Masalah: Tanya soalan yang betul

By | 09/07/2012

Kita dilanda masalah dan sekiranya kita dah fikirkan masak-masak tentang semua hal dan tidak dapat dielakkan lagi bahawa kita perlu segera menghadapi masalah yang melanda, pastikan samada soalan yang ditanya adalah tepat.

Masalah yang mendesak bermakna satu jalan penyelesaian perlu direka agar kita dapat hidup aman tenteram dan memberikan tumpuan pada perkara lain. Jika kita bertanyakan soalan yang salah, sudah pasti jalan penyelesaian yang kita ambil juga salah. Kadangkala soalan yang salah membuatkan kita buntu untuk mencari jalan penyelesaian.

Satu contoh yang cukup menarik dalam hal bertanyakan soalan yang salah adalah dalam cerita perlumbaan antara Amerika dengan Russia satu masa dahulu untuk meneroka angkasa lepas. Para saintis Amerika membuat persediaan yang cukup rapi bagi merealisasikan misi meneroka angkasa lepas mereka. Dalam persediaan terakhir, mereka berhadapan dengan satu masalah yang cukup besar apabila pen yang digunakan untuk mencatit di angkasa lepas tidak dapat berfungsi akibat tiadanya daya tarikan graviti.

Maka kelam kabutlah mereka menghimpun segala kepakaran dan memohon peruntukan puluhan juta bagi mencari jalan keluar dari masalah tersebut. Di pendekkan cerita akhirnya mereka berjaya mereka cipta sejenis pen yang bukan saja boleh menulis di angkasa malah boleh digunakan di mana-mana saja termasuklah di dalam air.

Dalam merayakan kejayaan tersebut salah seorang saintis terfikirkan bagaimana rakan saingan mereka dari Russia menyelesaikan cabaran hebat itu. Oleh kerana terlalu ingin tahu dia akhirnya berjaya menghubungi salah seorang saintis Russia yang terlibat dalam projek meneroka angkasa lepas di sana. Dia bertanya dengan bangga bagaimana Russia selesaikannya, bagaimanakah jenis pen yang telah mereka cipta.

Saintis Russia terkejut mendengar soalan itu kerana bagi mereka itu bukanlah satu masalah.

Saintis Amerika: “habis bagaimana kamu menulis di angkasa lepas?”
Saintis Russia: “kami gunakan pensil!

Contoh cerita di atas menggambarkan bagaimana kita membuat kerja yang tidak perlu kerana bertanyakan soalan yang salah. Sepatutnya soalan yang perlu ditanya sebagai mana pihak Russia melakukannya adalah, ‘bagaimana kita boleh menulis di angkasa” dan bukannya, “bagaimana kita boleh menggunakan pen di angkasa”.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge