Buang pekerja jenis ini

By | 31/01/2013

Jika anda seorang usahawan atau seorang boss tentu pernah terlintas dalam kepala soalan bagaimana dan di mana aku boleh dapatkan teknik motivasi yang berkesan.

Soalan sebegitu membawa maksud anda sedang hadapi masalah dengan pekerja atau orang bawahan yang menimbulkan kacau bilau dan membantut perkembangan bisnes atau projek yang sedang anda jalankan.

Sebelum anda mulakan usaha mencari teknik atau guru untuk mengajar anda tentang cara memotivasi orang dengan betul dan baik, elok lihat terlebih dulu pada pekerja atau orang bawahan yang anda ada.

Besar kemungkinan anda punyai pekerja yang tidak berguna untuk syarikat atau projek anda dan perlu diterajang keluar terlebih dulu.

Nota peringatan: “terajang keluar membawa maksud diberhentikan kerja dan tidak membawa maksud aktiviti fizikal dengan menggunakan kaki”.

Hanya ada 4 kategori pekerja atau orang bawahan:

  1. Berkemahiran tinggi dan sikap amat cemerlang
  2. Kerkemahiran tinggi dan bersikap buruk teramat
  3. Berkemahiran rendah dan sikap cemerlang
  4. Berkemahiran rendah dan bersikap buruk teramat
Kumpulan yang perlu diterajang
Dalam ke empat-empat jenis yang disebutkan di atas, orang yang anda perlu terajang keluar atau berikan surat amaran keras untuk berubah adalah mereka yang berada di dalam kategori yang ke-4.
Jika anda yang sedang membaca ini merupakan seorang pekerja yang ada boss atau ada taukeh diatasnya. Segera buat analisa samada anda berada di dalam kategori ke-4 yang saya sebutkan di atas.
Jika betul, anda dalam keadaan merbahaya kerana sudahlah tidak punya kemahiran atau keupayaan yang baik, malah bersikap negatif, tak dengar cakap, degil dan seribu satu macam perangai buruk lagi.
Jika anda jadi boss, anda sendiri akan menerajang orang seperti itu keluar dari syarikat jika tidak mahu terus menerus membayar gaji buta padanya.
Belai dengan baik kumpulan ini
Matlamat taukeh atau boss adalah untuk meletakkan semua pekerjanya berada di dalam kategori pertama. Syarikat yang punyai pekerja dalam kategori tersebut paling ramai akan menyaksikan peningkatan memuncak dan boss tidak perlu membuang masa mengambil kursus motivasi orang.
Apa yang boss perlu lakukan adalah bina dan bantu sebaik mungkin pekerja hebat anda tersebut dan berikan mereka segala peluang yang ada untuk meningkatkan kedudukan mereka. Jika anda tidak jaga mereka dengan baik, ramai orang diluar bersedia untuk mengambil kumpulan ini.
Periksa kumpulan ke-3
Bagi mereka yang berada di dalam kategori ke-3, berkemungkinan anda salah letak mereka bukan pada tempatnya. Sila periksa jika anda salah guna kemahiran yang dia ada dan ubah. Sikapnya yang cemerlang akan sentiasa membantu dirinya sendiri untuk maju. Jika dia perlukan latihan, jangan kemut duit untuk memberikannya.
Berhati-hati dengan kumpulan ke-2
Bagi mereka dalam kumpulan kedua, kadangkala mereka adalah jenis yang perasan bagus dan merasakan diri sentiasa hebat dan mereka memnag hebat cuma tidak ada kerjasama dan sukar diuruskan. Anda boleh asingkan jenis ini pada kerja tidak berkumpulan atau hantar ke summer camp untuk pulihkan perangai buruk tersebut.
Jika perangainya tidak berbaloi, elok nasihatkan dia cari kerja lain. Kebiasannya pemergian orang dari kumpulan kedua ini akan banyak melegakan mereka yang berada dikumpulan pertama. Kerana selama ini mereka sentiasa menjadi mangsa….
Peringatan!!!
Sekali lagi, semak dan pastikan agar anda tidak berada di dalam kumpulan ke-4, atau anda akan diterajang keluar….
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge