Masalah: Jadikan tabiat membaca tafsir Quran setiap hari

By | 11/07/2012

Jika anda seorang yang beragama Islam, saya yakin sudah tentu ada tersimpan senaskah Al-Quran di dalam rumah. Jika dalam rumah tidak ada sekurang-kurangnya Tafsir Pimpinan Rahman, hanya ada naskah Quran original dalam Bahasa Arab, saya andaikan anda seorang muslim yang fasih berbahasa Arab.

Andaikata anda hanya tahu beberapa patah perkataan arab seperti ‘assalamualaikom’ dan seumpamanya, saya nasihatkan sekarang juga anda keluar rumah dan pergi ke toko-toko buku agama dan beli senaskah Tafsir Al-Quran.

Malulah sedikit pada diri kita sendiri apabila sering mengaku beragama Islam dan acap kali berbicara tentang Islam pada hal kitab panduan utama untuk menjalani kehidupan sebagai seorang manusia yang melata di muka bumi ini, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran untuk kita membeli dan membacanya.

Dan jika seseorang itu tidak pernah terlintas untuk mengambil tahu apa yang disampaikan di dalam Al-Quran itu semenjak akil baligh, maka tidak perlu terkejut jika berbagai masalah melanda dan menghentam jiwa kita dari berbagai sudut. Jadi salah satu cara mudah dan paling asas sebagai seorang muslim, jika kita mahu mencari jawapan kepada masalah hidup adalah dengan mendapatkan Tafsiran Al-Quran.

Bagi mereka yang sudahpun mempunyai Tafsir Quran, Alhamdulillah!, anda seorang muslim yang baik, namun adakah kita membiarkan hanya almari yang mentelaahnya atau kita sendiri yang sering mendapatkannya sebagai rujukan.


Jika kita yang membacanya, syabas!, tak ramai yang berbuat begitu. Teruskan usaha murni tersebut dan baca dari mula sampai katam keseluruhan 30 juzuk Al-Quran itu. Jadikan ia salah satu daripada azam sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.


Sepanjang pengalaman saya berkawan, saya sering bertemu dengan mereka yang terbuka fikiran dan sering membuat perubahan dalam kehidupan mereka kepada yang lebih baik dari masa ke semasa, mereka juga boleh dikatakan berjaya dalam hidup walaupun di zaman persekolahannya tak ada seorang gurupun yang percaya dia akan jadi seorang manusia bila besar kelak.


Majoriti daripada mereka itu apabila diselidik rupanya mula berubah dan terbuka hijab kepada kehidupan apabila tergerak hati untuk membaca Tafsir Quran. Saya berani katakan jika anda terjumpa seseorang yang telah habis membaca keseluruhan Tafsir Al-Azhar tulisan Hamka (atau yang lain), dia sudah tentu seorang yang hebat dan berjaya dalam apa saja bidang yang diceburinya.


Jika anda mahu buktikan saya salah, saya cabar agar anda segera dapatkan keseluruhan Kitab Tafsir Quran Al-Azhar tersebut dan mulakan membacanya sekurang-kurangnya 20 minit setiap malam sebelum tidur dan jangan henti dari melakukannya sehingga tamat keseluruhan 30 juzuk. Selepas itu anda lihat apa yang berlaku pada kehidupan dan juga diri anda. Cubalah!


Kenapa saya cadangkan Tafsir Al-Azhar adalah kerana dia satu-satunya yang mentafsir dan menghurai Al-Quran dalam bahasa kita dengan bahasa mudah dan amat terkini dan amat kena dengan budaya kita di Nusantara. Segala contoh dan perumpamaan yang diberikannya amat menyentuh dan mudah difahami dan yang paling utama dia berjaya menghabiskan keseluruhan 30 juzuk Al-Quran tersebut.


Amalan membaca Tafsir Quran sudah lama saya amalkan. Pada mulanya atas dasar rasa bersalah menjadi seorang muslim yang semenjak akil baligh hanya membaca Quran dalam bahasa Arab sedangkan saya tidak tahu apa yang saya baca, bila rasa bersalah semakin memuncak, maka saya mula membuka sehelai demi sehelai apa yang ditafsirkan oleh Hamka dalam Tarsir Azharnya.


Lama kelamaan ia menjadi satu ketagihan untuk dilakukan setiap kali sebelum tidur. Kenapa ia menjadi ketagihan adalah kerana setiap kali saya membaca ayat berserta tafsirnya, ada saja peristiwa keesokan harinya atau sebelum itu yang kena mengena dengan ayat yang saya sedang baca. Sambil membaca dan cuba memahami, fikiran kita rupanya mengimbau apa yang telah berlaku pada diri kita dan di dalam ayat apa saja yang kita baca, seolah-olah ia memberi jawapan serta makna segala yang terjadi.


Banyak masalah kita terjawab dengan sendirinya setiap kali kita mentelaah Tafsir Al-Quran. Ada saja idea yang timbul untuk menguraikan kekusutan yang sedang kita hadapi dan yang lebih hebat lagi adalah diri kita seumpama di ‘charge’ semula dengan tenaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Sebab itu saya syorkan salah satu daripada cara mudah untuk menghadapi masalah adalah dengan menjadikan bacaan Tafsir Quran sebagai amalan harian walaupun sekadar 20 minit setiap hari.



Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge