Kenal pasti betul-betul apa sebenarnya yang menjadi masalah

By | 09/07/2012

Kadangkala kita hanya melayan sesuatu masalah tanpa berhenti sejenak untuk menganalisa apa sebenarnya yang menjadi masalah. Bila berada dalam keadaan itu sudah tentu tidak ada jalan penyelesaian yang boleh dirumuskan agar perkara tersebut tidak lagi menjadi masalah kepada kita.

Saya teringat ketika saya tinggal di negara Perancis suatu ketika dahulu, anjing merupakan satu masalah yang cukup besar dalam kehidupan saya di sana. Jumlah anjing di Perancis cukup banyak dan jumlah bilangan anjing sebenarnya melebihi jumlah orang Perancis itu sendiri, jadi tidak hairanlah kita akan dapati ada anjing di serata tempat.

Orang Melayu cukup takut dengan anjing. Kita tengok anjing macam tengok hantu, walaupun anjing didepan hanyalah seekor anjing yang cukup comel dan kecil ketot. Masalah itu benar-benar mengganggu jiwa saya setiap kali mahu keluar rumah kerana takutkan anjing yang bersepah di sana.

Memandangkan saya bukannya sebentar akan tinggal di Perancis, saya mula berfikir apa sebenarnya masalah saya dengan anjing. Nak dikatakan takut, kenapa anjing kecil pun saya risau?. Rupa-rupanya baru saya sedar bahawa yang dirisaukan adalah bebanan terpaksa menyamak jika tersentuh anjing sepertimana yang diajar sejak kecil.

Menyamak bukannya kerja mudah dan kita kalau boleh mahu sentiasa mengelakkannya. Saya mula mencari jalan penyelesaian dengan memerhatikan warga Arab dari Maroko dan juga Aljeria yang tinggal di sana. Saya lihat mereka selamba saja memegang dan membela anjing sedangkan mereka juga beragama Islam seperti saya. Saya mula tertanya apakah yang membezakan antara saya dengan mereka.


Nak dipendekkan cerita, siasat punya siasat rupanya ada pandangan mazhab Maliki yang ambil pendekatan mudah terhadap anjing. Cuma pinggan makanan yang dijilat anjing sahaja yang perlu di samak manakala selain daripada itu tak perlu.


Dari situ masalah anjing sudah bukan lagi menjadi masalah. Ia berjaya di selesaikan dengan hanya memikirkan semula kedudukan perkara tersebut dan kenal pasti apakah sebenarnya yang menyulitkan kita. Kadangkala apa yang kita anggap sebagai masalah itu sebenarnya bukanlah masalah dan tidak sepatutnya mengganggu kita.


Berbalik pada bab anjing di atas, saya kini dapat membezakan anjing mana yang merbahaya dan anjing mana yang tidak merbahaya dan tidak lagi terbelenggu dengan masalah menyamak yang hanya membuatkan otak terkeliru. Kalau setakat perlu samak membuatkan kita lari lintang pukang, ia amat menyusahkan kehidupan kita dalam masyarakat yang melihat anjing sebagai binatang peliharaan setia dan disayangi.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge