Petua dari bomoh handalan tentang kutip hutang

By | 05/01/2013

Sepanjang berniaga sejak beberapa tahun lalu ada beberapa perkara penting tentang hutang yang saya belajar yang patut diketahui oleh semua yang menjalankan perniagaan:

  1. Sebaik-baik perniagaan adalah jenis yang tidak membenarkan pelanggan berhutang. Semua pembelian  perlu dilakukan dalam bentuk tunai. Banyak syarikat pembekalan yang mengamalkan polisi ini sejak mengalami krisis kewangan 1997 lalu.
  2. Jika terpaksa, pastikan anda menetapkan satu polisi hutang yang ketat. Tetapkan kriteria yang rapi pada pelanggan untuk melayakkan mereka berhutang.
  3. Jangan seronok dengan jumlah inbois yang sungguh tebal sedangkan jumlah pelanggan yang melangsaikan inbois tersebut terlalu sedikit.
  4. Tidak guna anda mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM3 juta, sedangkan bayaran yang masuk hanya RM300 ribu. Itu alamat anda akan gulung tikar. Semua itu berpunca daripada tidak ada kawalan kredit.
  5. Jumlah jualan dalam bentuk kredit mestilah tidak mengatasi jumlah jualan tunai sehingga mengganggu perjalanan darah dalam syarikat anda. Darah syarikat anda adalah ‘wang’. Tanpa darah, sehebat manapun syarikat anda, seramai manapun pelanggan anda…semuanya tidak dapat menyelamatkan anda dari gulung tikar!
Mari kita belajar cara kutip hutang yang betul yang diperturunkan oleh seorang Haji yang warak seperti mana yang diceritakan oleh kawan saya yang pergi berjumpa dengan Haji tersebut untuk memohon pertolongan mengutip hutang yang tidak dibayar.
Begini ceritanya…
Ada seorang Haji yang terkenal dengan warak di sebuah kampung di Utara Tanah Air. Ramai yang mengalami masalah kesihatan pergi berjumpa dengannya bagi mendapatkan rawatan.
Dengan izin Allah, ramai yang serasi dengan pertolongan serta usaha Haji tersebut. Mereka pulih baik setelah dirawat atau dijampi oleh haji itu walaupun sebelum itu banyak usaha mereka menemui jalan buntu.
Satu hari, seorang kawan A yang mengalami masalah mata yang hampir buta akibat terkena serpihan batu ketika melakukan kerja memotong rumput di bawa oleh seorang ustaz yang juga merupakan kawan saya.
Mendengar perkhabaran tersebut kawan B menyatakan hasrat ingin turut serta untuk mendapatkan pertolongan dari haji yang warak itu. Kawan B telah ditimpa musibah kemelesetan ekonomi dan perniagaannya telah hancur.
Kawan B mengharapkan agar mereka yang berhutang dengannya sebelum ini dapat melangsaikan hutang agar dapatlah dia memulakan sesuatu dengan sedikit wang yang ada jika mereka membayar padanya.
Maka bertolaklah mereka bertiga, Ustaz, Kawan A dan Kawan B menuju ke rumah penginapan Haji. Sesampainya di sana, kawan A yang hampir buta terlebih dulu menerima rawatan setelah diceritakan bagaimana kejadian berlaku.
Air dijampi dan doa dipohon selayaknya dan selesailah sudah rawatan untuk kawan A. Lalu Haji bertanya:
Haji: Yang ini (menunjukkan pada kawan B) apa masalahnya pulak?
Kawan B: Errr…errr…saya tengah teruk dalam perniagaan. Ada seorang yang berhutang dengan saya tak bayar-bayar. Jadi nak minta tolong dari Tuan Haji agar dia langsaikan hutangnya pada saya.

Haji: Berapa banyak dia hutang kamu?

Kawan B: RM45 ribu!

Haji: Wah! banyak tu!, kamu kenal ka dia?

Kawan B: Kenal sangat, kawan saya.

Haji: Tahu ka kat mana dia tinggal?

Kawan B: Tahu sangat, memang dah kenal lama!

Haji: Kalu macam tu, pergi sajalah minta padanya! dia yang hutang kamu, jadi pergilah minta pada dia. Bukannya datang minta kat saya.

Kawan B: errr…baik Haji. Terima Kasih!
Itulah petua dari yang tepat daripada Haji yang warak tentang kutip hutang.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Petua dari bomoh handalan tentang kutip hutang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge