Mencari perniagaan yang kita minat

By | 03/01/2013

Ketika berkongsi pengalaman menjadi usahawan dalam satu sesi kursus keusahawan tahun lepas, ada seorang peserta yang minta komen tentang nasihat popular agar ‘usahawan mencari perniagaan yang diminati untuk berjaya.

Bagi peserta tersebut, sepanjang pengalaman berniaga yang saya kongsikan bersama mereka tidak memperlihatkan unsur-unsur perkara yang saya suka di dalamnya. Memang betul telahan peserta tersebut.

Saya tidak meletakkan kriteria buat apa yang saya suka dalam memilih perniagaan. Bagi saya menyara kehidupan adalah lebih utama dan mencari jalan yang lebih terjamin untuk berjaya perlu sentiasa difikirkan.

Namun tidak dinafikan bahawa adalah menjadi impian semua usahawan untuk melakukan apa yang mereka minati dan dalam masa yang sama menjana pendapatan daripada aktiviti tersebut.

Oleh itu bagi mereka yang cukup berminat untuk menjadi usahawan tetapi masih terkial-kial mencari satu perniagaan yang mereka suka, cadangan saya adalah:

  • Buat dulu apa saja perniagaan yang mudah bagi diri anda tanpa mengira samada anda suka atau tidak suka. Jadikan ianya satu landasan untuk anda menguasai kesemua ilmu perniagaan yang diperlukan untuk berjaya.
  • Carilah satu perniagaan yang mudah dan biasa serta berjaya dilakukan oleh ramai orang. jangan cari sesuatu yang orang tak buat lagi.
  • Belajar serta tiru daripada mereka yang telah berjaya mengatasi orang lain dalam bidang atau perniagaan yang sama.
  • Buat semua yang mereka buat dan buat lebih baik sedikit saja mana-mana urusan yang anda rasa mahir. Ini akan membuatkan anda melonjak jauh lebih baik dari pesaing anda.
  • Pantau perniagaan anda secara terperinci dan mula rekrut satu pekerjaan demi satu pekerjaan sehinggalah ke tahap merekrut orang yang bakal menggantikan anda memantau keseluruhan operasi perniagaan tersebut.
    • Biasanya proses ini dapat dilaksanakan paling cepat dalam tempoh 5 tahun dan paling lambat dalam tempoh 7 atau 8 tahun.
    • Sampai di tahap terakhir, anda akan bebas dari keperluan untuk hadir bekerja tanpa menjejaskan keseluruhan perjalanan syarikat anda.
    • Ketika itu anda hanya perlu menjadi jurulatih pada orang-orang kepercayaan yang telah anda amanahkan untuk menjalankan perniagaan tersebut.
    • Melihat dari luar membuatkan anda lebih kreatif mengenal pasti idea-idea baru untuk disuntikkan ke dalam syarikat anda. Kombinasi anda dan keseluruhan kumpulan tenaga penting dalam syarikat anda melahirkan satu gabungan yang mantap untuk memastikan survival syarikat.
  • Apabila anda bebas dari segi kerja dan juga kewangan, mulakan usaha untuk mencari sesuatu yang menjadi minat atau kesukaan anda.
  • Buat kajian dengan mendalam dan merancanglah dengan terperinci agar anda boleh tukarkan minat tersebut menjana sumber pendapatan yang baru. Mulakan dengan bergaya dan jangan tergesa-gesa kerana tidak ada apa yang nak dikejarkan untuk melakukan apa yang anda gemari.
Saya pernah terbaca kata-kata Warren Buffet tentang buat apa yang kita suka. Begini katanya:

“lambat atau cepat, anda satu hari akan beralih untuk membuat apa yang anda suka. Jadi kenapa tidak dimulakan sekarang sahaja…?”

Memang saya setuju dengan pendapat tersebut dan ianya amat logik sekali. Asalkan anda benar-benar telah tahu apakah yang menjadi minat diri anda, bolehlah diikuti nasihat beliau. Masalahnya ramai yang tidak berapa tahu apa perkara yang diminati sehinggalah ia benar-benar mencarinya.

Dan masa terlalu suntuk untuk terus menunggu dan mencari. Jadi apa salahnya sementara mencari kita buat apa yang perlu dibuat terlebih dahulu. Kemudian barulah buat apa yang kita suka buat?…anda sendirilah fikirkan yang terbaik untuk diri masing-masing.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Mencari perniagaan yang kita minat

  1. Anonymous

    salam,

    sy seorg yg hanya makan gaji ,xpernah cukup ,nak juga buat bisnes ,tapi x taw macamane ,kerete dah 1bulan x bayar ,umah sewa 1bulan x bayar ,moto lagi .anak bini lagi ..
    ape dan macamane untuk bisness..lau nak mula kan langkah pertama macam en bg taw tu (letak jawatan) sangat besar risiko tu ..sebb sy seorng pemimpin rumah tangga.kalu sy bujang mungkin sy berani…
    boleh kah en tolong sy ?

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Cara paling selamat adalah dengan check kenapa tak pernah cukup walaupun kerja bergaji? cuba cari jawapan itu dulu. Adakah benda yg kita buat selama ini yang sepatutnya tak diperlukan?

      Bila dah jumpa, ubah dan bina gaya hidup baru. Itu akan membentul disiplin serta tabiat baru pada tuan.

      Kemudian mula mencari peluang untuk membina perniagaan yg sesuai…

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge