Hidup ringkas dan berjaya!

By | 15/02/2013

Semalam saya keluar mengikuti seorang kawan untuk bertemu orang di Rawang. Faktor utama saya menurutinya walaupun dalam keadaan letih adalah kerana pujukan adanya peluang sedang menanti yang mungkin dapat dimanfaatkan di sana.

Kalau tak ada peluangpun yang dapat diperolehi, paling kurang saya dapat berjumpa kenalan baru dan barangkali ada perkara baru yang dapat saya pelajari dalam pertemuan tersebut. Maka bertolaklah kami berdua dalam pukul 10.30 malam.

Sesampainya di Rawang saya diperkenalkan kepada 3 orang kawan baru. Mereka sedang makan di sebuah restoran dan kami sertai mereka. Oleh kerana saya dah kenyang, saya hanya mengambil segelas air teh ‘o’ panas.

Sambil makan mereka mula berkongsi tentang peluang memajukan ekonomi secara berpersatuan. Menurut mereka menggunakan teknik berpesatuan untuk menjadi kaya sudah lama diamalkan oleh bangsa-bangsa lain  terutamanya orang Cina.

Saya hanya mendengar dan cuba menghadamkan segala yang dipercakapkan oleh kenalan baru tersebut. Dalam hati kecil saya, mula mengsyaki ianya adalah aktiviti MLM yang dipersembahkan dalam cara yang menarik dan tersembunyi.

Dalam keadaan saya belum faham apa yang dia mahu terangkan, tiba-tiba dia mula bercakap tentang warisan Melayu, sejarah negeri melaka dan menybut nama Tun Teja. Dia nampak bersungguh untuk menghidupkan semula warisan lama kerajaan negeri Melaka serta segala adat resam budaya Melayu lama.

Saya menjadi bertambah biul dan keletihan kerana segala usaha untuk menghadam apa yang cuba disampaikannya nampak seperti gagal. Saya cuba tenagkan jiwa dan setia menunggu lanjutan huraiannya. Namun dalam hati saya makin yakin dia sedang cuba meyakinkan saya untuk menyertai MLM tapi dengan pendekatan yang cukup berbeza.

Akhirnya, seorang kawannya muncul siap dengan laptop ditambah dengan satu tablet mula mempersembahkan satu persembahan powerpoint yang lengkap dengan mukadimah dan falsafah. Apa yang saya mula nampak jelas dia mempersembahkan satu persatuan atau kelab yang diambil dari nama Tun Teja.

Sah!, satu lagi MLM yang cukup istimewa siap dengan falsafah memartabatkan bangsa Melayu dan mengetengahkan pemikiran bangsa Melayu di arena ekonomi sambil mempromosikan aktiviti pelancongan yang berkonsepkan warisan Kemelayuan.

Akhirnya saya dibawa naik ke pusat pertemuan mereka ditingkat satu di bangunan tersebut untuk melihat apa yang mereka ada di sana. Walaupun berbagai helah saya cuba keluarkan untuk memendekkan pertemuan tersebut, namun saya terpaksa juga mendengar pembentangan sistem perniagaan mereka.

Mereka janjikan hanya lima minit untuk pembentangan ringkas dan padat tetapi akhirnya saya hanya boleh mengundurkan diri selepas pukul 2.30 pagi!. Mereka dengan tersenyum dan yakin mengatakan mereka sering berada di situ seban hari sehingga pukul lapan pagi!

Apa yang saya belajar
Saya bukan anti atau tidak suka atau tidak percaya pada sistem MLM. Malah saya kagum dan percaya ia merupakan sistem perniagaan yang baik dan berjaya sepertimana yang telah dibuktikan oleh banyak perniagaan MLM antara bangsa dan juga dalam negara.

Namun bagi saya untuk melibatkan diri dalam sesuatu perniagaan saya berpegang kepada beberap prinsip mudah dan ringkas:

  • Lebih mudah dan ringkas lebih bagus.
    • Jika sesuatu perniagaan itu memerlukan masa hingga 3 jam untuk diterangkan, tentu ada sesuatu yang tidak kena.
    • Melencong pada falsafah Melayu, warisan, budaya, kelab warisan, kelab pelancongan dan dalam masa yang sama membina chalet, menjual kayu teras gaharu dan membeli tanah tol untuk dibangunkan dan berbagai lagi termasuklah pelaburan dibursa saham dan lain-lain menyukarkan semua orang untuk kekal bersabar.
  • Untung sederhana tapi berpanjangan.
    • Antara perkara seronok didengar tapi elok ditinggalkan adalah janji keuntungan yang cukup banyak dan dalam masa yang singkat.
    • Semua orang memang ingin jadi jutawan segera dengan modal yang sedikit, tapi wang bukanlah perkara yang kekal. Ia datang dan pergi. Yang tinggal hanyalah jati diri dan akhlak yang terbina sepanjang berusaha untuk berjaya.
  • Malam untuk rehat atau beribadat.
    • Sejak dulu saya amat anti pada sistem kerja tak rehat siang dan malam dan kadangkala sehingga ke pagi. Tuhan sediakan siang yang cukup untuk kita cari makan dan tak perlulah kita tambahkan lagi waktu malam sampai subuh untuk menimbunkan sebanyak harta yang mungkin
    • Malam elok dijadikan masa untuk beribadah, bersama keluarga dan merehatkan diri. Hidup biarlah seimbang rohani dan jasmani, material dan spiritual.
Demikianlah serba sedikit garis panduan yang biasanya saya ambil dalam menentukan kerja atau perniagaan yang akan dilakukan. Bagi saya bersederhana dalam apa saja tindakan amat penting. Ringkaskan kehidupan anda agar ianya menjadi mudah.
Renungkan Hadith Nabi di bawah:

Abu Hurairah melaporkan,

¬†“Nabi Muhammad menjelaskan, ‘dekatkan diri saudara kepada Allah dengan melakukan amalan secara sederhana, kemudian berikan komitmen pada amalan itu dengan melakukannya secara berterusan. Ketahuilah, tidak ada seorangpun yang dapat diselamatkan oleh amalannya itu.’ Sahabat bertanya, ‘bagaimana pula dengan tuan, wahai utusan Allah?’. ‘Saya pun begitu juga, melainkan sekiranya Allah melindungi saya dengan rahmatNya dan kebaikanNya,’ jawab Nabi Muhammad.”

Hadith direkodkan oleh Muslim (Sumber Riyadus Solihin)

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Hidup ringkas dan berjaya!

  1. nurul

    suami saya cukup anti kalau kena meeting malam dan perlu ke hotel..pada beliau siang untuk kerja malam utk keluarga..lagipun katanya kalau meeting kat hotel ni banyak borak dari bincang bisnes..dan dia amalkan nak meeting better di pejabat..sepanjang meeting luar dari pejabat tak pernah berjaya pun..

    dan dia tak peduli orang kutuk dia tak entertain customer..entertain apa kalau sampai kul 3 pagi di hotel..isteri pun boleh naik darah..setakat ni projek yg dia meeting di pejabat pada siang hari masa office hour lebih membuahkan hasil..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge