Rahsia untuk berubah #2

By | 18/06/2013

Ramai yang ada masalah untuk berubah tetapi tak pernah berjaya untuk berubah. Anda juga tentu ingin berubah daripada kurang baik kepada lebih baik.

Antara beberapa perubahan yang perlu diberikan perhatian adalah:

  • Sikap – Sebagai contoh, kalau anda seorang yang baran, tentu ingin berubah jadi penyabar. Atau anda ingin berubah daripada seorang kaki tangguh kerja tegar kepada seorang yang berdisiplin melaksanakan kerja. 
  • Cara berfikir – Daripada asyik bersangka buruk dan penuh dengan akal negatif, anda ingin berubah menjadi seorang yang bersangka baik dan berfikiran positif.
  • Material – Ini antara perkara utama yang semua orang ingin. Ramai yang nak berubah dari tak ada harta kepada banyak harta. Ramai yang mahu berubah daripada miskin kepada kaya. Ramai juga yang teringin tukar kereta dan lain-lain lagi seumpamanya.
  • Kerjaya – ini juga perkara biasa. Antara alasan popular adalah kerana tak suka dengan apa yang sedang dilakukan sekarang. Ramai juga mahu berubah daripada kerja makan gaji kepada menjadi usahawan.
  • Amalan – Ini juga harapan ramai orang yang ada ilmu. Mereka mahu menambah amalan baik dan tinggalkan amalan buruk. Daripada seorang yang tidak solat, mahu mula bersolat dan daripada solat seorang diri, mula mahu ke masjid atau surau berjemaah.
Anda semua tentu ada pendirian tersendiri terhadap mana yang baik dan mana yang buruk. Berpendirian memang baik tetapi pernahkah anda bertanya samada pendirian yang dipegang sekarang ini berlandaskan kebenaran atau hanya berlandaskan ikut-ikutan?
Untuk memberikan gambaran kenapa pertanyaan di atas penting elok kita hayati maklumat yang saya berikan di bawah.
Kisah kajian terhadap sekumpulan monyet
Satu kajian yang paling penting dan menarik pernah dilakukan di atas sekumpulan monyet untuk mengenal pasti kesan daripada pengaruh rakan sekeliling terhadap keputusan individu.
Sekumpulan monyet dikurung di dalam sebuah sangkar besar. Seikat pisang diikat pada tali dan diulurkan dari atas sangkar tersebut yang mana monyet perlu melompat sedikit untuk mendapatkan pisang tersebut.
Setiap kali monyet cuba melompat mendapatkan pisang yang tergantung itu, air akan disimbah kepadanya. Simbahan air itu tidak kuat atau merbahaya, tetapi cukup untuk membuatkan monyet terganggu dan tidak meneruskan aksi mengambil pisang itu.
Akhirnya kesemua monyet yang ada di dalam sangkar berhenti terus daripada cuba mendapatkan pisang yang tergantung itu.
Setelah itu seekor daripada kumpulan di dalam sangkar di keluarkan dan digantikan dengan seekor monyet yang baru dari luar.
Apabila monyet yang baru itu cuba mengambil pisang yang tergantung tersebut, semua monyet lain akan menghalangnya sehinggalah dia juga turut berhenti daripada cuba untuk mendapatkannya waalupun tidak ada lagi simbahan air dibuat.
Begitulah seterusnya sehinggalah keseluruhan kumpulan monyet di dalam kurungan tersebut ditukar satu demi satu sehingga tiada seekorpun monyet lama di dalamnya.
Kesemua monyet tidak berusaha mengambil atau mendapatkan pisang yang tergantung itu walaupun tiada apa yang akan berlaku jika mereka melompat untuk cuba mendapatkannya.
Ini cukup menarik kerana tidak ada seekorpun daripada monyet yang berada di dalam sangkar itu pernah mengalami pengalaman disimbah air ketika cuba mendapatkan pisang.
Kenapa mereka tidak cuba mendapatkannya adalah disebabkan pengaruh daripada kumpulan monyet-monyet lain yang telah ditanam kepercayaan bahawa sia-sia untuk cuba melompat dan mengambil pisang tergantung tersebut.
Anda bagaimana?
Jika anda perhatikan kisah monyet di atas, anda tentu faham bahawa kita manusia mempunyai sikap yang saling tak tumpah macam mereka.
Kita akan menerima baik apa yang dikatakan baik oleh masyarakat sekeliling kita terutamanya mereka yang rapat. Dan kita akan menolak apa saja yang tidak diterima oleh masyarakat sekeliling kita.
Dan yang paling penting sekali adalah apa saja yang masyarakat terima baik itu tidak semestinya baik manakala apa yang masyarakat katakan buruk pula tidak semestinya buruk.
Melainkan kita ubah kedudukan kita dan masuk bersama mereka yang mempunyai persepsi dan pandangan yang berbeza, maka barulah mudah untuk kita mengubah sikap atau apa saja cara pemikiran yang mahu kita betulkan.
Oleh itu, secara ringkasnya, rahsia untuk anda berubah adalah dengan pastikan anda ubah kesemua lingkungan mereka yang sedang anda gauli sekarang.
Selagi anda bersama dengan kumpulan yang sama dari dulu sampai sekarang, maka tidak ada apa lagi yang dapat anda lakukan untuk mengubah kedudukan dan cara anda berfikir.
Malah, lebih teruk lagi adalah anda sedikitpun tidak rasa perlu untuk mengubah cara anda bertindak aatupun berfikir….
Oleh itu saya bertanya semula soalan di atas tadi apakah pegangan anda selama ini adalah berdasarkan kebenaran dengan kesedaran atau hanya sekadar ikut-ikutan?
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Rahsia untuk berubah #2

  1. Anonymous

    maksud saudara Shubhi, adalah disyorkan kita mencari circle of friends baru yang lebih membina?

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Ada banyak maksudnya, bergantung pada apa yang kita rasa perlu diubah. Kalau nak jadi usahawan berjaya contohnya, pastikan lingkungan kita terdiri daripada usahawan yang berjaya.

      Terbaiknya adalah sentiasa berfikiran terbuka dan berusaha bergaul dengan berbagai lapisan masyarakat untuk menyemak pandangan masing-masing.

      Kita juga perlu mencari kawan yang sama-sama mahu mengubah diri agar saling kuat menguatkan dan ingat mengingati.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge