Masuk liga yang padan dengan keupayaan

By | 11/06/2013
Masuk liga kampung dulu…

Saya berjumpa dengan ramai orang tak kira samada usahawan ataupun makan gaji yang bercita-cita cukup tinggi.

Mereka yang punyai cita-cita tinggi bukan daripada kalangan cerdik pandai yang berkelulusan tinggi saja, malah dari berbagi lapisan kelulusan.

Ada juga yang tak pernah lulus apa-apa pensijilan tapi semangat untuk berjaya, Masyallah!!! amat mengkagumkan.

Cita-cita tinggi yang saya maksudkan di sini lebih cenderung kepada menjadi usahawan berjaya dengan projek atau perniagaan ratusan juta!.

Sudah tentu untuk membolehkan anda bercakap tentang sesuatu yang bernilai ratusan juta, anda perlu menyentuh pada aktiviti perniagaan tahap tinggi yang sama taraf dengan korporat atau antarabangsa.

Tak ada lagi orang bercakap tentang ratusan juta hanya dengan berbekalkan modal perniagaan menjual kacang putih yang dibungkus dan dijual dengan harga RM0.50 sebungkus!.

Anda tentu dah dapat tangkap ke mana saya nak bawa dalam bicara kali ini. Dan anda tentu pernah kenal, pernah dengar kawan-kawan atau diri anda sendiri yang bercakap tentang projek ratusan juta yang bakal membuatkan nama tersenarai dalam 40 manusia paling kaya di Malaysia.

Ukur baju pada badan sendiri
Golongan yang bercita-cita tinggi ini ramai yang berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan impian menjadi jutawan.

Banyak masa digunakan, banyak tenaga dihabiskan dan banyak juga wang yang dikeluarkan dalam mengejar dan merangka segala strategi hebat untuk membolehkan projek ratusan juta mereka berjaya.

Dari satu segi saya amat kagum dengan golongan ini. Namun dari pandangan peribadi yang menjurus kepada falsafah hidup ringkas, saya ingin mengajak pembaca berfikirkan apa yang saya tulis di bawah.

Pertandingan lari 100 meter bersama Usain Bolt
Apa yang anda fikirkan pada seorang kawan yang secara tiba-tiba bercerita dia sedang dalam latihan untuk masuk pertandingan lawan lari 100 meter di olimpik menentang Usain Bolt?

Sudah tentu apa yang anda fikirkan banyak bergantung pada kawan yang sedang bercakap itu.

Jika dia seorang pelari handalan di zaman sekolah anda tetapi hanya setakat peringkat sekolah saja, anda akan anggap cakapnya itu hanyalah satu gurauan.

Apatah lagi jika dia tak pernah masuk mana-mana perlumbaan lawan lari malah bersukanpun tak pernah. Selama ini dia hanya menjadi peminat tegar segala laporan sukan dalam dan luar negara.

Tetapi apabila kawan yang sama itu bersungguh-sungguh meyakinkan anda, kemudiannya anda mula terserempak dia berlatih dan kelihatan membeli segala peralatan pakaian untuk digunakan dalam perlumbaan…..

…anda mungkin akan meletakkan tapak tangan pada dahinya dan mula jatuh kesian pada kawan itu.

Ringkasnya, apa yang kawan anda usahakan macam tak kena. Ada sesuatu yang tak dapat dihubungkan dengan cita-cita dan usahanya dengan keadaan semasa dirinya.

Berusaha merealisaikan projek ratusan juta
Sekarang bayangkan pula ada seorang kawan yang bercerita bahawa dia sedang mengusahakan satu transaksi jualan menjual helikopter tercanggih yang masih belum ada di negara kita pada kerajaan.

Kawan anda itu tak pernah berniaga, tak ada syarikat lagi yang menyara gaya hidup yang diingininya malah tak pernah berurusan atau bekerja dengan mana-mana syarikat membuat helikopter!

Apakah agaknya pandangan anda terhadap kawan tersebut?

Saya cuma ingin sampaikan bahawa, masuklah pertandingan dikumpulan atau liga yang setanding dengan diri kita terlebih dulu.

Naik setingkat demi setingkat dan tak perlu terus pergi cabar Usain Bolt untuk lawan lari…

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Masuk liga yang padan dengan keupayaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge