Langkah kedua selepas pulih semangat

By | 04/06/2013

Bersemangat untuk lompat dari katil awal pagi untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang usahawan cukup penting untuk perniagaan berkembang maju.

Tak ada semangat langsung nak pergi pejabat bagi seorang usahawan adalah satu petanda tak baik bagi syarikat atau perniagaan anda.

Lebih-lebih lagi jika tak ada orang kepercayaan yang mengetuai perjalanan syarikat dan mampu mengendalikannya dengan baik.

Kalau taukeh tak bersemangat pekerja tak akan ambil perduli ke mana hala tuju perniagaan.

Usahawan tak boleh harapkan perniagaan berkembang maju tanpa suntikan semangat dan kepercayaan bahawa perniagaan akan berjaya.

Bagi mereka yang ada masalah hilang semangat boleh baca tulisan saya mengenainya sebelum ini di bawah:

  1. Apa saya buat bila bosan dengan perniagaan
  2. Halangan tingkatkan perniagaan – Hilang minat
  3. Anda perlu ada dua benda ini untuk pergi jauh
  4. Cari kawan yang boleh bantu anda berniaga
  5. Usahawan dan kawan
  6. Bagaimana meletupkan semangat niaga anda
  7. Amalan mujarab kentalkan jiwa!
  8. Usahawan perlu jadi ‘angau’ untuk berjaya!
Kenapa saya tulis banyak artikel berkenaan semangat, adalah kerana ia merupakan perkara nombor satu yang diperlukan untuk menjadi usahawan yang berjaya.
Kalau anda dapatkan khidmat nasihat daripada mana-mana mentorpun, mereka tentu akan bersetuju bahawa semangat adalah pra-syarat untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Apa pulak nak tengok selepas dah ada semangat?
Anda tentu berkata:

OK!, saya dah dapat semangat yang berkobar-kobar untuk menjayakan perniagaan. Tetapi masalahnya perniagaan saya tidak menjana cukup duit untuk membuatkan saya rasa berbaloi.

atau

Memang saya minat sangat dengan apa yang sedang dilakukan tetapi kalau setakat mengharapkan minat tanpa membuahkan hasil kewangan bagi menyara kehidupan yang saya idamkan, lambat laun saya akan kebuluran!.

Untuk menjawab semua persoalan tersebut, apa yang anda perlu lihat sekarang adalah memahami akaun dan kedudukan aliran kewangan anda untuk buat jumlah duit yang diperlukan agar anda lebih bersemangat.
Ramai usahawan yang terjun dalam perniagaan akan pupus setelah 5 tahun berniaga. Data menunjukkan bahawa punca nombor satu yang membuatkan ramai gulung tikar adalah masalah aliran kewangan.
Ada banyak punca kenapa aliran kewangan sesebuah perniagaan itu tidak baik. Kita akan fokuskan hanya kepada dua perkara:
  1. Margin keuntungan yang tidak cukup
  2. Pelanggan tak bayar kerja yang dilakukan pada masanya.

Kita cuba fokuskan hanya pada perkara nombor satu. Benda paling seronok sekali yang membuatkan usahawan tersenyum sehingga ke dalam mimpi adalah untung.

Bila berniaga tentu semua orang nak untung, dan untuk memahami samada perniagaan anda untung atau rugi, usahawan tak boleh elakkan diri daripada memahami akaun.
Kadangkala, usahawan dapatkan khidmat akauntan untuk menguruskan semua hal ehwal kewangannya hanya pada setiap hujung tahun.
Itupun jika syarikat adalah sebuah ‘syarikat sendirian berhad’ yang mana mengaudit akaun dan kedudukan kewangan syarikat adalah wajib. kalau ‘syarikat persendirian’ atau ‘entreprise’, lambat siang nak buat!.
Untuk mereka yang berpendirian bahawa melihat akaun bukan kerja usahawan, elok tukar persepsi tersebut dan mula mendekatinya untuk memudahkan anda jatuh cinta pada akaun.
Jika anda jatuh cinta pada akaun, anda berpeluang untuk membuat keuntungan yang diperlukan oleh syarikat bagi membuatkan anda tersenyum lebar ketika tidur.
Sebagai pengetahuan asas, saya perturunkan perkara utama yang perlu anda faham:
  1. Jumlah jualan – Ini merupakan jumlah keseluruhan jualan yang ada lakukan dalam tempoh sebulan atau setahun. Kalau inipun usahawan tak faham, elok berhenti berniaga sekarang juga!!!
  2. Kos jualan – Ini merupakan kos yang diperlukan untuk menghasilkan jualan berlaku. Kalau dalam perniagaan burger contohnya adalah kos seperti roti, daging, sos, planta dan sebagainya. Kos ini tak akan berlaku jika tiada jualan dilakukan. 
  3. Untung kasar – Ini merupakan hasil jualan (1) yang anda dapat setelah ditolak kos jualan (2). Ringkasnya adalah: (1 – 2)
  4. Kos pengurusan atau perbelanjaan – Ini merupakan kos menguruskan perniagaan tersebut yang mana samada ada jualan atau tidak ada jualan, jumlah ini mesti dibayar. Contohnya adalah seperti gaji pekerja tetap, sewa pejabat, kos selenggara, kos bil dan lain-lain seumpamanya.
  5. Untung bersih – Inilah jumlah yang kita paling berminat nak tahu. Lebih tinggi lebih bagus. Nilainya adalah untung kasar (3) ditolak dengan kos perbelanjaan (4). Ringkasnya: (3 – 4)
Jika anda lihat apa yang saya utarakan di atas, anda tentu faham bahawa untuk mendapatkan semua kiraan di atas, usahawan perlulah mengetahui dan mencatitkan segala mklumat perbelanjaan dan mengetahui mana satu kos tetap dan mana satu merupakan kos berubah.
Semua usahawan perlu tahu berapa dia habiskan untuk belanja petrol, belanja buruh kontrak, belanja sewa, belanja bil, belanja marketing dan semuanya secara terperinci tanpa berkecuali.
Usahawan juga perlu tahu bezakan antara kos beli beras dengan belanja masukkan minyak untuk pergi buat kerja. Ini kerana beli beras adalah untuk isi rumah dan minyak adalah untuk pergi buat kerja.
Tapi malangnya ramai usahawan gunakan wang yang sama dan di anggap sebagai kos perniagaan semua perkara yang sepatutnya adalah belanja peribadi usahawan. Lebih parah lagi bila gaji usahawan sendiripun tak ada.
Bila dah catit dan faham, usahawan boleh selidik samada keuntungan sama dengan pasaran semasa. Adakah keuntungan perniagaan anda sama dengan keuntungan yang dibuat oleh pesaing?
Kalau pesaing buat untung kasar 60% sedangkan perniagaan anda hanya buat 40%, maknanya ada sesuatu yang boleh diperbaiki. Begitulah juga dengan keuntungan bersih.
Walaupun anda tak tahu bagaimana pesaing anda buat dan berapa peratus mereka buat untung, nilai yang anda kira masih tetap amat berguna untuk diselidiki bagi mengetahui kedudukan kewangan anda.
Banyak yang boleh diselidiki jika usahawan faham akaun dan membelek laporannya setiap bulan dan juga setiap tahun.
Jika anda perlukan bantuan untuk menggandakan perniagaan anda dengan memahami akaun atau jika anda tak tahu mana nak mula untuk belajar buat akaun, dapatkan khidmat HR Biz Coaching segera…tentu berbaloi!.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Langkah kedua selepas pulih semangat

  1. Anonymous

    huhu..bos saya punyai syarikat sdn bhd. tapi belanja personal dgn syarikat dia buat sekali harung. contoh: petrol kereta sendiri pergi mana2 (mcm balik kg)/ulang-alik kerja pun masuk akaun syarikat. makan kat luar dgn family pun masuk akaun syarikat (masuk bahagian entertainment). jadi aliran tunai keluar syarikat sangat teruk. bila audit belanja jadi banyak daripada untung. kalau nak elak tax pun beli la aset nama syarikat.

    nak cakap lebih2 org tua. bisnes pun dah lama. jadi tambah kerja pulak staf nak kira berapa belanja bos sekeluarga sebulan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge