Rahsia bisnes berjaya – Jaga Ibu

By | 04/10/2012

Apa saja yang kita buat tak ada yang lebih mendatangkan kepuasan selain dari mendapat perkenan atau restu dari Ibu. Bila saya berhenti kerja buat kali kedua untuk berniaga, saya sudah jangkakan akan dimarahi oleh ibu, sebab itu saya rahsiakannya terlebih dulu.

Selepas dah berhenti beberapa bulan barulah saya ceritakan pada ibu. Bila nak dedahkan rahsia itu kena ambil cuti dua tiga hari sebagai persediaan menghadapi leteren ibu. Yang penting sekali jangan pulang selagi tidak berjaya meyakinkan ibu. Bagai mana nak yakinkan ibu?

Memang sukar sekali nak lembutkan hati orang tua yang merajuk. Ibu saya berastaga tak henti-henti bila saya beritahu saya berniaga semula dan berhenti kerja makan gaji. Selepas penat berasraga dia mendiamkan diri tak mahu bercakap dengan saya. Tak apa, sabar dulu dan jangan melawan.

Bila nak pulang, saya bersalam dengan ibu yang masih tak puas hati. Dia risau dan mengecam perangai saya yang baginya tidak fikirkan tentang keluarga. “Kamu tak risaukah pada anak-anak yang masih kecil…?”, tanya ibu.

Saya jawab dengan tenang, ibu ada dua pilihan:

  1. Teruskan memarahi dan tidak merestui dengan apa yang saya buat, insyallah ibu akan dapat buktikan saya bakal menghadapi kesusahan sebagaimana yang ibu takutkan.
  2. Bersabar dan restui minat saya ini diikuti dengan berdoa agar saya berjaya. Mohonlah pada Allah agar saya berjaya dan selamat, Insyallah saya yakin, ibu akan melihat saya berjaya.
“Yang mana satu pilihan ibu…?” tanya saya perlahan.
“Aku pilih yang kedua…” jawab ibu dan sejak itu dia tidak pernah lupa mendoakan kejayaan saya. 
Alhamdulillah, saya tidak menghadapi kesusahan berniaga walaupun nampaknya macam susah. Bila ada kesulitan saya telefon ibu sekadar bercerita dan biasanya masalah mudah selesai.
Bagi para usahawan, jangan sesekali lupakan ibu. Jadikan salah satu tugas anda untuk membahagiankan ibu. Jika ibu sukakan banyak wang berikan padanya. Tak payah tanya dia nak buat apa dengan wang tersebut, berikan saja.
Jangan berikan alasan sibuk untuk lupa menziarahi ibu. Jika anda tahu betapa gembiranya kehadiran anda di sisi ibu sudah tentu anda tidak akan teragak-agak untuk meluangkan masa sekurangnya seminggu sekali memandu pulang semata-mata untuk melihat wajah redup ibu anda.
Bagi saya formula ini biasanya mujarab:
“Bahagiakan ibu anda, perniagaan anda insyallah akan lancar”

Saya teringat pesan seorang tuan berbangsa Cina pada saya. Beliau kaya raya namun berkongsi penyesalannya pada saya pada suatu hari. Sambil air matanya bergenang dia berkata…
” Seandainya ibu saya masih hidup sekarang, saya akan pastikan setiap hujung minggu untuk memandu dari KL ke Johor Bharu, pulang semata-mata untuk melihat wajah ibu …”
Segalanya sudah terlambat, ibunya sudah tiada. Ketika ibunya masih hidup dia terlalu sibuk mengumpul harta. Ada saja alasan untuk tidak pulang menziarahi ibunya itu. Cina tua itu berpasan pada saya jangan lakukan kesilapan yang dia lakukan. Luangkan masa untuk menziarahi ibu anda.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Rahsia bisnes berjaya – Jaga Ibu

  1. nazrimi

    SubhanaLLah..

    Inilah yang akan saya buat..insyaAllah..sebab kesemua orang tua makan gaji sampai pencen. Mereka tidak menyokong untuk saya menceburkan diri 100 dalam bidang usahawan dengan berhenti kerja..
    Satu tips yang amat berkesan..minta doa dari ibu..insyaAllah..kena buat baik pada bukan saja ibu, bapa juga malah kedua mertua..
    Terima kasih di atas satu kaedah untuk berhadapan dengan orang tuaa/keluarga..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge