Hidup anda berserabut !, apa jalan penyelesaiannya?

By | 15/07/2012

Kalau anda sudah mencapai umur melebihi 40 tahun, mungkin anda sudah berjaya melepasi masalah kehidupan yang berserabut. Biasanya mereka yang lebih muda daripada itu kerap kali merasakan kehidupannya tak tentu arah dan jiwa tertekan penuh dengan seribu satu macam keserabutan.

Walau apapun peringkat umur anda samada tua atau muda dan anda sedang menghadapi kehidupan yang serabut, saya ada jalan untuk menyelesaikan semua itu. Jawapannya kepada keserabutan hidup hanya satu, “ringkaskan kehidupan anda”. Berikut perkara penting yang anda perlu lihat untuk diringkaskan:

  1. Keperluan ekonomi anda
    1. Jadikan diri anda seorang yang kaya. Jika anda mahu tahu apa makna sebenar kaya, sila baca tulisan saya berkenaan makna kaya
    2. Jangan ambil peduli tahap kesenangan orang lain. Anda tidak perlu berlumba untuk menjadi pemenang siapa lebih kaya. Lagipun tak ada siapa yang menyuruh dan berhak mengarahkan anda berbuat begitu.
    3. Anda hanya perlu bandingkan diri anda hari ini hendaklah lebih baik sedikit daripada semalam. Saya ulang sekali lagi pastikan ianya lebih baik sedikit saja. Jika hari ini anda berjaya jimatkan pembaziran hanya 10 sen berbanding semalam, itu satu kejayaan yang besar dan cukup bermakna.
    4. Jangan keluarkan duit untuk membeli barang yang tidak perlu. Duit yang dikeluarkan untuk membeli membunuh potensi anda untuk menggandakannya. Fikirkan segala barang kepunyaan anda yang dibeli dan hanya digunakan sekali seumur hidup, ia lansung tidak berbaloi. Elakkan membeli sesuatu kerana mengharapkan orang menghormati anda kerana memiliki benda itu, ia lansung tidak perlu dan anda bukanlah apa yang anda miliki dan bukan juga kereta apa yang anda pandu.
    5. Ulang semua perkara di atas setiap hari. Kalau nak lebih efektif, catitkan semua kejayaan anda setiap hari.
  2. Keperluan sosial anda
    1. Manusia adalah makhluk bersosial. Jika anda tak ada kawan rapat, memang patutpun kehidupan berserabut. Mula jalinkan semula perhubungan dengan bekas kawan-kawan anda dan istiqamah berkawan secara jujur. Jangan peduli apa status kawan anda itu kerana anda tidak perlu membandingkan antara anda dengan kedudukan atau kejayaan mereka. Kawan-kawan amat diperlukan sebagai rakan kongsi kita menyatakan rasa syukur, juga rakan berkongsikan masalah.
    2. Bagi mereka yang terlalu ramai kawan dan terlalu aktif bermasyarakat, fikirkan semula keperluan anda. Kadangkala banyak masa terbuang bersama dengan kawan yang tidak mendatangkan faedah. Hadkan juga komitmen anda dalam bermasyarakat dan jangan belasah menerima jawatan dan tanggungjawab yang banyak. Lepaskan agar orang lain juga berpeluang berbakti. Pegang dan aktif dalam hanya satu atau dua aktiviti yang memberikan impak serta pulangan yang optimum pada kehidupan dunia dan akhirat.
  3. Keperluan rohani anda
    1. Ada dikalangan kita yang tak pernah luangkan masa bersendirian bertafakur untuk santapan rohani. Jika anda begitu luangkan masa sekurangnya satu jam sehari untuk anda bersendirian.
    2. Santapan fizikal adalah makanan manakala santapan rohani adalah ilmu. Oleh itu sentiasa tambahkan ilmu dengan membaca dan berguru.
    3. Sebagai muslim anda berada dalam kerugian yang cukup besar jika tidak membaca dan cuba memahami Al-Quran. Ia mempunyai kesan yang cukup basar untuk kekuatan rohani. Jadikan amalan membaca Al-Quran dan Tafsirnya sebagai tabiat harian.
  4. Keperluan hiburan anda
    1. Para saintis kemanusiaan dalam rumusan terbaru mereka mengkategorikan manusia sebagai makhluk yang cukup suka berhibur melebihi makhluk lain. Anda tidak dapat nafikan kebenaran ini dan menjadi seorang yang sentiasa serius. Carilah sesuatu yang berfaedah untuk dijadikan sebagai pengisian keperluan hiburan anda.
    2. Bagi mereka yang menjadikan hiburan sebagai aktiviti sepenuh masa pula, anda sebenarnya terlalu berlebihan. Limitkan masa untuk berhibur sekadar perlu sahaja
  5. Keperluan kesihatan anda
    1. Tak ada perkara yang lebih menyeronokkan selain daripada mempunyai tubuh badan yang sihat. Malangnya kita sentiasa mengutamakan perkara lain dan meletakkan kesihatan sebagai agenda yang paling akhir dalam hidup kita.
    2. Luangkan masa untuk bersenam dan sentiasa fikirkan keadah bagaimana anda boleh kurangkan aktiviti memandu dan lebihkan aktiviti berjalan kaki.
    3. Ikuti petua kesihatan dengan membaca cara mudah untuk kekal sihat dan elak sakit.
    4. Anda juga boleh semak checklist untuk hidup sihat.
  6. Keperluan tempat perlindungan anda
    1. Jika anda masih tinggal dengan ibubapa, ia adalah sesuatu yang cukup beruntung. Wang boleh dijimatkan untuk membeli penginapan anda sendiri suatu masa nanti. Bayangkan jika anda menyewa di kawasan tersebut, berapakah sewaannya. Ambil jumlah tersebut dan masukkan dalam tabung atau akaun hartanah anda, bukannya belanja dan habiskan wang yang anda jimatkan tersebut.
    2. Jika anda memiliki rumah sendiri, perkara paling utama yang perlu anda lakukan andalah bersyukur. Jangan mengeluh keadaan rumah anda yang kecil atau tidak elok berbanding orang lain. Anda bukan mereka dan mereka bukan anda.
    3. Jadikan rumah anda hebat dengan pastikan ia sentiasa kemas tersusun dan bersih seperti hotel bertaraf lima bintang.
    4. Luaskan ruang dalam rumah anda dengan mengumpulkan segala yang tidak digunakan dan hadiah atau jual saja pada scrap dealer. Ingat rumah yang luas bukan sebab ianya besar, tetapi kerana dia hanya diisi dengan barang-barang yang benar-benar perlu sahaja.
    5. Jika rumah anda terlalu semak berterabur dan anda tidak tahu di mana harus anda mulakan untuk menyusunnya, fikirkan masa yang sesuai untuk anda mengecat semula keseluruhan rumah. Dengan berbuat begitu anda secara lansung terpaksa mengumpulkan, menyusun semula apa yang perlu dan membuang apa yang tidak perlu.
    6. Baca tulisan ‘mulakan hidup ringkas di rumah‘ untuk mendapat idea bagai melapangkan rumah anda.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Hidup anda berserabut !, apa jalan penyelesaiannya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge