Produk/Khidmat anda kategori mana?

By | 14/05/2013

Semua orang terlibat dalam memberi atau menerima perkhidmatan. Maknanya samada anda makan gaji atau berniaga, anda tak dapat mengelakkan diri daripada memberikan khidmat atau menerima khidmat.

Jika anda makan gaji, produk yang anda tawarkan adalah khidmat kemahiran atau khidmat tenaga yang anda ada. Begitu juga jika anda berniaga, sudah tentu ada berbagai produk samada barangan atau kemahiran atau tenaga.

Jika anda faham semua yang saya sebutkan di atas, maka perlu difikirkan apakah khidmat yang anda berikan atau terima menepati kehendak atau citarasa atau jangkaan.

Dalam apa saja situasi, hanya ada 4 kategori produk:

  1. Menghampakan – Apa saja khidmat atau produk yang anda berikan pada orang lain yang menghampakan dan tidak mencapai tahap minimum yang boleh diterima. Kerja atau khidmat seperti ini seeloknya tak perlu diberikan atau diterima. Ia hanya membuang masa. Sama juga seperti kerja yang diumpamakan sebagai melepaskan batok di tangga.
  2. Boleh di terima – Produk yang dapat memberikan rasa puas hati pelanggan. Mereka tidak sesal berurusan dengan anda dan tidak pula kagum untuk membolehkan mereka datang kembali setiap kali memerlukan urusan khidmat yang sama.
  3. Bagus – Jika anda membuat kerja sentiasa konsisten dalam tahap boleh diterima dalam apa saja keadaanpun dan kepada sesiapa saja yang anda berikan, kemungkinan pelanggan datang kembali pada anda amat tinggi. Khidmat jenis ini memberikan rasa kesetiaan pelanggan pada khidmat anda.
  4. Cemerlang – Apabila khidmat anda sentiasa konsisten dan ditambah dengan sedikit tambahan diluar jangkaan, ia bertukar menjadi cemerlang. Ini membuatkan pelanggan rasa rugi jika tidak mengkhabarkannya pada rakan atau kenalannya. Ringkasnya, khidmat jenis ini membuatkan pelanggan menjadi ajen jualan anda secara tidak disedari.
Setelah memahami 4 kategori di atas, muhasabahlah diri sendiri dan tentukan dalam mana kategori khidmat anda. Fikirkan kesemua khidmat yang anda lakukan samada dalam kerjaya, dalam masyarakat, keluarga atau perniagaan.
Tahap mana khidmat anda pada ibu/bapa, isteri/suami, anak-anak, abang, adik, kakak, pelanggan, majikan, boss dan lain-lain?
Biasanya mereka yang makan gaji dan tidak cemerlang dalam kerjaya mereka akan hanya memberikan khidmat jenis nombor satu. Mereka sering memberikan khidmat yang menghampakan dalam urusan mereka dan timbullah rasa bosan dan sikap menyalahkan semua orang lain apabila kerjanya tidak pernah dihargai.
Orang kumpulan atau jenis ini, jika berniaga akan melakukan perkara yang sama dan tidak mustahil mereka akan gulung tikar dalam masa yang dekat dan membuatkan reputasi menjadi lebih teruk di mata masyarakat.
Jika anda mahu hidup sejahtera, pastikan semua khidmat anda sentiasa sekurang-kurangnya berada di dalam kategori dua. Insyallah anda akan selamat sejahtera.
Apabila anda meningkatkan sedikit pada tahap tiga, anda akan berjaya lebih sedikit daripada kebanyakan yang lain.
Apatah lagi jika anda berada di tahap ke empat, semua orang anda akan tinggalkan jauh di belakang.

Apa yang anda perlu buat sekarang adalah memahami apakah yang pelanggan jangkakan dari anda. Senaraikan jangkaan minimun dan semaka samada anda telah berjaya tunaikannya atau tidak.

Setelah pasti semua keperluan minimum telah tertunai, mula cari jalan untuk pastikan ianya adalah konsisten. Kemudian tambahkan sedikit elemen kejutan yang mudah tetapi mempersonakan terhadap apa sahaja produk atau khidmat anda.

Selamat mencuba!

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge