Ke depan sedikit saja untuk habuan yang terlalu banyak

By | 27/12/2012

Jika ada satu soalan yang ajaib. Soalan yang jika ditanya oleh sesiapa saja pasti akan membuatkan dirinya berubah menjadi seorang yang dikagumi. Saya akan letakkan soalan tersebut berbunyi begini:

“Apa kelebihan yang dia ada yang membuatkannya lebih hebat dari aku…?”

Sesiapa saja yang mula bertanya pada dirinya sendiri, soalan seperti di atas lalu kemudiannya mula mencari jawapan pada soalan tersebut, sudah pasti, lambat atau cepat akan berubah menjadi hebat dan berjaya.

Adakah anda pernah bertanyakan soalan yang sama seperti:

  • Kenapa dia ni jadi boss aku? apa lebihnya dia berbanding aku?
  • Kenapa syarikat dia tu jauh lebih berjaya daripada aku? apa yang dia lakukan yang membezakan dia dan aku?
  • kenapa pendapatan dia jauh lebih tinggi daripada aku? apa yang dua buat lebih daripada aku?
  • Dan lain-lain seumpamanya
Kelebihan yang terlalu sedikit
Jika anda salah seorang daripada mereka yang soalan-soalan di atas sering berlegar-legar dalam kepalanya, di sini saya perturunkan petua penting yang mungkin kita sering lihat tapi tak perasan.
  • Cuba lihat kenapa Usain Bolt menjana pendapatan jauh lebih tinggi daripada pelari pecut lain. Jika pendapatannya 10 kali ganda lebih dari orang dibawahnya ia bukanlah kerana dia berlari 10 kali ganda lebih laju daripada orang yang ditewaskannya. Sebaliknya perbezaan hanyalah dalam lingkungan perpuluhan saat.
  • Cuba lihat Safee Sali. Pendapatannya tinggi berkali ganda lebih daripada pemain bola lain bukan kerana dia berkali ganda bagus bermain bola dari mereka. Hanya sedikit perbezaan kecil yang membezakan mereka.
  • Jika kedai Tomyam yang berjiranan, yang satunya didatangi oleh 3 kali ganda ramai orang daripada jiran sebelahnya, bukanlah disebabkan makanan, atau layanannya 3 kali ganda lebih. Sebaliknya hanya ada sedikit perbezaan kecil.
  • Jika seorang pemenang anugerah pelajar terbaik mendapat tajaan biasiswa hebat, berbagai hadiah istimewa dan berbagai ganjaran istimewa yang 10 kali ganda lebih baik daripada pelajar nombor dua di bawahnya, perbezaan markah mereka mungkin hanyalah satu atau dua markah saja. Ia juga bukan bermakna pelajar itu berusaha 10 kali ganda lebih dari orang lain.

Apa yang mahu dinyatakan di sini ialah anda tidak perlu berusaha 10 kali ganda lebih dari orang lain untuk menjana pendapatan 10 kali ganda daripada mereka. Apa yang perlu adalah hanya sedikit. Sedikit saja kelebihan untuk meninggalkan orang lain.

Mungkin itulah yang dikatakan sebagai, “work smart instead of work hard”. Lihat apa yang orang sekeliling anda lakukan. Pilih yang terbaik di antara mereka dan belajarlah cara mereka melakukan kerja. Sebaik saja anda membaiki hanya sedikit saja lebih dari mereka, maka anda akan melonjak naik.
Dalam perjalanan menempa kejayaan, kepekaan kita melihat dan berfikir memainkan peranan yang cukup besar. Marilah kita lihat dan fikirkan apa perubahan baik yang boleh dilaksanakan segera pada apa saja yang kita lakukan.
Jangan tunggu sesuatu yang besar untuk berubah. Cukup sekadar sedikit untuk membezakan anda daripada yang lain. Hanya sedikit perbezaan yang baik saja diperlukan untuk melonjakkan diri kita ke atas jauh meninggalkan orang lain.
Persoalannya sekarang, apakah perbezaan sedikit itu yang perlu kita lakukan. Fikir-fikirkanlah…!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge