Pilih perniagaan – Fahami maksud buat apa yang kita minat

By | 18/12/2012

Buat apa yang kita minat dalam perniagaan. Dengan berbuat begitu kita menikmati dua perkara dalam satu:

  1. Memberikan kepuasan pada diri sendiri. Semua orang seronok melakukan apa yang dia minati walaupun masa serta wang dihabiskan untuk melakukan perkara tersebut.
  2. Memberikan sumber pendapatan. Bila kita tukarkan perkara yang diminati menjadi satu perniagaan, maka ia akan menjana hasil pendapatan daripada apa yang kita lakukan.
Tak ada yang lebih membahagiakan selain daripada melakukan perniagaan yang dalam masa yang sama aktiviti perniagaan tersebut juga merupakan sesuatu yang kita minat.
Oleh kerana nasihat seperti di atas amat popular, maka ramai yang mendapat nasihat agar memilih satu perniagaan yang kita minat jika ingin menjadi usahawan.
Tak ada salahnya pendapat tersebut, cuma ia perlu difahami bahawa apa yang kita minat tidak semestinya merupakan aktiviti fizikal. Minat mempunyai ciri-ciri seperti di bawah:
  1. Menghasilkan kepuasan batin. Mereka yang suka bersukan mungkin mengecapi kepuasan bersosial dan memberikan satu kepuasan berlumba atau bertanding. Mungkin juga orang yang suka bersukan mengecapi nikmat bekerjasama dalam satu pasukan.
  2. Aktiviti yang dilakukan secara berulang. Kita akan bersukan setiap kali ada kesempatan bagi mengecapi perkara yang disebutkan di atas tadi. Malah kita akan berusaha menyediakan ruang untuk membolehkan aktiviti tersebut dapat dilakukan.
Perlu difahami bahawa perkara asas dalam melakukan minat adalah untuk mendapat kepuasan hasil daripada aktiviti fizikal. Apabila kita membiasakan diri mendapatkan kepuasan tersebut dengan bermain bola, maka kita sering menyangka bahawa minat kita adalah bermain bola.
Seandainya kita faham bahwa bola hanyalah alat untuk mencapai kepuasan utama, maka apa saja perkara yang mampu membuahkan kepuasan batin boleh digantikan dengan bermain bola.
Apabila diterjemahkan dalam perniagaan, kita boleh masukkan elemen-elemen yang bolah didapati hasil dari bermain bola ke dalam perniagaan seperti:
  • Perniagaan yang memerlukan pasukan
  • Perniagaan yang mempunyai sifat menag dan kalah
  • Perniagaan yang mempunyai pesaing atau lawan
  • Perniagaan yang mempunyai aktiviti fizikal
  • Perniagaan yang memerlukan strategi
  • Perniagaan yang memerlukan skill untuk menewaskan musuh
  • Dan lain-lain.
Kenapa kita perlu faham bahawa perkara yang diminati tidak semestinya aktiviti fizikal adalah kerana ia membolehkan kita sentiasa melakukan perniagaan tanpa dibatasi oleh faktor umur.
Bayangkan jika anda berumur 45 tahun dan mahu menjadikan bola sebagai sumber menjana pendapatan. Mungkin khidmat anda hanya laku pada pasukan veteran profesional. Tak ada orang yang akan membayar RM90 ribu sebulan seperti Safee Sali pada anda walaupun anda cekap mengelecek bola.
Petua menggunakan minat untuk mengenal pasti perniagaan
  1. Cari perkara sebenar yang anda dapat hasil daripada aktiviti fizikal yang menjadi minat anda
  2. Senaraikan elemen-elemen tersebut dan mula cari satu perniagaan yang mampu menghasilkan elemen yang sama.
  3. Perniagaan mestilah realistik dan terbukti mampu menjana pendapatan
  4. Aktiviti fizikalnya pula mestilah sesuatu yang anda biasa dan berpengalaman
Kesimpulannya: Kenali kepuasan yang dikecapi hasil dari minat anda lebih sesuai dijadikan pedoman dalam mencari perniagaan yang kita minat, bukannya melihat pada aktiviti fizikal!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge