Bila masa sesuai untuk letak jawatan dan berniaga?

By | 22/08/2012

Menjadi usahawan lebih mudah jika kita tiada pilihan lain untuk menyara kehidupan selain dari berniaga. Antara situasi mudah untuk memulakan perniagaan adalah:

  1. Berhenti sekolah dengan keputusan yang teruk. Samada tamat tingkatan lima dengan keputusan peperiksaan yang teruk atau berhenti awal dari sekolah atas apa saja alasan membuatkan kita tiada alasan munasabah daripada mencuba menjadi seorang usahawan. Ramai yang memilih untuk menjadi buruh kasar sedangkan jika mereka mula berniaga secara kecil-kecilan, mereka punyai peluang yang tidak terbatas untuk berjaya. Mula berniaga sejak awal dan muda membolehkan anda gagal banyak kali sebelum berjaya
  2. Tamat pengajian tinggi dan tiada tawaran pekerjaan. Kebiasannya setelah selesai menuntut ilmu di Kolej atau Universiti, kita hanya fokus semata-mata untuk makan gaji sesuai dengan status kita seorang terpelajar dalam bidang tertentu. Ramai yang buang masa lebih daripada setahun menunggu tibanya tawaran pekerjaan. Ada yang mula kerja awal tapi sentiasa melompat dan melompat kerja tidak menentu. Jika sebaik sahaja selesai belajar, kita memulakan perniagaan peluang untuk berjaya lebih baik daripada golongan yang saya sebut di atas tadi. Elok buat keputusan untuk berniaga ketika tahun akhir pengajian.
  3. Kena buang kerja. Samada secara sukarela atau secara terpaksa, kita sudah tiada lagi sumber pendapatan. Biasanya mereka yang pernah bekerja punyai rangkaian kawan-kawan yang agak baik. Mungkin kita juga mempunyai sedikit simpanan. Bagi yang mengambil skim VSS tentu ada sedikit pampasan. Semua itu boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaan. Mulakan dari kecil dan perlahan-lahan membesar.
  4. Tamat perkhidmatan atau Pencen. Ramai yang tanam impian untuk mula berniaga pada ketika ini. Tapi saya lihat kebanyakannya terus pencen dan melayan kehidupan pencen dengan tidak melakukan apa-apa pekerjaan. Mereka lebih suka menjadi ahli sukarela membuat kebajikan daripada berniaga. Barangkali ini jalan lebih selamat jika anda sudah punyai simpanan yang mencukupi untuk kehidupan seterusnya.
Jika anda bukan dalam salah satu dari kategori di atas, ini bermakna anda merupakan seorang usahawan ataupun seorang yang sedang makan gaji. Samada makan gaji atau berniaga, tidak menjadi hal, kedua-duanya merupakan jalan menyara kehidupan. Teruskan berbuat begitu jika anda selesa dengannya dan rezki yang anda bawa pulang adalah halal.
Masalah timbul jika anda sedang makan gaji dan dalam masa yang sama cukup bercita-cita dan sangat teringin serta mengidam untuk berniaga. Orang yang begini biasanya sedang giat berniaga dan dalam masa yang sama makan gaji.
Jika dengan berbuat begitu anda tidak mengganggu prestasi kerja makan gaji tidak apa. Itu juga ok jika tidak ada masa yang sepatutnya diperuntukkan kepada majikan yang di gunakan untuk perniagaan sambilan. Yang pentingnya kita boleh terus berbuat begitu jika kesemua perkara yang diamanahkan oleh majikan pada kita dapat diselesaikan dengan baik.
Namun jika dengan menjadi peniaga sambilan anda curi masa kerja, prestasi serta kerja anda macam melepaskan batok ditangga, elok difikirkan semula tindakan makan gaji dan dalam masa yang sama berniaga. Anda WAJIB berhenti seandainya amanah dicurangi dan lebih parah lagi masa, peralatan, sumber mentah dan lain-lain seumpamanya diambil daripada majikan untuk kegiatan perniagaan anda. Itu namanya aktiviti HARAM.
Bagi yang sedang makan gaji yang cukup mengidam menjadi usahawan, masalah utama mereka adalah menunggu masa yang sesuai untuk berhenti dan berniaga. Berbagai-bagai halangan yang difikirkan dalam kepala yang menghentikan hasrat untuk letak jawatan dan berniaga.
Jika ditanya pada mereka, jawapan kenapa masih makan gaji? jawapan yang paling popular adalah “tunggu cukup modal”.
Perlu diingat modal perlu dicari. Kita boleh dapatkannya samada melalui wang simpanan, pinjam pada kawan serta sanak saudara, pinjam pada bank atau lain-lain seumpamanya. Kalau tunggu dan tunggu, modal tidak akan datang bergolek.
Sebenarnya masalah utama kita masih makan gaji dan tidak berniaga adalah tidak adanya keberanian. Kita jadikan alasan belum bersedia, belum pandai, belum ada duit dan modal, belum ada partner dan lain-lain bagi menutup ketakutan yang kita alami di dalam jiwa.
Dalam berniaga, tidak ada masa yang sesuai. Tidak wujud suasana ideal yang semuanya serba cukup. Sebab itu aktiviti berniaga dijalankan oleh usahawan. Manusia yang sentiasa berusaha merealisasikan cita-citanya dengan menggunakan apa saja yang ada pada dirinya serta sekelilingnya.
Jadi jika anda tanya saya bila masa yang sesuai untuk letak jawatan dan berniaga, jawapan saya adalah:
 
“SEKARANG”
 
Tapi ingat anda hanya boleh lakukan begitu seandainya sudah ada rancangan serta produk untuk berniaga. jangan buat kerja gila berhenti kerja dan baru mahu fikirkan idea nak berniaga apa.
Bagi mereka yang sedang makan gaji dan dalam masa yang sama ada perniagaan. Saya nasihatkan letaklah jawatan dan tumpukan pada perniagaan. Terlalu sukar untuk berjaya jika buat kerja dua benda sekali gus begitu. Akhirnya makan gaji tak ke mana, berniaga juga jadi satu masalah.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

4 thoughts on “Bila masa sesuai untuk letak jawatan dan berniaga?

  1. mohd effendy adenan

    tahun berganti tahun……..hanya melihat bangunan-bangunan tetap terus berdiri tanpa
    ada yang terhenti….tetapi diri terus dibelenggu ketidakpastian dalam meletak diri dalam
    dunia biznis…..apa sebenarnya tembok ampuh dalam diri hingga masih dilema untuk memulakan langkah untuk mencebur diri dalam biznis……..MLM, Insuran biz dan lain-lain yang seumpamanya……sering jatuh, jatuh dan jatuh…..
    azam terkini adalah koperasi keluarga dalam penubuhan dan masih menunggu kelulusan……..apakah langkah pertama yang harus diberi keutamaan……….mohon tips dari tuan

    Reply
    1. Shubhi Post author

      Jatuh dan naik perkara biasa bagi bayi yang sedang belajar berjalan, mencuba dan mencuba berterusan akhirnya bayi itu cekap berjalan, itulah yang tuan sendiri sudah alaminya ketika zaman bayi. Jangan berhenti mencuba dan belajar segala kesilapan untuk dijadikan pedoman. Langkah pertama adalajh menentukan bisnes apa yang hendak dijalankan dan pastikan projek itu berupaya untuk dikembangkan.

      Reply
  2. blackssweet

    saya dalam dilema skrg nie.. tak ada hati dengan kerja yg saya buat.. nak berniaga.. tapi takut nak mulakan

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Buat perancangan terlebih dulu dan cari kekuatan dengan senaraikan sebab kenapa anda perlu berniaga dan kenapa ando boleh berjaya

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge