Jangan kedekut, ambil pekerja dan besarkan perniagaan!

By | 01/08/2012

Jika anda seorang usahawan atau anda seorang boss yang bekerja untuk majikannya. Anda akan hidup susah jika tak tahu atau tak mahu serahkan tugas pada orang bawahan.

Kalau boleh kesemua tugas diserahkan pada orang bawah dan usahawan atau boss boleh buat kerja berfikir bagaimana nak memudahkan lagi tugasan dan dalam masa yang sama meningkatkan kecekapan.

Bagi para usahawan pulak. Jika anda bersetuju dengan tulisan saya sebelum ini kenapa bernaiaga dah lama tapi syarikat masih tak membesar, anda perlu segera fikirkan untuk mengambil pekerja.

Sekurang-kurangnya mulakan dengan mengambil pekerja kerani yang melakukan kerja-kerja remeh temeh seperti menaip surat, mengisi borang, menyusun fail, angkat telefon, buat inbois, hantar surat, fax, pentadbiran mudah dan lain-lain lagi.

Saya ada kenal beberapa kawan usahawan yang buat kesemua kerja perkeranian yang saya sebutkan di atas sendiri sehinggakan seluruh ahli keluarga yang tak ada kena mengena terpaksa menolong kerja-kerja tersebut. Itu hanya menyusahkan perniagaan dan syarikat pasti tak akan membesar jika berterusan begitu.

Jika anda sudahpun ada pekerja, berikut beberapa petua bagaimana mahu menguruskan mereka ketika memberikan tugasan. Ingat! setiap pekerja tidak sama keupayaannya. Ia bergantung pada tahap mana kita harapkan dia bertugas, samada tahap perkeranian ataupun tahap pengurusan rendah, sederhana atau tinggi.

  • Memberi arahan – jika pekerja anda baru mula bekerja atau sedang belajar perkara yang baru. Jangan main lepas dengan anggapan dia sudah tahu semua.
  • Memberi bimbingan – jika pekerja anda sedang belajar perkara baru tapi memerlukan kebebasan melakukan kesalahan untuk belajar. Biasanya jenis ini nampak berpotensi dan berani mencuba dan ada sikap mahu maju.
  • Memberi sokongan – Jika pekerja anda berpotensi tinggi tetapi kurang berkeyakinan. Jenis pekerja sebegini berpengalaman, cuma tidak pernah diberikan tanggung jawab penuh untuk mengepelai sesuatu tugasan.
  • Mewakilkan – Jika pekerja anda bermotivasi tinggi, cekap dan berpengalaman. Jenis ini biasanya berpotensi untuk anda lepaskan membuat kesemua tugasan tanpa pemantauan yang ketat. Anda cuma perlu dapatkan maklumat darinya sekadar untuk tahu dan bukannya untuk mengajar. Anda perlukan jenis pekerja sebegini untuk membolehkan anda tak ke pajabat sebulan tanpa memberikan apa-apa kesan pada perjalanan syarikat.
Jangan ragu-ragu untuk membentuk satu kumpulan yang mantap dalam syarikat anda dan biarkan mereka menjadi kakitangan anda menjalankan syraikat ke tahap yang lebih bagus. Ingat! kalau boleh anda sebagai boss atau usahawan tak perlu buat apa-apapun selain daripada menggunakan otak dan mencari idea baru. Selainnya serahkan pada orang bawah atau kumpulan mantap yang telah anda bentuk.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge