Rahsia untuk berubah #1

By | 17/06/2013

Di kalangan kawan-kawan yang berniaga, mereka mengenali diri saya sebagai seorang yang banyak idea dan mampu menaikkan dan memulihkan semangat kawan-kawan yang patah semangat.

Oleh itu bila ada kesempatan bertemu dengan kawan-kawan di mana-mana saja, mereka akan perkenalkan saya kepada kawan-kawan mereka yang lain yang sedang menghadapi masalah perniagaan.

Dari situ saya berkesempatan berbual dengan ramai rakan-rakan yang perniagaan mereka tak berapa menjadi. Saya cuba mendalami pemikiran mereka bagi mengenal pasti cara atau tabiat mereka berfikir.

Dari perbualan-perbualan tersebut saya dapati ada satu gaya pemikiran atau falsafah kehidupan yang sama yang membuatkan mereka tak berapa bersemangat untuk melangkah keluar daripada masalah yang sedang dihadapi.

Sikap yang saya maksudkan adalah:

“Tak kaya pun  tak apa asalkan tak susah…”

Ayat di atas merupakan jawapan standard yang sering diberikan bila ditanya pada mereka, ‘apakah sasaran utama yang anda kejar?’.

Percaya atau tidak, hampir kesemua mereka yang mengeluh tentang kehidupan atau perniagaan yang tak berapa menjadi itu sudahpun mendapatkan apa yang mereka sasarkan di atas.

Mungkin mereka selama ini tak sedar akan perkara tersebut. Tetapi apabila saya saya bawa ke dalam perbincangan secara spontan, mereka akhirnya sedar bahawa memang begitulah keadaan hidup atau perniagaan mereka sekarang.

Oleh itu, jelas sekali bahawa mereka sebenarnya tidak ada apa lagi yang nak dikejarkan. Otak mendapat mesej yang jelas bahawa tiada apa lagi suntikan semangat baru diperlukan bagi mengeluarkan tuan mereka daripada masalah.

Saya yakin, ramai yang sedang membaca artikel ini juga sedang menghadapi masalah sama tanpa disedari. Niat dihati memang nak pergi lebih jauh, tetapi keinginan tersebut tak cukup kuat untuk melonjakkan semangat anda untuk merubah keadaan.

Bagaimana mahu atasi masalah tersebut?

  • Tukar sasaran. Untuk keluar daripada keselesaan yang ada sekarang anda perlu tukar sasaran tak kaya dan tak susah kepada sesuatu yang lebih objektif. Kalau anda malu nak sebut ‘aku ingin jadi kaya!’, anda boleh sebut, ‘aku mahu pendapatan sejumlah RM240 ribu setahun!’.
  • Kaya tidak bermakna perlu menunjuk. Mungkin ada yang berkata itu dah lari dari tujuan hidup ringkas. Sebenarnya tidak!, anda boleh kaya dengan duit simpanan berjuta dan menjalankan perniagaan besar dan banyak. Tapi tak ada siapa yang kata anda perlu jalani hidup macam orang kaya. Hiduplah secara sederhana bersesuaian dengan citarasa, dan kekalkan gaya hidup tersebut dalam apa jua keadaan.
  • Bayangkan sakitnya hati apabila tak dapat sediakan peluang pekerjaan pada masyarakat. Sebagai usahawan, anda perlu punya visi membantu seramai mungkin anggota masyarakat. Jika anda ‘kaya pun tidak dan susah pun tidak’, anda hanya pentingkan diri sendiri sahaja!.
  • Cari alasan hindari kesakitan. Apa saja alasan untuk mengubah diri perlu berlandaskan konsep keluar dari kesakitan dan bukan bermatlamatkan mengejar kesenangan. Oleh itu senaraikan seberapa banyak mungkin kesakitan yang anda alami (sakit hati) dengan keadaan sekarang.
  • Senaraikan perkara yang perlu dilakukan untuk berubah. Anda sendiri tahu untuk berjaya ke tahap yang lebih tinggi daripada sekarang, apakah perkara yang perlu dilakukan. Buat senarai semua perkara tersebut dengan terperinci. Tuliskan pada buku nota dan bukannya sekadar menghafal dalam kepala.
  • Buat resolusi baru dan terus laksanakan apa yang perlu tanpa henti. Tak ada perubahan yang boleh dilakukan hanya dengan azam. Ianya perlu disertai dengan perlaksanaan yang nekad hingga selesai. Laksanakan satu persatu apa yang perlu dilakukan seperti senarai di atas dan jangan lagi toleh ke belakang.
Bagi mereka yang tak mahu kaya dan sekadar mahu hidup yang tidak susah, anda digalakkan untuk melakukan apa yang saya senaraikan di atas.
Tak ada apa yang nak dirugikan jika anda amalkannya kerana anda tidak akan hilang apa-apa yang penting dengan mengubah cara berfikir seperti di atas.
Bagi yang sedang berniaga dan mahu pergi lebih jauh atau gandakan atau besarkan perniagaan, anda boleh dapatkan khidmat bimbingan peribadi dari program HR Biz Coaching yang saya anjurkan.
Kalau rasa tak perlu bimbingan tetapi sekadar mahu dapatkan idea santai bagaimana nak buat penyelarasan semula pada perniagaan yang sedang dijalankan, anda boleh hubungi saya di mohdshubhi@hidupringkas.com, untuk belanja minum teh tarik dan ambil peluang tersebut untuk bertukar-tukar pandangan.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Rahsia untuk berubah #1

  1. muktasim

    apa pun bermulka dengan diri sendiri.. insyallah mampu berubah.. niat tu penting.. 🙂

    Reply
  2. Joe

    Aku dah ade rancang benda macam nie dari 2 tahun lepas lagi, time study. Sekarang dah keje, susah sikit. Kene fokus banyak kat keje. Yela, keje nie untuk kemudahan semua orang.

    Reply
  3. teh ramuan

    tiba2 rasa diri semakin kecil
    terima kasih banyak
    harap aku boleh menjadi sedikit besar selepas ni

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge