Bagaimana menjadi kebal dari iklan

By | 02/07/2012

Kita hidup dalam dunia yang dipenuhi dengan iklan. Di mana saja kita berada, iklan akan pantas muncul di depan mata.

Ketika memandu di lebuh raya sahaja terdapat puluhan iklan yang cukup besar untuk membolehkan kita membaca. Buka sahaja TV iklan mula diulang-ulang untuk tatapan kita.

Baca akhbar dan majalah, naik bas, jalan kaki, naik basikal, minum di kedai mamak, tengok perlawanan bola di stadium, semuanya ada iklan yang setia menemani kita.

Boleh dikatakan selagi kita berada di tempat yang ada manusia, selagi itulah iklan akan mengejar diri kita.

Adalah hampir mustahil untuk kita mengelakkan diri daripada terserempak dengan iklan melainkan jika kita buat keputusan untuk tinggal bersama dengan Kaum Penan di dalam hutan.

Mungkin itu adalah satu tindakan yang terlalu drastik. Apa yang boleh kita lakukan adalah kuatkan jiwa untuk tidak terpengaruh dengan iklan. Ia merupakan salah satu starategi yang amat penting untuk menjalani kehidupan yang ringkas dan sederhana.

Dengan menjadi kebal daripada pengaruh iklan, kita boleh menyelamatkan:

  • Rumah kita daripada ditimbuni barang berlebihan
  • Simpanan wang kita berkurangan kerana dikeluarkan untuk membeli yang tidak perlu
  • Diri kita daripada tertipu kononnya ada benda yang boleh membuatkan kita hebat
  • Emosi kita daripada tertekan kerana menyesal perancangan kewangan kita telah lari
Untuk melatih diri menjadi kebal daripada iklan, kita perlu tahu apakah teknik manipulasi yang digunakan oleh para pengiklan untuk membuatkan pengguna terpengaruh.
Berikut adalah 2 teknik manipulasi utama yang biasa di pakai. Para pengiklan memanipulasikan keadaan:
  • Ketakutan yang wujud dalam diri kita
    • Kajian menunjukkan pengguna lebih terpengaruh untuk membeli sesuatu yang dapat mengeluarkan diri mereka daripada keadaan ketakutan pada kegagalan daripada membeli sesuatu yang menjanjikan kejayaan. Biasanya kita sanggup membeli jika itu boleh menyelamatkan kita daripada gagal, manakala ayat yang menjanjikan kejayaan hanya sekadar membuatkan kita teruja dan ternganga tanpa mengeluarkan duit.
    • Cuba lihat iklan barangan yang sering kita tonton. Perkara seperti bau ketiak busuk, mulut busuk, jeragat, jerawat dan seribu satu macam lagi yang digambarkan bakal membuatkan kita gagal dalam menjalani kehidupan. Ini cukup kuat mempengaruhi minda.
  • Bayangan atau impian diri kita yang ideal
    • Kita disogokkan dengan sifat mengigau mahu menjadi seseorang yang kita kagumi. Bagi merealisasikan perkara tersebut maka para artis, athlete atau sesiapa saja yang terkenal digunakan untuk mempengaruhi pengguna.
    • Kita lihat sesuatu yang kita impikan ada dalam seseorang yang terkenal samada kecantikannya, kekuatannya, kepandaiannya, kehebatannya dan lain-lain. Bila kita membeli barang yang disyorkan oleh orang itu, secara tak lansung apa yang kita idamkan daripada seseorang terkenal itu terpalit juga pada kita, sekurang-kurangnya itulah yang minda kita rasa secara tidak sedar.

Bagaimana dapat kita elakkan daripada terpengaruh dengan semua yang tersebut di atas:

  1. Pastikan kita bahagia dengan keadaan diri kita seadanya. Kita mungkin gelap, pendek, tak lawa dan sebagainya, tapi kalau kita sendiri tak suka pada semua itu, bermakna kita tak suka pada diri kita sendiri. Walau apapun yang terjadi belajar untuk suka dan bersyukur dengan diri kita setiap hari.
  2. Jangan cuba berangan-angan mahu menjadi orang lain. Akibat terlalu tak suka pada diri sendiri, maka kita mula berangan-angan untuk menjadi seperti orang yang kita suka. Kita berangan jadi artis atau orang terkenal lalu apa saja yang dia pakai atau beli kita terikut-ikut. Biarlah orang lain dengan caranya dan diri kita dengan cara kita. Kita punya sejarah dan cerita kita sendiri.
  3. Banyak lagi benda mudah dan percuma yang boleh anda lakukan untuk menyerlahkan diri, antaranya adalah:
    1. Jaga kebersihan
    2. Jaga kesihatan
    3. Jaga makanan
    4. Jaga waktu tidur
  4. Kurangkan menonton TV, membaca majalah atau akhbar dan mendengar radio, bacalah buku.
  5. Elakkan ‘window shopping’ dan gantikan dengan aktiviti bertemu kawan-kawan.
  6. Sentiasa bandingkan diri anda semalam dengan diri anda hari ini dan bukannya bandingkan diri anda dengan artis atau orang yang anda kagumi.
  7. Setiap kali kita mahu membeli, tanya pada diri sendiri samada ia benar-benar diperlukan dan bukannya terpengaruh dengan iklan. Fikirkan kali terakhir kita membeli barang seumpama itu dan apa yang telah berlaku pada barang tersebut.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Bagaimana menjadi kebal dari iklan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge