Perlukah aku tukar kerja?

By | 29/01/2013

Nasihat pakar motivasi dalam bab pekerjaan biasanya menyarankan kita agar memilih pekerjaan yang kita suka. Apabila kita suka terhadap sesuatu pekerjaan tersebut:

  • Kita tidak meletakkan kewangan sebagai perkara pokok untuk melaksanakan kerja dengan baik. Cukup sekadar gaji yang didapati memenuhi keperluan hidup disamping ianya setanding dengan harga di pasaran.
  • Kita tidak merasa tertekan menjalani kehidupan kerana melakukan kerja yang disukai merupakan sebahagian daripada kehidupan yang memberikan kepuasan dalam kehidupan.
  • Kita sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki tahap kemahiran dan hasil kerja kita tanpa dipaksa. Ini berlaku secara santai tanpa disedari kerana kita sering asyik dengan kerja tersebut.
  • Kita akan sering bercakap tentang pekerjaan kita di dalam keadaan apapun dan sentiasa sanggup berkongsi pengalaman dengan pekerja lain.

Walaupun begitu, kesukaan kita melakukan kerja dalam suasana tekanan perniagaan tidak membolehkan kita bekerja tanpa tekanan. Boss tidak akan membiarkan kita buat sesuka hati tanpa ada peraturan mengikut masa yang kita sendiri tentukan.

Dalam perniagaan, apa saja kerja yang kita lakukan bukanlah untuk diri kita sendiri. Sebaliknya untuk memenuhi permintaan pelanggan atau pembeli. Oleh itu pembeli yang menentukan apa yang mereka inginkan dan apa yang kita suka tidak semestinya disukai oleh pembeli.

Oleh itu samada suka atau tidak suka, walau bagaimanapun kesukaan kita terhadap kerja yang dilakukan, pasti ada tekanan dan penyimpangan serta perbalahan antara kehendak kita dengan kehendak majikan.

Apabila berlaku perbalahan antara kehendak kita atau kehendak majikan, kita terpaksa membuat pilihan samada beralah atau ‘boleh belah’. Akhirnya sebagai pekerja kita tidak ada pilihan sendiri yang membuatkan sedikit sebanyak timbul rasa tidak gembira.

Berhenti kerja dan berniaga
Mungkin ada yang mencadangkan apabila berlaku pertembungan antara kehendak kita dengan kehendak majikan dan kita berdegil untuk buat apa yang kita suka, berhenti kerja dan berniaga adalah jalan terbaik.

Namun apabila anda berniaga, anda akan sedar perniagaan anda akan laris apabila anda mengikut kehendak pembeli. Jika anda memaksa pembeli terhadap apa anda suka dan bukannya apa yang mereka suka, lama kelamaan perniagaan anada akan gulung tikar.

Hasilnya, anda masih tidak ke mana-mana samada makan gaji atau berniaga dengan melakukan apa yang anda suka mengikut citarasa yang anda suka. Ini bermakna ada limit yang perlu digariskan dalam mengejar impian melakukan apa yang kita suka.

Membuat keputusan apakah pekerjaan yang sesuai
Jika anda rasa tidak seronok dan tertekan dalam pekerjaan yang sedang dilakukan lerana merasakannya tidak sebagaimana yang anda suka, maka perlukah anda menukar pekerjaan yang lain?.

Lalu bagaimanakah menentukan samada pekerjaan yang anda lakukan adalah bersesuai atau tidak. Samada anda perlu berhenti atau teruskan?.

Saya tertarik dengan saranan yang dibuat oleh Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti dalam tulisannya di dalam Syarah Al-Hikam. Beliau menggariskan hanya satu faktor bagi membuat keputusan samada pekerjaan anda lakukan sesuai atau tidak:

“Jika sesuatu pekerjaan itu membuatkan anda jauh dari mendekati Allah, maka tinggalkan ia. Jika ia tidak menghalang anda dari mendekati Allah, maka teruskanlah” 

Seandainya kita mengambil pendekatan di atas sebagai garis panduan untuk menentukan pekerjaan kita, tidak akan timbul rasa tak suka atau suka. Keputusan dapat dilakukan dengan mudah dan kita tidak akan membuang masa mencari pekerjaan demi pekerjaan.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge