Lagi tentang duit

By | 14/06/2013
Tentang wang

Dari mana datangnya perkataan accountant?

Mungkin pada zaman awal perniagaan didapati perlunya kerja mengira semua barang serta duit yang keluar masuk daripada perniagaan.

Tujuannya, untuk memastikan perniagaan dapat dipantau secara terperinci samada mendapat untung atau rugi.

Maka peniaga yang kreatif mula meletakkan seseorang yang kerjanya hanya memantau apa saja yang keluar dan masuk.
Pekerja yang diambil itu kerja nya hanya kira dan mengira apa saja, tanpa ada pengecualian.

Teknik meletakkan seseorang yang kerjanya hanya kira dan mengira membuatkan perniagaan menjadi lebih bagus dan terurus dengan baik.
Lalu bertanyalah orang apakah rahsia peniaga tersebut menguruskan perniagaannya?
Lalu usahawan itu berfikir apa yang nak dinamakan orang yang kerjanya hanya kira dan mengira segala aktiviti keluar masuk di dalam perniagaan.
Lalu terfikirlah akan perkataan ‘count’ dan terbayangkan kerajinan semut bekerja ‘ant’. Maka terkeluarlah idea untuk namakan pekerja itu sebagai, ‘a count ant’.
Akhirnya muncullah nama “Accountant”…..tamat cerita.
Ok, cerita di atas hanyalah sekadar hiburan.Kembali pada tajuk sebenar berkenaan duit, yang mana dalam sesebuah perniagaan ianya menjadi ukuran samada perniagaan tersebut dapat diteruskan atau tidak.

“Perlu diingatkan bahawa punca paling popular yang menjadi penyebab banyak perniagaan gulung tikar adalah masalah aliran wang.”

Jika anda sedang menjalankan perniagaan yang mana mempunyai ramai pesaing di sekeliling, dan perniagaan anda tidak untung dan terpaksa ditutup, bukan bermakna perniagaan tersebut silap.Kalau orang lain boleh bertahan dan mereka telah lama bertapak menandakan perniagaan itu ok dan boleh mendatangkan keuntungan. Sekurang-kurangnya ia mampu menyara kehidupan.

Ini bermakna yang bermasalah adalah diri anda sendiri dan bukan perniagaan yang dipilih. Dan pastinya masalah yang anda hadapi adalah kebocoran wang keluar yang melebihi wang masuk.

Saya dah tulis berkenaan pentingnya memahami akaun perniagaan yang sedang dijalankan sebelum ini. Sila klik di sini.

Pastikan perniagaan anda ada semut yang mengira segalanya sehingga anda dapat tahu perniagaan anda untung atau rugi. kalau masih tak buat lagi, anda sengaja menempah tiket untuk menggulung tikar.

Cepat buat semua itu supaya anda akan berterima kasih pada saya satu hari nanti.

Bila dah buat semua perkiraan, ada berbagai kemungkinan yang menyebabkan perniagaan bermasalah dari segi kewangan. Berikut antara masalah paling serius, terkenal dan paling asas:

  1. Jualan tak cukup. Ini perkara asas dan paling mudah. kalau tak reti elok berhenti berniaga sebentar dan pergi menuntut pada mereka yang tahu. Perniagaan perlu sekurang-kurangnya menjana jualan sekadar cukup menyara segala perbelanjaan. Orang putih kata ‘breakeven sales’. Jika perniagaan anda begitu, samada anda tingkatkan jualan atau kurangkan perbelanjaan, mudah!!!, anda akan selamat.
  2. Gagal kawal pemberian kredit. Bila dilihat atas kertas yang akauntan sediakan anda untung banyak. Bila dilihat duit dalam bank anda hampir pengsan. Vendor sering menjerit-jerit setiap kali menelefon untuk minta bayaran. Jika ini berlaku, biasanya duit anda sedang dipegang oleh pelanggan. Anda bermurah hati berikan kredit dan tak pernah follow-up!!!. Jangan senang-senang berikan kredit dapat selesaikan masalah ini.
  3. Banyak hutang lapok. Kadangkala kita teruja mendapatkan pelanggan besar. Kita berikan mereka kredit sebagai tanda tulus ikhlas dan mereka pula pandai ambil kesempatan. Beli 100 bayar 50 kemudiannya beli lagi 200 bayar 100, kemudian beli lagi 400 bayar 200 dan begitulah seterusnya. Anda terperangkap, nak henti dia dah pegang banyak duit, nak teruskan duit yang dia pegang bertambah tinggi….haaaa! nak buat apa? fikirkan sendirilah!
  4. Beli stok banyak tapi tak jual. Ini satu lagi perangai usahawan yang kononnya nak tunjuk pandai berniaga. Cerita pada semua orang bahawa dia beli barang dengan harga murah dan semua pesaing kagum dengannya. Tapi malangnya barang itu kekal dalam stor tak terjual!!!, nak buat apa? duit anda banyak tersangkut di situ sehingga nak bayar gajipun tak mampu.
  5. Tak cukup modal. Bila dah seronok nak cepat maju dan buat untung banyak, ramai usahawan terima tempahan jauh lebih besar daripada keupayaannya. Bila dah dapat tempahan, mula mengusung P.O. sana sini minta orang suntikkan modal yang tak cukup. Anda dah habiskan semua wang untuk buat separuh jalan kerja yang ditempah, bila tak ada modal tambahan, barang tak siap dan tempahan dibatalkan!!!. Siapa yang nak dipersalahkan? biasanya orang akan salahkan kerajaan, bank dan sesiapa saja asalkan bukan dirinya.
  6. Boss jenis hirup duit. Ini masalah paling banyak berlaku pada peniaga kita yang nak ikut gaya hidup orang lain. Bila kawan satu sekolah baru 3 tahun berniaga dah pakai BMW 5 series, dia jadi gelabah. Dia mula tukar gaya hidup dah ambil duit lebih daripada had yang sepatutnya untuk menghidupkan perniagaan. Walaupun sedar duit makin kering, tak mau malu punya pasal  menyebabkan boss jadi kreatif dengan korek lubang hutang yang lebih besar. Jangka hayat dapat dipanjangkan dan begitulah seterusnya mula pekena orang sana-sini dan akhirnya rekod buruk dan semua orang terpaksa mendoakannya agar panjang umur supaya mereka dapat duit mereka semula. Bijak!!! tapi tak payahlah buat macam tu!
Begitulah secara ringkas apa yang usahawan perlu tahu untuk pastikan perniagaan boleh bertahan. Fahami kewangan syarikat dan anda insyallah akan selamat.
Sekurang-kurangnya anda tahu di mana yang tak kena dan dapat memikirkan jalan keluar untuk berjaya.
Apa yang diterangkan nampak mudah. Tapi ada juga yang masih perlukan bantuan untuk dibimbing secara peribadi kerana tak ada masa nak cari kenalan atau beli dan baca buku untuk faham dan amalkan secara lebih mendalam.
Bagi anda yang tak ada kesempatan beli buku atau cari kawan yang sanggup ajar semua rahsia memahami kewangan syarikat, anda hanya perlu bayar pada saya dengan menyertai HR Biz Coaching yang saya anjurkan.
Insyallah saya akan bimbing anda secara peribadi. Mudah kan?
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Lagi tentang duit

    1. blackrosehunter

      no 6tu jugak paling banyak berlaku..terutamanya usahawan dan perniaga melayu..tun mahathir pernah cakap..melayu kalau baru untung sikit, terus beli kereta mahal.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge