Minta maaf, tiada jalan mudah…!

By | 25/04/2013

Nasihat ini mungkin sesuatu yang orang tak mau dengar. Melainkan anda seorang yang terbuka dan sanggup menghadapi kenyataan, maka anda sebenarnya sudah bersedia untuk mengharungi cabaran menuju kejayaan.

Anda tentu pernah dengar kata orang,

“Untuk senang, anda perlu bersusah-susah”

Tak ada jalan singkat untuk berjaya. Tak ada jalan mudah untuk masuk ke syurga. Semuanya perlu diuji terlebih dahulu sebelum dianugerahkan kemenangan.

Apabila ada yang memilih jalan singkat, maka tidak hairanlah ramai yang terkena dengan saham Pak Man Telo, ramai yang terkena dengan peraduan guris dan menang.

Memilih jalan singkat juga membawa kita kepada rasuah, tipu, mencuri, tidak amanah, memeras, merampas, salah guna kuasa, dan lain-lain seumpama dengannya.

Tidak memilih jalan singkat dan dalam masa yang sama tidak sanggup bersusah-susah pula akan membawa kita kepada hidup tidak bermakna. Melukut di tepian gantang. Hidup seperti lalang. Ada dengan tak ada sama saja dan hidup sekadar menunggu untuk mati.

Kenapa saya mahu ingatkan perkara penting ini?

Kerana saya khuatir ada yang harapkan keajaiban daripada orang lain untuk membantunya berjaya dengan cara mudah.

Sekarang, ramai yang menwarkan jalan mudah untuk senang dengan ayat-ayat power seperti:

“Tak perlu buat apa-apa, duit sentiasa masuk”

“Duduk saja duit banyak”

“Cara mudah untuk kaya”

“Teknik pantas menjadi usahawan hebat”

“Berjaya tanpa usaha….dll”

Mungkin niat mereka yang anjurkan perkara di atas adalah baik dan mereka mengajar cara atau usaha berkesan untuk berjaya. Tapi biasanya iklan sebegitu memberikan mesej yang salah pada mereka yang kempunan mahu berjaya cepat.

Buat kerja dan kumpulkan data
Salah satu perkara susah yang tak ramai sanggup melakukannya adalah mencatit, mengira, memantau, menganalisa dan membuat perubahan dan pembaikan pada segala kerja yang dilakukannya.

Ramai yang sanggup bersusah payah buat kerja. Malahan apa saja kerja berat seperti terjun paya, angkat bata, panjat gunung, bawa lori, pasang khemah, angkat barang dan lain-lain kerja berat, ramai yang sanggup melaksanakannya.

Kita saban waktu, setiap saat melihat ramai golongan yang melakukan segala kerja berat seperti yang saya senarai contohkan di atas. Mereka ada di sekeliling kita dan kebanyakan daripada kerja yang dilakukan membuatkan kita rasa ngeri tidak sanggup melakukannya.

Tapi hakikatnya golongan seperti itu ramai dan mereka tetap melakukan kerja yang sama sehinggalah kekuatan dan tenaga hilang daripada mereka. Ada yang maju naik ke atas tetapi malangnya ramai yang berada di takuk sama sehingga kudrat mereka diambil semula.

Begitu juga dalam hal berniaga, ramai yang menawarkan khidmat atau produk yang hebat hasil daripada usaha gigih mereka. Ramai yang membentangkan 5 ke 6 meja di pasar malam memasarkan produk mereka, tetapi mereka nampaknya kekal begitu saja setelah bertahun-tahun, atau gulung tikar dan tak muncul-muncul lagi.

“Semua itu berlaku di sebabkan tidak ramai yang sanggup membaca apa yang berlaku pada diri mereka dan apa saja aktivti yang mereka lakukan.”

Untuk membaca anda perlu data. Untuk mendapatkan data anda perlu mencatat segala maklumat (melainkan anda jenis kuat hafalan seperti Imam Syafie). Ini merupakan satu kerja remeh yang memakan masa.

Setelah mengumpulkan segala maklumat tersebut, anda perlu melakukan analisa pula. Ini adalah aktiviti yang memakan tenaga terutamanya pada bahagian otak.

Kehilangan tenaga jenis inilah ramai yang tidak sanggup, walaupun badannya sasa seperti Incredible Hulk.

Tulisan ini saya buat secara umum saja untuk menekankan betapa pentingnya kita melakukan ujikaji, mencatit data dan mencatit segala keputusan dan seterusnya melakukan perubahan dan pembaikan.

Masyarakat barat maju dalam segenap bidang hasil daripada usaha remeh tersebut. Perniagaan mereka menguasai dunia juga adalah hasil daripada kerja remah itu dan ramai usahawan tulin yang naik ke atas hasil daripada usaha sebegitu.

Masyarakat Jepun juga maju dan mengatasi Barat hasil daripada usaha keras diikuti dengan aktivit membaca segala apa yang mereka lakukan.

Umat Islam juga disuruh membaca. Membaca dengan nama Tuhan yang menjadikannya. Makna membaca amat mendalam. Kita disuruh melihat, membandingkan, memikirkan dan mencari kebenaran. Tanpa aktiviti membaca apa yang berlaku sekeliling kita, tak akan ada perubahan dan tak akan ditemui kebenaran.

Sedikit contoh
Contoh mudah untuk buat kerja dan kemudiannya membaca apa yang berlaku pada usaha kita adalah dengan menyenaraikan segala produk yang kita jual seperti:

  1. Produk A
  2. Produk B
  3. Produk C
  4. Produk D
  5. Produk E…dan selainnya
Setiap hari kita menjual kesemua produk yang ada, adakah kita mencatatkan jumlah jualan setiap produk tersebut secara terperinci?

Produk mana yang paling laris dan mana yang paling tak laris? bila, hari apa?

Produk mana paling menguntungkan setelah ditolak segala kos?

Kenapa mahu teruskan jual produk B (sebagai contoh) pada hari jumaat jika didapati setiap hari jumaat jualan produk itu paling teruk?

Kenapa mahu terus jual produk A, jika masa diambil untuk membuat satu Produk A sama dengan 10 Produk B sedangkan produk B untungnya lebih tebal?

Segala persoalan di atas boleh dan hanya boleh dijawab seandainya anda mencatit dan membaca kesemua datanya yang ada.

Susah?

Ya!, nak buat macam mana…anda perlu fikirkan bagaimana kesemua data tersebut dapat dicatit, dikumpul dan dianalisakan sepantas dan sebaik mungkin!

Itu hanya sebahagian kecil daripada contoh dalam perniagaan. Banyak lagi yang boleh dicatit dan dijadikan alat untuk memajukan perniagaan atau aktiviti kita jika anda tahu caranya.

Bagi mereka yang mahu belajar, tak kisah dan sanggup mengharungi cabaran melakukan semua itu, ganjarannya besar! cukup besar kerana itulah yang akan membezakan anda dengan mereka yang sama seindustri dengan anda.

Teknik atau ilmu yang saya sebutkan di atas adalah salah satu benda yang saya tekankan dalam program HR Biz Coaching yang saya tawarkan. Jangan malu atau segan untuk sertai program bimbingan tersebut bersama saya demi kejayaan perniagaan anda.

Kejayaan tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit, tetapi, wang ringgit biasanya akan mengelilingi mereka yang berjaya.

Oleh itu jangan kedekut melabur untuk belajar perkara baru yang anda tak tahu jika ianya mampu memberikan peningkatan pada usaha anda.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Minta maaf, tiada jalan mudah…!

  1. Anonymous

    Terima kasih tuan ! Sangat bermakna ! Terima kasih sekali lagi ! -Tokey kek.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge