Ringkaskan perniagaan anda!!!

By | 06/06/2013

Pernahkah anda terfikir untuk meringkaskan perniagaan anda?

Bagi yang dah berniaga tentu ini satu soalan pelik.

Biasanya bila dah mula berniaga orang akan cari macam-macam idea untuk melaris dan menaikkan lagi perniagaan yang ada.

Dalam usaha untuk meningkat perniagaan tersebut, yang biasanya bermatlamatkan pendapatan dan keuntungan, kebanyakan usahawan akan terjerumus ke dalam aktiviti menjadikan perniagaan berserabut dan berserabai serta kusut masai.

Usahawan akan:

  • Tambah lagi produk. Semakin lama semakin banyak. Kononnya bila dah banyak pilihan, lagi ramai pelanggan dan jualan bertambah.
  • Tambah lagi jenis perniagaan. Kononnya ikut apa yang Mat Saleh kata “diversify”, jangan letak semua telur dalam hanya satu bakul sebab jika bakul terjatuh, habis kesemua telur akan pecah.
  • Tambah cawangan. Samada cawangan perniagaan atau cawangan rumah tangga menjadi amalan biasa sesetengah usahawan yang rasa dah berjaya.
  • Tambah modal sebab nak besarkan lagi perniagaan.
  • Tambah pekerja, tambah peralatan, tambah bangunan, tambah hutang, tambah itu dan tambah ini….
Hasil daripada kesemua aktiviti tidak terancang dengan betul tersebut di atas, perniagaan atau syarikat berakhir dengan menjadi cukup serabut dan bercelaru atau dalam terma Mat Saleh, mereka kata “complicated”.
Awas!!! untuk maklumat anda, tanda-tanda sesebuah perniagaan itu akan menjunam adalah apabila perniagaannya menjadi semakin berserabut dan bercelaru!.
Oleh itu macam mana nak buat agar pembesaran dan peningkatan perniagaan yang kita laksanakan tidak menjurus pada satu perniagaan yang berserabai?
Salah satu cara yang logik adalah…ringkaskan perniagaan anda!.
Bagaimana nak ringkaskan perniagaan?
Untuk meringkaskan perniagaan, anda perlukan DATA!!!. Tanpa data yang mencukupi, tak ada aktiviti meringkaskan yang boleh dibuat.
Perumpamaannya adalah seperti membela sebatang pokok. Mula-mula kita tanam agar dia tumbuh segar. Kita baja dan berikan segala zat yang mencukupi agar pokok tumbuh dan membesar.
Segala cabang dan ranting akan mula keluar memenuhi ruang. Batang pokok semakin besar dan ranting semakin banyak.
Di ketika itu, untuk mencantikkan lagi pokok, kita akan buat aktiviti mencantas ranting yang dipilih. Ranting yang tak elok dan bakal mendatangkan masalah serta tidak seimbang akan dicantas dan dibuang.
Selepas dicantas, akan keluar ranting baru dan dibiarkan sehingga satu tempoh tertentu barulah aktiviti mencantas akan diulang semula dan begitulah seterusnya. Hasilnya pokok kelihatan cantik dan lebih tahan lama.
Jika perniagaan kita umpamakan seperti pokok di atas, maka perkembangan perniagaan dan percambahan produk serta lain-lain lagi, adalah seperti cabang pokok.
Sampai satu tahap, anda perlu melihat semula semua produk dan perkhidmatan atau pekerja atau apa saja yang ada lebih dari 3 jenis, yang ada dan cantas semua produk atau servis atau lain-lainnya yang bermasalah.
Seeloknya aktiviti ini dilakukan sekali dalam tempoh setahun.
Bagaimana nak buat?
Macam yang saya sebutkan di atas tadi, anda perlukan data. Sebagai contoh kita lihat aktiviti cantas produk.
Senaraikan produk yang ada setiap satu dan segala butiran terperinci tentang setiap produk.
Maklumat seperti berapa margin keuntungan setiap produk, berapa banyak jualan setiap produk pada setiap bulan dan lain-lain perlu diketahui dengan terperinci.
Katakan anda ada 10 produk. Susun semua produk berdasarkan jumlah margin keuntungan paling tinggi dan paling banyak jualannya sehingga ke produk yang margin keuntungannya paling rendah dan paling sedikit jualannya..
Untuk langkah pertama, kerja paling senang untuk dilakukan bagi meringkaskan perniagaan anda adalah dengan membuang kesemua 5 daripada produk yang mencatatkan margin keuntungan danjualan paling rendah dari senarai tawaran.
Ini menjadikan perniagaan anda hanya ada 5 produk yang paling tinggi untungnya dan paling laris jualannya. Kos operasi secara terus akan dikurangkan dengan banyak dan biasanya aktiviti ini tidak akan menjejaskan perniagaan yang sedang berjalan.
Masa dan sumber yang bebas boleh digunakan untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti produk yang tinggal sehingga para pelanggan yang ada semakin jatuh cinta dan tidak dapat melepaskan diri dari menjadi pelanggan setia anda.
Adakah anda faham? kalau tak faham anda perlukan khidmat HR Biz Coaching !!!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge