Petua ajaib pulih perniagaan lingkup

By | 31/12/2012

Apa yang anda perlu buat jika tersesat dalam perjalanan?. Rasanya semua akan teringat pesan orang tua-tua akan pepatah ini:

“Sesat perjalanan, kembalilah ke pangkal jalan…”

Itu satu petua yang paling bernas untuk mencari semula arah perjalanan agar tidak terus tersesat. Bila tersedar kita dah hilang punca, maka segeralah patah balik di mana kita bermula atau lebih tepat lagi kembali ke asas di tempat yang kita pasti.

Teknik yang sama juga biasa digunakan oleh para alim ulama dalam menentukan sesuatu hukum ke atas perkara yang tidak diketahui atau diragui. Sebagai contoh:

  • Bagaimana menentukan halal atau tidak halal seekor ayam yang siap dipotong 12, dibersihkan dengan baik lalu diletakkan dalam sebuah bakul di depan pintu rumah kita.
  • Masalahnya kita tidak tahu siapa yang memberikannya. Namun sudah pasti ia ditujukan pada kita kerana diletakkan di depan rumah.
  • Untuk menentukan hukumnya adalah dengan kembali ke pangkal jalan:
    • Jika seekor ayam mati di depan rumah kita, maka hukumnya adalah ayam tersebut merupakan bangkai yang najis dan tidak halal dimakan.
    • Oleh itu jalan mudah dan pasti dalam kes ayam di depan rumah kita adalah tidak halal kerana ianya bangkai dan najis. Mudah!
Teknik yang sama dapat digunakan dalam menguraikan masalah yang berlaku di dalam sesebuah perniagaan atau apa saja masalah kehidupan.
Apa-apa saja masalah yang kita hadapi, boleh diselesaikan jika kita berpatah balik ke pangkal jalan. Iaitu kembali kepada keadaan asal paling asas dalam sesuatu perkara.
Memulihkan perniagaan majalah yang mati
Saya menggunakan teknik yang sama ketika membantu seorang kawan merungkaikan masalah perniagaan penerbitan sebuah majalah yang telah mati tidak dapat diedarkan lagi di pasaran.
Punca utama perkara tersebut berlaku adalah disebabkan kos percetakan yang tinggi dan permintaan atau jualan yang tidak berbaloi untuk meneruskan lagi perniagaan tersebut.
Bila diselidik, saya mendapat tahu pasarannya memang ada, cuma untuk mencetak semula memakan kos yang tidak sanggup diadakan oleh penerbit.
Bagi merungkai masalah tersebut saya membawa rakan kepada perkara asas menjual majalah. Bagi menjayakan perniagaan majalah, perkara asas yang perlu ada hanyalah:
  1. Bahan penulisan
  2. Buku atau majalah
  3. Pengedar
Mereka punyai semua yang disebutkan di atas kecuali perkara nombor 2. Apa yang perlu mereka buat sekarang adalah mencetak sebuah majalah. Saya lalu katakan pada kawan, cetak sajalah majalah itu, tunggu apa lagi?
Kawan saya menerangkan bahawa ianya tidak semudah itu. Kosnya tinggi dan margin keuntungan tidak mencukupi. Saya lalu meminta contoh majalah yang mereka biasa edarkan sebelum ini.
Saya lihat majalahnya berkualiti. Kulitnya tebal penuh warna warni. Helaian kertasnya juga bermutu tinggi. Memang patutupun kos percetakannya adalah tinggi.
Untuk merungkai masalah itu, maka saya perlu kembali ke pangkal jalan dengan menyenaraikan perkara asas menghasilkan sebuah majalah. Ianya adalah:
  1. Kertas
  2. Mesin percetakan
Dari perkara asas di atas, ternyata kertas merupakan perkara asas yang menentukan harga. Maka saya cadangkan agar kertas yang paling murah. Walau kertas apapun yang digunakan, ianya tetap akan menghasilkan sebuah majalah.
Diringkas cerita, kos percetakan turun berkali ganda daripada asal. Harga jualan majalah diturunkan untuk pengguna tanpa menjejaskan margin keuntungan.
Masalah seterusnya adalah:
  1. Mendapatkan hasil iklan
  2. Memastikan majalah terjual setelah dicetak
Biasanya majalah akan diisi dengan berbagai iklan barangan yang membolehkan penerbit majalah menjana pendapatan tambahan selain daripada hasil jualan majalah itu sendiri. Tetapi tak ada orang yang nak iklan pada majalah yang sedikit edarannya.
Untuk selesaikan masalah di atas, saya cadangkan mereka menawarkan iklan percuma pada peniaga yang berminat. Syaratnya mudah saja, iaitu dengan membeli majalah tersebut dengan harga kos. Pengiklan boleh gunakan majalah sebagai bonus pemberian pada pembeli barangan mereka.
Akhirnya ramailah pengiklan yang membeli idea tersebut. Pada bulan pertama percetakan, majalah tercetak dengan sudah ada pembeli tersedia, iaitu para pengiklan di dalam majalah itu sendiri. Mereka mengiklan, membeli majalah dengan harga kos dan mengedarkannya pada pelanggan mereka sediri.
Bermula dari situ majalah tersebut hidup semula…..
Petua ajaib
  • Pastikan perniagaan anda sentiasa ringkas dan tidak berserabut. Peter Drucker mengatakan bahawa tanda-tanda sesbuah syarikat atau organisasi akan runtuh adalah apabila sistemnya mula menjadi terlalu berserabut dan berselerak (Complicated).
  • Untuk merungkaikan apa saja keserabutan adalah dengan kembali ke perkara asas. Seperti kita merungkaikan tali yang kusut dengan mencari pangkal tali dan mengeluarkannya satu demi satu.
  • Sentiasa ingat pada perkara asas dalam sebarang keputusan berat yang kita ambil. Ini akan memudahkan mengelak daripada membuat keputusan yang salah.
  • Hidup, pekerjaan atau apa saja menjadi mudah apabila kita sering kembali pada perkara asas tanpa cuba membelitkan keadaan.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

9 thoughts on “Petua ajaib pulih perniagaan lingkup

  1. Anonymous

    blog ni memang best,..saya da jadi pembaca setia,..meningkatkan inspirasi,..

    Reply
  2. Per Pel

    Hidup memang ringkas. Kdg2x manusia ni yang menambahkan serabutnye. Contohnya nak berniaga kerepek tak perlu nak sewa kedai. Pasang je kanopi kecik kat tempat orang ramai, terus boleh berniaga kerepek. Insya-Allah ada orang membelinye. En. Shubhi, blog encik membuka minda saya apa itu erti kehidupan. Terima kasih en shubhi.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Ya, sebagai pengembara, hidup seharusnya ringkas. Perjalanan perlu diteruskan dengan mengambil apa yang perlu sahaja.

      Alhamdulillah jika perkongsian di blog ini membantu, saya bahagia…

      Reply
  3. jamal

    Terima kasih.. Hasil penulisan dan idea yg bijak.saya sgt hargai.akan dipraktikkan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge