Buat ini sebaik saja berpindah, pasti jaya!

By | 08/08/2012

Ini lanjutan dari idea menjadi lelaki hebat. Tanpa melakukan kesemua perkara berikut di bawah anda masih lagi tidak lengkap sebagai lelaki hebat walau apa saja status diri anda. Sebaik sahaja selesai mengemas dan bersedia tinggal di rumah baru pastikan anda lakukan perkara-perkara berikut di bawah:

  • Segera perkenalkan diri pada jiran. Mula buat pencarian rangkaian kawan yang betul. Ada jiran yang boleh diakrabkan dan ada yang tidak serasi dengan kita. Hanya dengan mengenali mereka kita dapat mengenal pasti mana ok mana tak ok.
  • Segera ke Masjid atau surau paling dekat. Hampir semua orang baik-baik berkumpul di situ. Kita tak payah menyusahkan diri untuk mengenali golongan berpotensi menjadi kawan yang baik dengan mencari serata tempat. Pergi saja ke surau atau masjid.
  • Jadikan amalan solat berjemaah di surau atau masjid secara istiqamah. Surau atau masjid yang berdekatan merupakan jalan mudah mengenali masyarakat baik di penempatan baru. Tak ada cara mudah membina kawan melainkan dengan sering berjumpa dan membina perhubungan. Jangan hanya ke surau sekali seumur hidup atau hanya pada bulan puasa. Ia tidak mencukupi membina rangkaian kawan.
  • Aktif membantu mengimarahkan masjid. Jangan biarkan hanya AJK masjid atau surau saja buat kerja. Tak ada gaji dalam kerja sebegitu dan mereka lakukan secara sukarela. Tak perlu malu kerana mereka tentu berbesar hati bila ada yang sudi dan rajin membantu. Ini merapatkan diri kita pada golongan ringan tulang yang suka bantu orang dan buat kerja amal kemasyarakatan.
  • Jangan kedekut. Beri sumbangan samada idea, harta atau tenaga pada aktiviti masjid atau surau. Juga pada aktiviti kemasyarakatan lainnya. Ia satu pelaburan terbaik untuk kehidupan dunia dan juga akhirat.
  • Kenal pasti individu yang paling popular. Dengan menyertai aktiviti masjid atau surau kita dapat perhatikan mana satu individu yang semua orang kenal. Pastikan kita merapatkan diri dengannya. ia menjadi jambatan perhubungan antara kita dengan keseluruhan masyarakat di tempat baru kita itu. Janagn lokek berbelanja denagan kerap pada individu tersebut. Sumbangannya pada kita tidak ternilai.
  • Mulakan pencarian kawan yang serasi. Dalam masa tidak lama kita akan mula mengenali mana yang serasi dan mana yang tidak. Luangkan masa menjalinkan hubungan lebih akrab dengan mereka yang serasi. Kita sedang membina jalinan kawan karib yang boleh diharapkan di masa kecemasan.
Jika kesemua tersebut di atas kita lakukan sebaik sahaja berpindah ke rumah baru, insyallah kita menjadi warga masyarakat hebat dan bertenaga. Kita tidak akan hidup kebuluran dan kemurungan. kita juga akan mudah mencari atau menambahkan pendapatan.
Kita sebenarnya telah berjaya menjadi lelaki yang hebat. Lelaki yang berfungsi di dalam tugasannya sebagai manusia yang mengimarahkan muka bumi. Bukan lelaku kera sumbang yang meninggalkan terus masyarakat tempat dia berlindung.
Kesemua di atas boleh dilakukan walaupun kita tidak berpindah ke rumah atau penempatan baru. Dengan renovate rumah anda boleh mulakan hidup ringkas dan melapangkan rumah anda.
Dengan memulakan langkah bermasyarakat yang saya sebutkan diatas juga menyebabkan anda jadi warga aktif baru di kawasan penempatan anda sekarang walaupun sudah lama tinggal di situ. Tak usah malu menjadi pengunjung tetap masjid dan surau dan menyumbang lebih kerap. Ramai yang akan terpegun dan gembira dengan perubahan diri anda yang luar biasa.
Cubalah laksanakan semua di atas, insyallah anda jadi manusia baru, insyallah!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge