Bukan kena tipu, tapi tak tahu!

By | 23/09/2012

Anda tentu pernah rasa kena tipu. Semua orang tentu pernah kena tipu. Kalau ada yang mengaku dia tak pernah kena tipu, mungkin dia tak pernah berada dalam masyarakat dan menjalani kehidupan seorang diri dalam hutan.

Bila kita rasa kena tipu, darah akan mendidih rasa marah pada yang menipu. Jika si penipu itu lemah, tindakan kita biasanya akan menjadi agak brutal. Tentu kita akan tenyeh si penipu tu sampai rasa puas hati dan minta dikembalikan hak yang kita rasa telah ditipu.

Jika yang menipu itu kuat. Kita simpan marah yang terbuku dalam dada. Ini kita namakan dendam. Dendam akan meledak dan dilepaskan bila ada peluang terutamanya bila si penipu berada dalam keadaan lebih lemah dari kita.

Semua yang tersebut di atas sudah biasa kita alami dan sering berulang-ulang dalam kehidupan. Cuma skrip, watak dan aksinya sahaja yang berbeza. Perasaan kena tipu membuatkan kita belajar mengelakkan diri dari tertipu. Bila kita rasa tertipu, biasanya perkara dibawah akan dilakukan:

  1. Elak kerja yang sama. Kita mengenal pasti pekerjaan yang kita lakukan sehingga tertipu dan berusaha mengelakkan diri dari melakukan pekerjaan yang sama di lain kali.
  2. Elak orang atau kumpulan yang sama. Kita cuba mengenali si penipu dan mengelakkan diri untuk menjadikan dia atau mereka yang sepertinya sebagai rakan. Kita menolak dia atau orang sepertinya daripada berurusan dengan kita.
Itu dua perkara yang sering diulangi dalam kehidupan kita. Bila beli durian yang tak masak dari seseorang, maka setiap kali orang itu jual durian kita tak akan membelinya malah kita mengkhabarkan pada orang lain jangan beli durian darinya.
Lebih teruk lagi, bila sering beli durian tak masak dari beberapa penjual durian yang berlainan, kita ambil sikap mengelakkan diri dari beli durian. Kita buat kesimpulan semua penjual durian penipu dan mereka jual yang tak masak!.
Bukan kena tipu, tapi kita sebenarnya tidak tahu
Sebaliknya cuba fikirkan bahawa kita sebenarnya tidak kena tipu, cuma pada masa itu kita tak tahu. Kita belum ada ilmu dan orang yang kita berurusan itu nampaknya lebih tahu apa yang kita tak tahu dan mengambil kesempatan terhadap kajahilan kita.

Sikap begini cukup penting jika kita berniaga. Jangan letakkan kesalahan pada orang lain, cari kesalahan diri dan betulkannya. Ini tidak dapat dilakukan jika kita sering rasa kena tipu. Ia sama dengan menyalahkan kejahatan orang lain dan menafikan kelemahan diri sendiri.

Ramai kawan-kawan yang gagal dalam perniagaan memberikan alasan mereka kena tipu. Ada yang dakwa kena tipu dengan rakan kongsi. Ada yang mendakwa kena tipu dengan pelanggan sendiri. Ada yang dakwa mereka ditipu oleh pekerja sendiri dan bermacam-macam lagi.

Apa yang mereka tak mengaku adalah kebodohan diri sendiri yang ditipu oleh orang yang lebih pandai dari mereka. Tidak mengaku kebodohan sendiri merupakan ciri-ciri kegagalan nombor satu. Setiap kali tidak berjaya, kita mencari kambing hitam yang mahu dipersalahkan. Sampai bilapun tidak ada kemajuan diri sendiri jika kita meneruskan sikap begitu.

Bila kita mengaku kita yang tak tahu. Cara mengambil tindakan mula berubah.

  • Kita akan tertawa dengan kebodohan sendiri dan rasa kagum dengan orang yang berjaya mengatasi kelemahan kita. Tak perlu nak marah pada orang yang pandai dan sepatutnya berterima kasihlah padanya yang menunjukkan perkara yang kita tak tahu.
  • Kita akan baiki dan mencari maklumat untuk memantapkan ilmu tentang perkara yang sama. Ini membina pertahanan yang baru jika terserempak sekali lagi dalam situasi yang sama.
  • Kita tidak akan serik melakukan kerja yang sama malah melakukannya dengan keyakinan yang lebih mantap. Ini merupakan jalan kejayaan. Mengulangi sesuatu perkara dengan kerap dan setiap kali dengan pembaharuan yang lebih baik, akan menghasilkan kejayaan.
  • Kita tak akan serik berkawan atau menerima pelanggan yang sama atau berkongsi dengan rakan yang sama.
Kesemua mereka yang berjaya tidak kira dalam apa bidang sekalipun samada perniagaan, kepimpinan, pekerjaan atau sebagainya berkongsi sikap yang sama.

“Apabila sesuatu tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan, orang yang pertama sekali disalahkan adalah diri sendiri”

Amalkan sikap ini, anda tidak akan menyesal seumur hidup, Insyallah!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge