Belajar cara ‘mamak’ jaga wang

By | 22/09/2012

Zaman kanak-kanak dulu saya sering berulang ke sebuah kedai mamak di Pekan Penanti. Seperti biasa masa kanak-kanak zaman tu, duit syiling saja yang ada dalam poket. Mamak pula banyak jual barang-barang kegemaran kanak-kanak seperti gula-gula, asam jeruk dan lain-lain.

Harga barang-barang masatu masih murah. Dengan 10 sen kita boleh dapat 5 biji gula-gula. Dengan 5 sen juga kita masih boleh membeli sesuatu. Setiap kali membeli di kedai mamak, dia tak benarkan kita mengambil sendiri barang-barang dari kedainya. Dia akan ambilkan untuk kita tukarkannya dengan wang.

Apa yang cukup menarik, setiap kali mengambil duit syiling dari kami, dia akan membelek dengan penuh teliti duit yang kami hulurkan padanya. Selagi dia tak berpuas hati dengan duit syiling tersebut dan tak mengesahkan nilainya dia tak akan berikan gula-gula yang masih dalam gengamannya.

Hasil daripada sikap mamak tersebut, saya merumuskan satu persepsi yang negatif terhadap kesemua mamak di negara kita. Persepsi itu adalah, mamak merupakan satu jenis kumpulan yang cukup kedekut. Duit syiling 5 sen pun akan diteliti dengan lama.

Bagi saya apalah sangat duit 5 sen. Kalau kita berjalan kaki di atas padang atau di sepanjang jalan laluan orang ramai tentu akan terjumpa duit 5 atau 10 sen yang terjatuh. Jadi ia memberikan makna yang nilainya tak seberapa.

Walau bagaimanapun, mamak yang serba sederhana itu mampu menyara seluruh keluarganya dan mendidik anak-anaknya berjaya sehingga ke peringkat tinggi. Mungkin ada ramai lagi mamak di negara kita yang berjaya menjadi taukeh besar dan sikap mereka terhadap duit syiling masih tetap sama.

Apakah falsafah mamak yang boleh kita pelajari dalam hal menguruskan kewangan. Ini yang saya rumuskan:

“Jika anda menjaga setiap wang syiling anda, wang kertas akan menjaga dirinya sendiri untuk anda…”

Ayat di atas bukanlah cetusan idea saya. Ia merupakan falsafah Andrew Carnegie, salah seorang yang paling kaya di Amerika suatu masa dulu pada zamannya. Beliau merupakan pencetus inovasi industri besi di Amerika dan menjadi kaya raya dengan sikapnya yang cukup berkira sehingga ke duit syiling.

Jika anda mahu mengikuti sikap mereka menguruskan wang dengan mudah, maka berkira dan jagalah wang syiling anda. Insyallah wang kerta anda akan menjaga dirinya sendiri.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Belajar cara ‘mamak’ jaga wang

  1. oktant

    Terima kasih di atas perkongsian tuan. Saya dapat belajar sesuatu yang berharga di sini.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge