Jadi lelaki hebat bila pindah rumah baru

By | 07/08/2012

Lelaki mana yang tak mahu jadi hebat. Hanya lelaki yang tidak ada hasrat untuk meneruskan kehidupan saja yang tak mahu jadi hebat. Sifat menunjukkan kehebatan memang sudah ada pada lelaki sekurang-kurangnya apabila dia mahu memikat wanita. Apa yang saya maksudkan dengan lelaki hebat adalah:

  • Seorang lelaki yang hidup bermasyarakat. Dengan bermasayarakat kita boleh menyumbang tenaga, harta dan idea. Bermasyarakat juga membina rangkaian kawan-kawan. Mempunyai kawan-kawan bukan sahaja di luar kawasan kariah tempat tinggal malah lebih penting lagi punyai kawan di kawasan tempat tinggalnya. Mereka yang dikelilingi kawan-kawan akrab kebiasannya jarang hidup merempat. Mereka juga jarang mengalami masalah kemurungan kerana sentiasa mendapat suntikan semangat dari kawan-kawan. Ringkasnya lelaki begitu biasanya mudah kehidupannya dan berjaya. Insyallah.
  • Mempunyai kawan-kawan yang baik dan berguna. Kawan cukup,penting bagi seorang lelaki. Kawan juga boleh mencorakkan kehidupan seorang lelaki. Kita boleh kenal dan tahu kedudukan seseorang dengan melihat bagaimana kedudukan kawan-kawan di sekelilingnya. Ramai kawan memang bagus, tapi berkawan dengan mereka yang tidak mendatangkan faedah yang berfikiran negatif wajib ditinggalkan.
  • Hidup sederhana. Hidup sederhana bermaksud hidup ringkas dengan menyimpan, memikirkan dan membuat semua perkara yang penting dan mendatangkan manafaat sahaja untuk mencapai matlamatnya dan meninggalkan kesemua perkara yang tidak berfaedah untuk dirinya.
  • Mempunyai sumber pendapatan. Pendapatan tidak semestinya banyak. Asalkan apa yang kita dapat mencukupi bagi menyara kehidupan kita serta keluarga dan ada sedikit lebihan untuk simpanan, itu maknanya kita sudah menjadi seorang yang kaya.
Jika sebahagian daripada 4 perkara di atas tidak anda miliki sekarang, jangan risau. Ada cara mudah untuk merubah kesemua itu dan menukarkan diri anda menjadi hebat dengan kadar yang cepat, lancar dan tidak terasa.
Caranya mudah saja. Anda hanya perlu berpindah ke rumah baru. Jika anda seorang penyewa, mulakan pencarian kawasan dan rumah baru untuk berpindah. Jika anda sekarang tinggal dirumah sendiri, tak payah berpindah, anda hanya perlu renovate rumah atau cat semula rumah anda sahaja dan mula ubah sikap hidup.
Berpindah bukanlah perkara yang menyeronokkan. Banyak kerja dan persiapan yang perlu dilakukan. Lebih sedikit barang yang kita ada lebih mudah urusan kita dan lebih menjimatkan kos pengangkutan.

Jika barang kepunyaan anda sedikit yang terdiri daripada perkara asas sahaja, syabas! anda seorang yang hidup ringkas dan tidak mengamalkan pembaziran. Itu tandanya anda akan hidup senang satu hari nanti.

Jika barang yang kita ada terlalu banyak bersepah-sepah, maka ini peluang memulakan hidup ringkas dengan menyimpan segala yang penting dan perlu sahaja. Hadiahkan kesemua barang yang tak pernah anda guna atau hanya digunakan sekali seumur hidup pada mereka yang memerlukan.

Sudah pasti banyak barang yang boleh kita hadiahkan pada orang lain. Ini satu langkah permulaan membina perhubungan baik dengan orang yang baik dan kita berkenan. Tak ada perkara yang paling kita hargai lebih daripada menerima pemberian sesuatu yang berguna daripada orang.

Dengan menghadiahkan banyak barang yang kita tak atau jarang gunakan, kita berjaya menghapuskan segala barang yang tak perlu. Ini satu langkah hidup ringkas. Ia akan memberikan amaran setiap kali kita mahu beli barang. Ingat semula segala barang yang telah kita hadiahkan pada orang lain, jangan dibeli dan dilonggokkan lagi.

Menghilangkan segala barang lama yang kita simpan juga membebaskan otak kita dari kenangan lama dan rasa bersalah yang membelenggu pemikiran tanpa kita sedari. Beli barang dan tak digunakan membina rasa bersalah dalam diri. Ia memberi kesan negatif dalam hidup kita tanpa disedari. Kita membebaskan jiwa mengosongkannya untuk diisikan dengan perkara baru yang positif.

Jika ada barangan berharga. Cuba fikirkan untuk menjualnya. Ini menambahkan wang dan kita boleh simpan dalam tabung. Jual dengan harga berpatutan sebanyak mungkin barang yang tak perlu atau jarang digunakan. Kita menambahkan pendapatan secara tiba-tiba yang selama ini tidak kita pernah fikirkan.

Bila kesemua di atas selesai dijalankan, kita sudah bersedia untuk berpindah ke rumah baru. Buat aturan rumah dengan mengikuti konsep minimalism. Kurangkan benda dan luaskan ruang yang ada. Isikan dengan barang yang digunakan dan jangan semakkan rumah dengan benda tak berguna dan menyakitkan mata.

Tak ada bilik orang besar yang tidak luas dan lapang. Jadi rumah yang luas dan lapang dan diisi dengan perabut dan barang yang penting sahaja menyuntik idea menjadi orang basar dalam kepala kita. Minda kita menjadi segara dan berkeyakinan tanpa disedari.

Setelah selesai anda berpindah dan mengemas dan bersedia untuk tinggal dirumah baru anda perlu lakukan beberapa perkara penting untuk melengkapkan perjalanan menjadi lelaki hebat. Saya akan menulis selepas ini. Tungguuuu…!

Nota: Ingat!, kalau tak boleh pindah rumah, tak perlu risau. Tapi anda perlu renovate atau sekurang-kurangnya cat semual keseluruhan rumah anda.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Jadi lelaki hebat bila pindah rumah baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge