Luaskan ruang otak dengan lupakan surat khabar

By | 03/08/2012

Sudah lebih dua bulan saya lansung tak beli dan tak baca surat khabar. Semua jenis surat khabar saya tinggalkan. Bukan setakat surat khabar, malah saya juga tinggalkan liputan berita di semua TV.

Saya juga tinggalkan bacaan portal berita di internet dan skip semua maklumat yang berbaur politik serta apa saja berita yang tidak membantu mempositifkan pemikiran saya.

Pada mulanya saya rasa tertekan sebab perasaan ingin tahu terutamanya perkembangan politik tanah air meronta-ronta. Saya buat tak layan dan teruskan dengan usaha saya menutup segala maklumat itu dari memasuki ruang fikiran saya.

Lama kelamaan tabiat ingin tahu dan ingin meluangkan masa ambil tahu semua itu beransur-ansur pulih. Bila bertemu kekawan saya hanya mendengar ulasan mereka tentang politik. Bila tiba giliran saya untuk bercakap, saya hanya kata ‘tak tahu’ dan saya tak ingin ambil tahu jika ia tidak penting.

Kalau ada berita menarik saya hanya sekadar berkata ‘ya ka?’. Kalau betul-betul menarik saya balik dan cari maklumat, sekadar untuk ambil tahu dan bukan untuk mengulas dan masuk campur.

Bila dah biasa dengan amalan tersebut, ternyata ruang fikiran saya semakin lapang dan luas untuk melihat benda baru. Banyak benda yang saya tak sempat difikirkan, kini dapat difikirkan semula. Perjalanan masa menjadi lebih teratur dan lebih perlahan tanpa ada rasa tak puas hati dan meloya dengan berita yang kita tak suka.

Adakah dengan berhenti beli dan baca surat khabar dan media utama saya ketinggalan dengan berita-berita penting?. Tidak sama sekali kerana ia bukanlah penting kalau orang tak cakap. Sekurang-kurangnya pasti ada saja kawan yang bercakap. Dari situ saya dapat tahu perkembangan berita penting.

Kalau ia benar-benar penting dan berguna untuk saya tahu saya cuma perlu buat carian di internet dan baca maklumat lebih lanjut. Amannya rasa jiwa dengan kehidupan begitu. Bolehlah kita berikan tumpuan untuk memantapkan diri kita menjadi apa yang kita nak jadi dengan lebih baik dan hebat.

Rumusannya saya rasa akhbar dan media popular yang ada di sekeliling kita terlalu banyak menyusahkan jiwa. Hidup tidak tenteram dibuatnya dan dunia jadi hiruk pikuk berterabur tidak saebagaimana sebenarnya. Ia hanya menbesarkan perkara yang sepatutnya kecil.

Apa yang kita dapat bila kita tutup diri kita daripada semua media yang terlalu bising itu? antaranya adalah:

  • Masa kita lebih panjang. Banyak masa terbuang bila kita terkebil-kebil baca media atau tonton media. Banyak masa juga terbuang bila kita melayan dan berdebat dengan orang dalam FB atau lain-lain media sosial perkara yang bukan bidang kita.
  • Duit dapat dijimatkan dari membeli akhbar. Kalau ketagih juga nak ada akhbar, dapatkan akhbar percuma seperti The Sun. Ambil dan jangan baca. Simpan untuk dijual pada “sulat khabar lama”.
  • Fikiran aman. Media yang ada sekarang kerjanya hanya mempromosi sebelah pihak dan menjahanamkan sebelah pihak lagi. Tidak ada faedah bagi orang biasa macam kita untuk mendengar dan kemudiannya membuang masa mengorek untuk mendapatkan kepastian. Sukar untuk mendapatkan kepastian sekarang ini dan ia merupakan proses yang memakan masa. Relak saja dan berikan tumpuan pada banyak lagi perkara lain di depan mata.
Cuba ikut langkah ini dan anda rasakan sendiri betapa amannya dunia dan banyaknya masa yang kita ada. Cubalah!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Luaskan ruang otak dengan lupakan surat khabar

  1. arshad ismail

    Benar dan tepat sekali pandangan saudara. Saya sudah pun mengamalkannya….dan memang rasanya otak saya ringan dan tidak berat memikirkan berita-berita sampah seperti saudara maksudkan. Berita-berita atau cerita-cerita yang disiarkan kebanyakannya perkara-perkara remeh dan kekadang kita mengulas perkara yang bukan bidang kita.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge