Ramai di kalangan usahawan sekerat jalan yang saya pernah bersembang meletakkan faktor kegagalan mereka pada ketidak upayaan diri.
Mereka rasa tidak berbakat dan tidak mampu untuk berjaya seperti orang lain dalam sesuatu perniagaan kerana punyai banyak kekurangan.
Orang lain yang berjaya dirasakan bernasib baik dan memang dilahirkan untuk berjaya. Jesteru itu jalan penyelesaian yang mereka ambil adalah beralih arah dan mencuba perniagaan lain pula.
Bagi yang terus putus asa, akan beralih makan gaji dan terus memadamkan hasrat berniaga daripada buku catitan mereka.
Lemah buat kajian
Apa yang mengejutkan adalah betapa mereka menyerahkan bulat-bulat pada nasib. Mereka buat apa saja yang diajarkan orang lain tanpa berfikir dan menyesuaikan dengan keadaan atau kesesuain diri.
Ringkasnya ramai yang tak sudi membuat kajian. Mungkin perkataan ‘kajian itu sendiri membuatkan ramai orang takut kerana ia berbunyi seperti terlalu hebat, geliga, akademik, sains dan seumpamanya.
Hakikatnya kajian merupakan satu keperluan hidup. Kajian diperlukan untuk meneruskan kehidupan. kajian diperlukan untuk membina kejayaan.
Kita membesar dan belajar dan terus hidup sampai sekarang adalah disebabkan maklumat yang didapati daripada kajian.
- Ada yang kita buat dan belajar sendiri
- Ada pula yang kita dapat daripada kajian orang lain.
Apa yang kita tiru atau pelajari dari orang lain hanyalah sebagai pedoman atau asas untuk kita mula belajar mengikut cara dan gaya kita sendiri.
Masa sekolah dulu saya cukup teringin buat lipatan gulung seperti pemain sepak takraw dari Thailand. Setiap kali ada perlawanan antara Thailand dengan pasukan negara saya tidak akan lepaskan peluang untuk menonton.
Puas menonton samada melaui kaca TV atau secara live, tidak membawa apa-apa makna terhadap keupayaan saya selagi tidak dilakukan sendiri.
Sekali sekala saya akan gantung bola sepak raga yang diikat pada getah pada tempat tinggi. Biasanya pada ranting pokok rambutan.
Selepas itu saya akan melompat seperti mana yang dibuat oleh pemain Siam dan memusingkan badan secara akrobatik sambil kaki melibas pada bola.
Pembaca tentu dapat tahu, ianya bukanlah satu aksi yang mudah untuk dilakukan. Secara teori saya rasa macam tahu macam mana nak buat, tapi bila dipraktikkan, wow! susah sungguh!.
Jadi apa yang boleh dibuat adalah cuba, fikirkan semula gaya terbaik, lompat dan pusing badan serta libas kaki pada bola dan lihat keputusannya.
Begitulah aksi tersebut diulang-ulang. Disesuaikan semula dan diperbaiki lagi dan dicuba lagi sehingga akhirnya kita berjaya. Mungkin jauh lebih hebat daripada killer Siam mungkin cuma 0.001% sahaja daripada mereka.
Namun dengan kajian melaui cubaan bertubi-tubi, kita akan menemui jalan mudah dan paling sesuai untuk diri kita melakukan libasan maut ala siam.
Buat kajian dalam apa saja tindakan
Untuk berjaya dan pergi jauh dalam apa saja perkara, kita tidak dapat mengelak diri daripada melakukan kajian.
Bagi peniaga, banyak perkara yang perlu dilihat, dicuba, dikaji, diperbaiki dan diulang semula sehinggalah kita mendapat keputusan yang kita mahu.
Sebagai contoh, mari kita lihat cara beriklan yang terbaik bagi perniagaan kita. Berapa ramai daripada usahawan yang mencatitkan segala aktiviti iklannya? Iklan mana yang lebih berkesan?
Cara mudah adalah dengan mengira setiap keputusan aktiviti iklan yang dilakukan:
- Iklan radio (Kos RM85 ribu sebulan, jumlah pelanggan 100)
- Iklan surat khabar ( Kos RM8,500 sebulan, jumlah pelanggan 4)
- Iklan TV (Kos 850,000 sebulan, jumlah pelanggan 1000)
- Iklan internet (Kos RM800 sebulan, jumlah pelanggan 300)
- Iklan Fliers (Kos RM3,500 sebulan, jumlah pelanggan 30)
- Iklan Banner (Kos RM13, 500 sebulan, pelanggan 15)