Rahsia membesarkan perniagaan

By | 18/02/2013

Bagi mereka yang sudah mula berniaga dan sudah mempunyai transaksi dalam perniagaannya tentu ingin melihat perniagaannya membesar.

Perniagaan yang besar membawa maksud mempunyai pendapatan, keuntungan, kelengkapan dan jentera kakitangan yang besar.

Satu perkara yang semua usahawan perlu sedar adalah, untuk membesarkan perniagaan, ia bukanlah satu urusan yang boleh dilakukan seorang diri. Walau sekuat manapun seseorang usahawan bekerja, itu bukanlah jaminan dia akan berjaya dengan hebat jika dilakukan seorang diri.

Oleh itu seorang usahawan yang mahu berjaya lebih jauh tidak dapat mengelakkan dirinya daripada menjadi seorang ketua yang hebat. Ada dua perkara penting yang perlu dilihat untuk menjadi ketua yang hebat:

  1. Usahawan perlu menjadi pengurus yang baik
  2. Usahawan juga perlu menjadi pemimpin yang baik
Apa bezanya antara pengurus dan pemimpin?
Jika anda bijak membuat keputusan, setiap keputusan yang diambil tentunya adalah baik. Keupayaan membuat keputusan yang baik melayakkan anda menjadi seorang pengurus yang baik.
Tetapi jika keputusan yang baik tidak dapat dilaksanakan dengan baik, maka ia menjadi sia-sia sahaja dan segalanya hanya tinggal keputusan. Bagi memastikan keputusan yang baik itu dilaksanakan, anda perlu menjadi pemimpin yang baik.
Seseorang itu dikatakan sebagai pemimpin yang baik apabila dia mampu meyakinkan semua orang yang terlibat agar melaksanakan keputusan yang telah dibuat.
Keupayaan membuat keputusan yang baik diikuti dengan keupayaan meyakin semua orang agar melaksanakan keputusan tersebut melayakkan anda menjadi seorang ketua yang hebat!
Ramai orang boleh menjadi pengurus yang baik terutamanya para ahli akedemik atau mereka yang rajin menimba ilmu pengetahuan. Mereka yang banyak maklumat biasanya mampu membuat keputusan yang bijak dan baik.
Malangnya ramai juga di kalangan mereka yang begitu, gagal meyakinkan sesiapa untuk melaksanakan ideanya. Jika mereka berjaya meyakinkanpun, mereka masih gagal memujuk orang yang percaya tersebut menjalankannya.
Sebab itu kita lihat ramai para cendikiawan hanya sekadar menjadi kakitangan makan gaji sedangkan mereka cukup bijak sehingga ada kelulusan Phd. Mereka digunakan sekadar untuk membuat keputusan yang baik.
Rumusannya:
  • Untuk membesarkan perniagaan, anda perlukan sebuah kumpulan yang besar. Anda tidak dapat melakukannya seorang diri. Oleh itu jangan kemut untuk merekrut dan bekerjasama dengan orang lain.
  • Bila anda berada di atas sebuah kumpulan, anda tidak dapat megelak untuk menjadi ketua. Hanya ketua yang hebat akan berjaya mengendalikan jentera kumpulan yang boleh digunakan untuk menjayakan perniagaan.
  • Anda akan menjadi ketua hebat jika:
    • Mampu menjadi pengurus yang hebat. Iaitu sentiasa dapat membuat keputusan yang baik, bijak dan hebat. Sentiasa tambah pengetahuan dan banyakkan maklumat amat penting untuk anda berjaya.
    • Mampu meyakin dan memujuk semua orang melaksanakan keputusan yang telah diambil. Belajar berbagai teknik meyakin dan memujuk orang untuk mengikut dan laksanakan apa yang anda putuskan. Kadangkala anda terpaksa korbankan keegoan diri demi memastikan orang buat kerja.
Pengalaman saya memijak ego diri

Sepanjang menjalankan perniagaan, saya pernah sekali diboikot oleh semua pekerja untuk tidak hadir ke tempat kerja. Ada sesuatu yang mereka tidak puas hati dan mahu mengajar saya dan syarikat agar sedar kepentingan para pekerja.
Kalau diikutkan rasa marah dan ego diri, saya hanya perlu membuang kesemua mereka dan mencari pekerja lain. Tapi saya sedar bahawa saya tidak boleh menjadikan hari itu satu hari yang gagal di mana syarikat tidak dapat melaksanakan perkhidmatan yang telah dijanjikan pada pelanggan.
Keputusan yang baik adalah dengan menunaikan janji pada pelanggan dan para pekerja saya perlu dipujuk untuk melakukannya sekurang-kurangnya untuk hari itu. 
Oleh itu saya dengan penuh rasa hina pergi membeli minuman dan nasi lemak sebagai sarapan lalu pergi ke tempat penginapan semua pekerja. Sampai di sana saya masuk dan mengejutkan mereka seorang demi seorang dan menghidangkan sarapan untuk mereka. Saya merayu agar mereka pergi kerja dan lakukan tugasan untuk hari itu.
Akhirnya mereka jatuh rasa kesian pada saya kerana bersusah payah memujuk dan menyediakan sarapan untuk mereka lalu selesailah masalah kerja untuk hari tersebut. Setelah semuanya selesai barulah saya memikirkan bagaimana saya perlu pastikan perjalanaan esok akan lancar.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Rahsia membesarkan perniagaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge