Pedoman lengkap untuk kaya buat mereka yang malu

By | 02/11/2012

Banyak kali kita dengar orang berkata bahawa dia bukan cari kekayaan. Kalau dia berniagapun bukannya untuk jadi kaya. Dia cukup dengan apa yang dia miliki sekarang dan berbagai lagi ayat lain yang satu nada dengannya.

Hakikatnya orang yang berkata begitu memang tak pernah kaya dan mereka hidup sederhana. nak kata susahpun tidak nak kata senangpun tidak. Kadangkala mereka susah tapi bukan sampai peringkat miskin. Kadangkala mereka senang, tapi bukan sampai peringkat kaya raya.

Sebab apa mereka kata begitu?

  • Sebab mereka tak mahu desak diri sendiri dan malas untuk kerja keras menjadi kaya raya. Maka mereka kekal sebagaimana keadaan biasa.
  • Mereka tidak boleh menjadi kaya sebab tak nampak jalan lalu memujuk diri mereka bahawa kekayaan bukan apa yang mereka cari. Kekalkan saja apa yang mereka ada.
Hakikatnya kebanyakan dari kita memang mahu dan teringin jadi kaya. Terlalu sedikit sangat yang benar-benar tidak mahu jadi kaya. Lagipun tidak ada sesiapapun yang boleh buktikan dia memang tidak suka kaya selagi dia masih belum menjadi kaya.
Seandainya seseorang itu dikurniakan harta berjuta-juta melalui pewarisan atau dihadiahkan oleh seseorang, lalu dengan yakinnya setelah diterima kesemua itu dia menghadiahkan pula pada orang lain atau pada sesiapa saja yang lebih memerlukannya, maka baru terbukti dia memang tak hingin kekayaan!
Maka saya andaikan ramai di antara kita yang sebenarnya teringin nak jadi kaya cuma terhalang di sebabkan berbagai sebab. Antaranya adalah:
  • Malu pada diri sendiri dan juga pada orang lain kalau mengaku nak jadi kaya. Ini di sebabkan kesemua kawan-kawan memang jenis tak berada maka kita seolah-olah menyatakan taat setia untuk kekal dalam kumpulan yang sama bila berkata “aku tak mahu jadi kaya”.
  • Sebab di atas juga membuatkan kebanyakan daripada kita tidak sanggup kehilangan sahabat-sahabat sealiran samada secara sedar atau tidak sedar. Maka untuk itu mereka bunuh saja impian untuk jadi kaya tersebut dan tidak sanggup menukar gaya hidup.
  • Tak tahu jalan yang betul untuk bertukar menjadi kaya. Kebanyakan orang sangkakan untuk menjadi kaya kita kena kerja teruk melebihi orang lain dan terpaksa menyiksa diri buat kerja yang kita tak suka.
  • Kemungkinan juga terpaksa mengambil hak orang lain atau menipu dan berlaku jahat untuk jadi kaya. Itu semua menjauhkan lagi usaha untuk mencari jalan bagaimana mahu jadi kaya. Tak baik belajar menjadi jahat, begitulah sangkaan mereka.
  • Tak tahu sebab apa perlu jadi kaya. Alasan yang ada tidak berapa kukuh untuk membuatkan mereka berazam nekad mahu berusaha jadi kaya.
  • Jika ada sebabpun, mungkin alasan yang sering bermain di kepala hanyalah sekadar untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan mempamerkan kereta mewah, rumah banglow isteri muda dan sebagainya. Oleh itu keinginan jadi kaya menjadi sesuatu yang perlu dielakkan.
Bagaimana kita boleh mula menyediakan diri untuk jadi kaya?
Jika anda mahu mengaku berterus terang bahawa memang ada disudut hati keinginan mahu jadi kaya, maka saya petuakan beberapa langkah di bawah untuk membuatkan anda bertukar keadaan menjadi kaya.
  • Mengaku sajalah! memang anda teringin nak kaya. Jangan rasa segan atau malu untuk menyatakan pada orang lain sebab tidak ada sedikitpun kesalahan berazam mahu jadi kaya. Belum ada lagi orang yang menjadi hina apabila mengaku mahu kaya dengan cara yang halal. Sebaliknya mereka memang benar-benar menjadi kaya akhirnya dan dihormati orang lain.
  • Ubah takrifan kaya menjadi lebih mudah. Saya dah tulis makna kaya dalam hidup ringkas yang praktikal dan terlalu senang untuk mencapainya. Anda boleh baca di sini. Ini perlu agar minda anda mula melonggarkan makna kaya dan seterusnya membuatkan segalanya menjadi mudah.
  • Ikuti nasihat pakar bagaimana teknik mahu jadi kaya. Anda boleh temui dengan membaca buku-buku yang terlalu banyak dipasaran. Tak perlu baca kesemua buku atau banyak buku sebab semuanya hampir sama sahaja. Saya syorkan anda baca buku “The richest man in Babylon” dan tak perlu baca buku lain lagi.
  • Mulakan dengan berfikir bagaimana anda boleh selesaikan hutang yang ada. Jadikan diri anda bebas hutang. Langsaikan semua hutang kecuali yang tidak dapat dielakkan seperti hutang rumah dan seumpamanya.
  • Dalam masa yang sama anda jelaskan hutang, jangan lupa simpan sebahagian dari pendapatan. Ini untuk mendisiplinkan sikap menyimpan agar menjadi tabiat atau ketagihan yang tidak dapat ditinggalkan selam-lamanya.
  • Tanam azam bahawa anda tidak akan berhutang lagi yang boleh menyusahkan diri anda dan membuatkan anda tidak boleh jadi kaya. Terutamanya hutang kad kredit, hutang bank rakyat atau hutang pada kawan-kawan atau saudara mara.
  • Sentiasa fikirkan apa yang anda nak buat dengan duit yang banyak. Apakah anda perlukan RM2 juta?, RM5 juta? atau lebih dari itu. Rancang dengan terperinci bagaimana anda akan urus dan belanjakannya. Tak payah rancang dengan teliti bagaimana anda akan dapatkan duit tersebut, itu semua akan datang sendiri.
  • Jadi usahawan. Jika makan gaji anda masih boleh jadi kaya, tapi ada hadnya. Jika anda mahu meletakkan sasaran yang cukup tinggi seperti menjadi multi millionair atau billionaire, anda tidak ada pilihan lain selain dari terjun berniaga.
  • Mengorat dan kahwin dengan anak orang kaya. Jika anda belum berumah tangga, jangan lepaskan peluang untuk kaya cepat dengan mencari pasangan anak orang kaya. Korbankan rasa cinta pada orang yang anda suka sedangkan dia hanya menyusahkan diri anda. Lebih-lebih lagi jika pasangan itu jenis yang suka membazir dan tidak ada keupayaan menjana pendapatan.
  • Jangan melibatkan diri dengan pelaburan cepat kaya seperti saham pakman telo dan seumpamanya. Sebarang pelaburan yang modal sikit dan pulangan gila-gila besar adalah palsu dan tidak pernah ada melainkan ada sesuatu yang tak kena. Tambahan lagi ada pulak orang yang tawarkan pada anda untuk pelaburan sebegitu. Jika benar ada, sudah tentu dia tak akan kongsikan dengan orang lain!.
  • Jangan tergesa-gesa untuk jadi kaya. Berikan masa yang mencukupi untuk jadi kaya agar anda dapat menghayati disiplin serta ilmu yang perlu bagi menguruskan buit yang banyak. Lima atau tujuh tahun sebenarnya adalah satu tempoh yang singkat. Itu tempoh masa yang anda perlu mabil untuk membuat perubahan ketara.
  • Latih pertingkatkan sikap bertanggung jawab. Anda tidak akan berjaya mencapai apa-apa selagi tidak ada sikap atau disiplin yang tinggi untuk memberikan komitmen penuh terhadap apa saja yang anda lakukan. Latih tabiat bertanggung jawab dengan menerima apa-apa jawatan samada sukarela atau berbayar. pastikan ia sesuatu yang anda suka dan mulakan dengan tugasan yang paling mudah dan pertingkatkan dari masa ke masa. Sebagai contoh ambil tugasan jadi ajk masjid atau surau.
  • Cari sekurang-kurangnya 5 rakan yang punyai impian yang sama menjadi kaya. Jadikan mereka teman akrab. Buat perjumpaan tidak formal seminggu sekali untuk berkumpul dan bertukar-tukar fikiran.
  • Cari mentor. Kenal pasti rakan atau kenalan atau sesiapa saja yang boleh dilantik sebagai mentor. Pastikan dia seorang yang berjaya dan tidak lokek memberikan nasihat. Jangan hanya menerima, sebaliknya cuba memberikan khidmat yang bernilai pada mentor anda agar perhubungan lebih positif dan “win/win situation”.
  • Cari ‘mentee’. Cari sesiapa saja yang lebih rendah pencapaiannya dari anda untuk dilatih dan dibantu meningkatkan kedudukannya. Mentee penting agar anda dapat berkongsi pengalaman dan pencapaian dengan orang lain. Jika dia berjaya dan kelihatan meningkat menjadi sama macam anda, maknanya anda leka dan sudah mula berehat meningkatkan keupayaan. Jadikan ini sebagai indikator untuk anda pulun meninggalkannya lebih jauh.
Jika kesemua yang saya petuakan di atas anda lakukan secara konsisten. Anda hanya memerlukan masa selama 7 tahun untuk mencapai apa saja yang anda sasarkan. Sebelum saya sudahi tulisan ini, saya berikan tips untuk meletakkan sasaran agar anda tidak menyesal nanti:
  • Fikirkan apa sasaran anda yang bersesuaian dengan lengkap seperti berapa pendapatan, berapa simpanan, rumah besar mana, tanah luas mana dan lain-lain lagi.
  • Setelah lengkap semua impian tersebut. Gandakan impian anda itu sekurang-kurangnya 2 kali lebih besar. Jika anda tidak lakukan ini anda pasti akan menyesal kemudian hari.
Ingat! gandakan impian yang anda mahu capai menjadi sekurang-kurangnya 2 kali ganda lebih besar. Ini cukup penting dan saya akan ceritakan kenapa pada tulisan yang akan datang.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge