereka sedari. Dan berita baik pada anda yang ingin berniaga, anda juga boleh membesarkan saiz keinginan tersebut dengan mengikuti beberapa langkah di bawah:

  1. Jangan padam keinginan yang ada. Sebaliknya pupuk keinginan tersebut dengan terus memikirkannya sekerap mungkin bila ada masa terluang. Bayangkan kelebihan yang anda dapat dengan menjadi usahawan. Berikut antara beberapa perkara asas yang mampu anda miliki jika menjadi usahawan berjaya:
    1. Harta kekayaan. Berbeza dengan makan gaji, usahawan mampu impikan jumlah kekayaan yang tidak ada limit. Seperti kata orang tua-tua, setinggi langit!
    2. Masa. Dengan pemikiran dan cara yang betul, anda mampu membebaskan diri anda untuk menumpukan pada perkara yang anda suka tanpa mengganggu perniagaan anda sendiri.
    3. Peluang untuk menyumbang dan berbakti pada masyarakat. Apa lagi yang manusia inginkan selain dari dapat membantu orang lain. Lihat saja mereka yang menjadi kaya raya, akhirnya tetap berpaling ke arah kebajikan samada mereka sedar atau tidak sedar. Anda mampu lakukan ini jika anda ada harta dan masa untuk lakukannya.
  2. Baca buku yang berkaitan dengan perniagaan. Terdapat banyak buku samada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang menceritakan tentang perniagaan. Banyak juga yang menceritakan tentang kejayaan usahawan-usahawan tertentu. Kalau tak ada modal, baca saja melalui internet.
  3. Tambah jumlah kawan-kawan yang berniaga. Mungkin anda ada beberapa kawan yang berniaga tetapi anda tidak luangkan masa dengan cukup bersama mereka. Mula rapatkan perhubungan dengan golongan usahawan.
  4. Lebihkan masa bersama kumpulan peniaga. Daripada beberapa kawan kenalan anda yang berniaga, anda akan diperkenalkan lagi dengan lebih ramai golongan usahawan. Sertai aktiviti perbincangan mereka samada secara formal atau tidak formal.
  5. Bantu perniagaan mereka bila ada kesempatan. Pilih beberapa usahawan yang rapat dan tawarkan kemahiran yang anda ada yang boleh membantu mereka. Aktiviti ini menambhkan pengalaman anda untuk menyediakan diri dalam dunia keusahawanan dan anda akan dapati anda ada keyakinan dan cara sendiri untuk berjaya.
  6. Ulang kesemua yang disebutkan diatas. Jadikan kesemua di atas sebagai amalan kehidupan anda. Kesemua aktiviti tersebut membuatkan pemikiran anda mula berubah dengan sendirinya sehinggalah anda benar-benar menjadi seorang usahawan.

Percayalah bahawa jika kesemua yang saya sebutkan di atas anda jadikan amalan kehidupan, satu hari nanti anda pasti jadi seorang usahawan. Dan ianya berlaku tanpa anda sedari kerana apa yang telah anda lakukan itu meletakkan diri anda dalam lingkungan yang memudahkan diri anda untuk berjaya menjadi seorang usahawan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge